Ismail yang merupakan Timbalan Pengerusi Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka Sdn. Bhd. berkata, kejayaan itu merupakan pengiktirafan besar terhadap penglibatannya dalam bidang pengajaran dan perkhidmatan pembedahan.
Menurutnya, anugerah itu diterima berikutan sumbangannya dalam bidang pembedahan kolorektal (usus besar) dan pengajaran di dalam dan luar negara.
“Pengiktirafan ini membuktikan kita juga mampu melahirkan tenaga-tenaga pakar yang setan­ding dengan negara Eropah dalam ilmu perubatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, beliau merupakan individu bertuah kerana menerima pengiktirafan itu tanpa perlu menduduki pepe­riksaan khas sebagaimana prosedur penganugerahan.
Selain Ismail, terdapat beberapa pakar perubatan dari Amerika Syarikat, Scotland dan Sudan menerima anugerah berkenaan.
Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Bandar, Melaka dan melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (Mozec).
Beliau seterusnya melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeons dan ijazah sarjana dalam bidang kepakaran bedah am di Universiti Kebangsaan Malaysia.