Pages

Subscribe:

24 September, 2009

MELAYU - Sharifah Mazlina Wanita ke Kutub Utara

Pensyarah Psikologi Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir tahun akan memulakan ekspedisi ke Kutub Utara pada 8 April ini di Svalbard, sebuah pulau di Lautan Artik. Beliau yang lahir pada tahun 1965 di negeri Selangor ini akan berhadapan dengan cabaran yang memerlukan bukan sahaja kekuatan fizikal tetapi ketahanan mental.

Beliau akan meredah laluan sejauh 100 kilometer dari Last Degree 89 darjah utara ke paksi bumi 90 darjah utara. Ekspedisi di Kutub Utara ini berbeza daripada di Kutub Selatan dahulu kerana di Kutub Utara sebenarnya tiada daratan cuma lautan semata-mata. Ini bermakna beliau akan berjalan di atas bongkah ais dan ada ketika terpaksa berenang untuk ke bongkah ais berikutnya.

Di samping itu di antara cabaran yang akan dilalui oleh beliau ialah Dense Fog iaitu apabila persekitaran menjadi terlalu putih sehingga menyukarkan penglihatan dan The Phenomenon iaitu lingkaran cahaya dan habuk yang boleh menyebabkan whiteouts. Whiteouts merujuk kepada ribut salji yang menghilangkan keupayaan melihat kawasan sekitar.

Terdapat juga cabaran Black Skies iaitu bayang-bayang di langit yang boleh membiaskan fatamorgana dan mencipta ilusi sehingga menyangka nampak benda-benda yang tidak wujud di situ. Beliau juga ada kemungkinan akan dihanyutkan oleh bungkah ais jauh daripada laluan asal atau berhadapan dengan bungkah ais yang membukit tingginya.

Beliau juga telah belajar menembak kerana akan membawa bersama pistol Magnum 44 bagi melindungi diri daripada kemungkinan serangan beruang kutub yang mempunyai ketinggian dalam lingkungan 9 kaki.

Walaupun begitu berkat latihan lebih daripada 2 tahun beliau yakin dan cekal untuk memulakan ekspedisi ke Kutub Utara yang dijangka mengambil masa 2 minggu. Di dalam ekspedisi ini, beliau juga akan menguji formula psikologi ciptaannya MEPS Concept dan menguji keberkesanan penggunaan pil kacip fatimah untuk kesihatan jantung.

Pada penghujung tahun 2004, beliau telah berjaya menjejakkan kaki ke Kutub Selatan apabila merentasi Antartika sejauh 1,127 kilometer dengan mengambil masa 22 hari. Ini mengatasi rekod yang dipegang oleh seorang lelaki warga Britain yang telah melalui ekspedisi yang sama selama 24 hari.

InsyaAllah bila misi kutub ke kutub ini berjaya, Datin Paduka Sharifah Mazlina akan menjadi wanita Asia pertama berjaya menjelajah kedua-dua Kutub Utara dan Kutub Selatan. Didoakan beliau akan berjaya melaksanakan misi ini.

Perkembangan semasa dan latar belakang tentang ekspedisi ini boleh diperolehi dari laman web Misi Kutub Ke Kutub.

TERBARU : Sharifah Mazlina Berjaya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.