Pages

Subscribe:

27 Oktober, 2009





Semasa di sekolah rendah lagi saya telah mengenali nama Leftenan Adnan bin Saidi. Dia terkorban di medan perang ketika mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Kisah keberaniannya memimpin pasukan Askar Melayu seramai 42 orang menentang beratus tentera Jepun amat membanggakan orang Melayu. Pertempuran di Bukit Candu yang terletak di Pasir Panjang, Singapura itu menyaksikan gugurnya seorang perwira Melayu merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah.

Menurut Lt General A.E Percival dalam perutusannya berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

Selepas dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Pasir Panjang. Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan dengan Tentera Jepun.

Korporal Yaakob, yang mendapat pingat keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran di Bukit Candu. Menurut Korporal Yaakob, semasa pertempuran sedang berlaku, dia turut terkena tembakan musuh dan terjatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Dia terselamat kerana berpura-pura mati dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi.

Tentera Jepun yang marah kerana keberaniannya menentang musuh sehingga ramai yang terkorban telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan Leftenan Adnan yang cedera parah itu pada dahan pokok ceri.

Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah berbaris panjang kemudian mereka berjalan di bawah pokok ceri itu. Setiap orang yang lalu di bawah pokok ceri itu telah menikam tubuh Leftenan Adnan yang tergantung pada pokok tersebut dengan boyonet. Kejadian itu dilihat oleh Koperal Yaakob.

Tentera Jepun juga telah melarang orang-orang kampung yang hendak mengebumikan mayat tersebut. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang hancur itu telah dibakar.

Kisah Leftenan Adnan telah difilemkan tetapi saya tidak sempat menontonnya. Terlintas juga di hati saya hendak menjadikannya sebuah novel. Insya-Allah.
Dicatat oleh Latiptalib di 11:46 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.