Pages

Subscribe:

15 Ogos, 2009

SELAMAT HARI MERDEKA SAUDARA DI INDONESIA DAN MALAYSIA

64 tahun Indonesia merdeka

Oleh Hafizahril Hamid

Esok genap 64 tahun Indonesia merdeka. Seperti kebanyakan negara lain ulang tahun kemerdekaan dari penjajah Belanda adalah sesuatu yang besar dan bermakna bagi rakyatnya. Walaupun negara itu masih lagi dihantui peristiwa pengeboman di dua hotel mewah iaitu Hotel JW Marriot dan Hotel Ritz-Carlton serta pengesahan berita bahawa orang yang terkorban dalam serbuan polis di Temanggung, Jawa Tengah adalah bukan penjenayah paling dikehendaki, Noordin Mat Top namun ia langsung menganggu gugat akan kemeriahan sambutan kemerdekaan kali ke 64.

Bagaimanapun di sebalik semua keributan tentang pelbagai peristiwa pengganas dan sebagainya hakikatnya Indonesia kini semakin maju dan bertambah makmur. Malah pertumbuhan ekonomi negara itu kini semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak mencapai kemerdekaan dari penjajahan belanda pada 17 Ogos 1945 Indonesia telah melalui pelbagai konflik dan pertembungan bersejarah yang memungkinkan negara itu semakin matang dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan mendatang.

Dari segi kematangan berpolitik rakyat negara itu jelas sedang melalui proses kematangan yang ketara.

Proses pemilihan pemimpin yang membenarkan penyertaan rakyat secara massa telah membuka pintu kepada proses pendemokrasian sekali gus mematangkan rakyat tentang tanggungjawab mereka memilih pemimpin.

Ini jelas ditunjukkan rakyatnya apabila tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku selepas Mahkamah Konstitusi Indonesia menolak tuntutan pembatalan keputusan pilihan raya presiden oleh Megawati Soekarnoputri dan Jusuf Kalla.

Malah keputusan itu telah diterima baik oleh dua pasangan calon yang kalah iaitu Megawati-Prabowo dan Jusuf Kalla-Wiranto.

Lebih membanggakan rakyat negara itu yang berjumlah 226 juta menerima keputusan itu dengan terbuka tanpa sebarang tunjuk perasaan dan rusuhan

Kematangan politik rakyatnya sangat membanggakan dan mereka memilih untuk bersatu demi kebaikan bangsa walaupun terdapat pelbagai fahaman dan parti politik di negara itu.

Di sebalik kebimbangan rakyat tentang kegiatan pengganas pemimpinnya masih tetap meletakkan harapan besar untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya. Ini ditunjukkan dengan pengumuman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dalam wawasannya untuk melihat Indonesia maju pada 2025.

Dengan pengumuman Wawasan 2025 itu diharapkan Indonesia akan menjadi sebuah negara maju yang mampu memberikan kemakmuran dan keamanan untuk semua.

"Ini merupakan wawasan kita untuk tahun 2025, kita harus berkongsi pandangan ini bersama dan insya-Allah kehidupan kita sebagai satu bangsa dan negara akan menjadi lebih baik dan saksama," katanya dalam ucapan tahunannya menjelang Hari Kemerdekaan.

Penyatuan

Menurut Susilo, antara matlamat utama yang perlu dicapai untuk menjadikan Indonesia maju pada 2025 ialah meningkatkan penyatuan kebangsaan dan keharmonian sosial di kalangan penduduk, meneruskan penyatuan demokrasi dan transparensi serta mengekalkan keharmonian dengan pelaksanaan undang-undang.

"Program kerajaan akan dilaksanakan bagi mengurangkan 'kemiskinan, kemunduran dan juga kezaliman' yang dijadikan hujah oleh puak militan untuk merekrut sukarelawan dalam 'jihad' mereka.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai segalanya baik dari kekayaan sumber hasil, jumlah penduduk yang ramai dan sebagainya adalah tidak mustahil wawasan Indonesia maju pada 2025 mampu dicapai.

Namun yang pastinya ulang tahun kemerdekaan yang ke 64 ini harus dijadikan penggerak dan penanda aras bagi menjayakan wawasan tersebut.

Dan sebagai negara jiran yang terhampir serta berkongsi banyak persamaan adalah menjadi keutamaan bagi Malaysia untuk mengucapkan selamat ulang tahun Indonesia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.