Pages

Subscribe:

27 Oktober, 2009

Perang boleh dihapuskan



Akibat Perang Dunia
TRAGEDI peperangan tidak pernah memberi sebarang keuntungan kepada kehidupan manusia sejagat. Apatah lagi dalam setiap perang yang berlaku dalam dunia moden sekarang ia dikaitkan dengan peranan kuasa-kuasa besar sama ada secara langsung atau pun di belakang tabir.

Jika dahulu peperangan yang berlaku hanya melibatkan di antara tentera sahaja tetapi kini skop serangan semakin meluas sehingga melibatkan kawasan bandar mahupun kampung. Yang menjadi mangsa adalah masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita mahupun orang tua.

Dalam wawancara dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berlangsung di pejabatnya di tingkat 86, Menara Berkembar Petronas bersama wartawan Mingguan Malaysia, WAN NORAZAH WAN CHIK dan HAFIZAHRIL HAMID beliau dengan lantang mengecam peperangan sebagai satu jenayah yang digunakan kuasa besar sebagai alasan untuk mewujudkan keamanan.

Beliau turut berharap melalui Persidangan dan Pameran Antarabangsa mengenai Jenayah Perang yang dianjurkan Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana (PGPF) selama empat hari mulai Rabu ini, ia dapat mendidik masyarakat dunia mengenai erti peperangan serta menanamkan sifat sukakan keamanan, kasih sayang dan belas kasihan.


Mingguan: Macam mana kita boleh mendedahkan jenayah perang kerana kuasa-kuasa besar sering memainkan peranan di belakang tabir?

Dr. Mahathir: Kalau kita lihat dahulu dalam soal perhambaan yang mengamalkan, mendagang serta mempunyai hamba yang ramai adalah mereka dari negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Tetapi apabila mereka memperolehi pendapat umum yang menolak perkara ini melalui suara dan undi mereka, maka kita boleh secara beransur-ansur menukar pemikiran.

Kita punya cadangan adalah supaya sesiapa yang ingin jadi calon presiden, ahli Kongres atau ahli Parlimen di negara-negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan, mereka perlu berikrar tidak akan menggunakan peperangan untuk menyelesaikan sebarang pertelingkahan. Jika kita bagi sokongan kepada pemimpin seperti ini maka kita akan dapat Parlimen yang dipenuhi oleh mereka yang anti peperangan. Mereka ini juga boleh membuat undang-undang mencegah perang. Inilah yang berlaku ketika cubaan menghapuskan perhambaan. William Wilberforce, seorang ahli Parlimen Britain telah berusaha selama 20 tahun untuk menghentikan perdagangan hamba.

Namun akhirnya bukan sahaja perdagangan hamba dihentikan oleh kuasa besar dan peniaga besar tetapi hati kecil manusia beranggapan mempunyai hamba adalah sesuatu yang tidak harus dilakukan oleh mereka yang bertamadun. Mungkin satu hari kita akan mendapati orang ramai yang akan menjadi mangsa bila ada peperangan, mereka akan jadi mangsa.

Dahulu perang hanya membabitkan tentera dengan tentera di lapangan perang. Namun sekarang seluruh negara adalah lapangan perang. Apabila tentera meletupkan bom mereka bukan memilih sama ada mangsa itu askar atau atau bukan askar. Semua jadi mangsa sama ada orang tua, muda, perempuan atau lelaki semua kena. Maka ia adalah atas kepentingan orang ramai bahawa perang perlu dihapuskan. Ini kerana yang akan jadi mangsa adalah orang ramai sama ada mereka ini penyokong kerajaan atau musuh semua kena.

Bagaimana dengan pandangan bahawa kebanyakan peperangan dilakukan untuk melariskan perdagangan senjata?

DR. MAHATHIR: Ini sudah menjadi satu masalah yang besar. Sebenarnya industri senjata merupakan penyumbang terbanyak kepada ekonomi sesebuah negara. Jika tidak ada industri senjata atau penyelidikan berjuta pekerja akan kehilangan kerja mereka dan juga para kapitalis akan kehilangan keuntungan mereka. Namun apabila kita menghasilkan senjata maka ia akan ditambah baik dan ia akan dihasilkan dalam skala yang besar. Ini seolah-olah menunjukkan semakin banyak senjata maka kita tidak akan kalah dalam perang.

Jadi apa yang akan dilakukan ialah berperang, membunuh manusia dan menguji senjata. Selepas itu mereka akan menghasilkan lebih banyak senjata baru. AS telah mula berpandangan tentang perang pada masa depan di angkasa lepas. Dan Presiden Ronald Reagan telah mengasaskan Star Wars. Mereka ini tidak ada pandangan lain selain berperang dan perang bagi mereka adalah penyumbang besar kepada ekonomi. Jika dihentikan industri ini tentulah akan memberikan masalah. Namun sebenarnya kita boleh atasi masalah itu seperti mengalihkan perbelanjaan untuk penyelidikan contohnya kajian untuk ubat penyakit AIDS ataupun H1N1.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

=====================================================================================
Usaha 'menjenayahkan perang'

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK
rencana@utusan.com.my

PEPERANGAN tidak pernah memberi sebarang kebaikan jika dilihat pada ruang lingkup kehidupan manusia sejagat.

Kesan buruk yang dicetuskan oleh peperangan biasanya terlalu banyak berbanding dengan kebaikan yang mungkin hanya bersifat sekelumit.

Kalah dan menang tidak menjanjikan sebarang keuntungan. Dalam peperangan, kalah menjadi abu manakala yang menang menjadi arang. Kedua-dua pihak tetap menanggung kerugian.

Kemusnahan harta benda, kehilangan jiwa dan kecacatan seumur hidup selain kesengsaraan dan tekanan jiwa merupakan antara kesan yang dihasilkan oleh sesuatu peperangan.

Perang secara tradisional hanya melibatkan antara tentera dan tentera. Namun penghasilan senjata-senjata canggih dari semasa ke semasa telah mencipta satu bentuk peperangan yang ada ketikanya tidak tercapai oleh akal. Perang boleh memusnahkan segala-galanya. Sebuah negara yang makmur boleh bertukar menjadi "padang jarak padang tekukur".

Apa yang digambarkan menerusi filem-filem termasuk Star Wars mungkin menjadi nyata di bumi sekiranya perang zaman moden ini tidak dicegah. Peperangan ternyata memberi makna yang sangat menakutkan. Perang zaman moden melibatkan kemusnahan massa. Ia membabitkan orang awam. Apabila sesuatu bom digugurkan, ia tidak mengenal mangsa. Maka sesiapa sahaja boleh menjadi korban. Kanak-kanak atau dewasa, lelaki atau wanita malah tua atau muda.

Berdasarkan kepada elemen bencikan perang dan keganasan inilah maka Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana (PGPF) mengambil inisiatif menganjurkan persidangan dan pameran empat hari bertemakan "Menjenayahkan Perang".

Langkah menjenayahkan perang ini meliputi gerakan untuk menghentikan pembunuhan ke atas penduduk yang tidak berdosa; menghapuskan usaha mengaut keuntungan daripada pertumpahan darah; menghentikan laporan media yang memberi gambaran positif dan mengagungkan perang selain menghentikan pengeluaran senjata pemusnah.

Mendapat ilham daripada kejayaan penghapusan perdagangan hamba dan perhambaan, usaha menjenayahkan perang ini diharap akan membuahkan hasil - tanpa meletakkan suatu tempoh masa tertentu.

Menurut Pengerusi PGPF, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pihaknya tahu usaha menjenayahkan perang ini mungkin akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan. Bagaimanapun sesuatu perlu dilakukan untuk menggerak usaha ke arah itu.

"Saya pastinya sudah tiada di dunia ini ketika usaha menjenayahkan perang ini berjaya dilaksanakan. Namun sama ada dapat melihatnya atau tidak, kita perlu berusaha ke arah itu,'' kata beliau.

Dr. Mahathir yang tegas mengecam peperangan itu berpendapat, usaha menjenayahkan perang perlu dilakukan seperti apa yang pernah diusahakan untuk mengharamkan perhambaan.

Katanya, sokongan majoriti penduduk dunia perlu diperoleh untuk menjadikan perangan sebagai satu bentuk jenayah.

"Jika membunuh seorang individu dianggap jenayah dan pembunuh dihadapkan ke mahkamah, bagaimana pula dengan perang yang menyebabkan ratusan malah ribuan penduduk terkorban?" kata beliau.

Menurutnya, suatu ketika dahulu, perhambaan merupakan satu perkara biasa. Tetapi usaha berterusan tanpa jemu untuk menghapuskannya telah membuatkan orang ramai menerima perhambaan sebagai sesuatu yang tidak bertamadun.

"Inilah yang cuba kita lakukan untuk menghapuskan peperangan dan menjadikan perang sebagai satu bentuk jenayah,'' katanya.

PGPF yang komited dengan usaha tersebut telah berjaya mendapat kerjasama daripada tokoh-tokoh terkenal dari serata dunia untuk menjayakan Persidangan dan Pameran Antarabangsa mengenai Jenayah Perang.

Acara empat hari yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bermula hari ini dan berakhir Sabtu nanti. Ia diharap dapat mendidik masyarakat dunia mengenai erti peperangan serta menanamkan sifat sukakan keamanan, kasih sayang dan belas kasihan.

Persidangan dua hari bermula hari ini itu akan menyaksikan pelbagai perbincangan mengenai usaha menjadikan peperangan sebagai satu jenayah.

Acara ini akan meliputi persidangan dua hari, pendengaran kes untuk membabitkan perang sebagai satu jenayah oleh sebuah suruhanjaya dan juga pameran mengenai kekejaman perang.

Persidangan bermula dengan ucaptama bertajuk "Menjenayahkan Perang" oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum beliau merasmikan Pameran Jenayah Perang.

Tiga sesi perbincangan akan berlangsung hari ini dengan masing-masing bertajuk "Melanggar Undang-Undang Antarabangsa", "Perang Ekonomi" serta "Perang dan Orang Awam".

Antara panel yang akan terlibat dalam sesi-sesi perbincangan tersebut ialah ahli Parlimen Britain, George Galloway dan bekas ahli Kongres Amerika Syarikat, Cynthia McKinney.

Selain itu ia turut disertai oleh bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Hans von Sponeck; Pensyarah Kolej Perubatan, Universiti Syria, Khudhair Waheed Hussein dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Hari kedua persidangan akan menyaksikan perbincangan mengenai "Perang dan Media Massa", "Perang dan Senjata yang Diharamkan" serta "Keamanan dan Keadilan".

Sesi kali ini akan menyaksikan kehadiran ahli-ahli panel yang tidak kurang hebatnya seperti bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Denis Halliday; pakar mengenai uranium, Leuren Moret; bekas Naib Presiden Universiti Mamoun yang juga saintis Iraq, Dr. Souad Al-Azzawi dan bekas Presiden Universiti Islam Antarabangsa, Tan Sri Sanusi Junid.

Persidangan ini akan sampai ke kemuncak apabila Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur mendengar keterangan saksi-saksi yang menjadi mangsa kekejaman dan jenayah perang di Iraq selepas pencerobohan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya pada 20 Mac 2003.

Seramai lapan saksi dari Iraq akan memberi keterangan berhubung apa yang dilalui oleh mereka sepanjang menjadi tahanan di bawah tentera penceroboh di negara tersebut.

Bahan-bahan bukti yang diperoleh semasa keterangan pada suruhanjaya tersebut akan dibawa untuk pendengaran kes di Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada hari terakhir persidangan Sabtu ini.

Walau apa pun hasil akhir yang diperoleh daripada persidangan ini, ia telah pun mencipta satu sejarah. Sekurang-kurangnya terdapat usaha yang bersungguh-sungguh daripada pihak dan tokoh-tokoh yang cintakan keamanan untuk menghapuskan peperangan.

Apa yang telah dilalui oleh negara-negara yang menjadi mangsa peperangan seharusnya menjadi pengajaran. Peperangan tidak menjanjikan masa depan. Baik kepada pihak yang memulakan peperangan apatah lagi pihak yang menjadi mangsa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.