Pages

Subscribe:

28 November, 2009

LIMA 2009- LANGKAWI MALAYSIA


3,506 anggota tentera sertai LIMA 2009
LANGKAWI 28 Nov. - Seramai 3,506 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada sektor maritim menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 09) yang akan bermula 1 hingga 5 Disember ini.

Pengarah Urusan HW LIMA Sdn. Bhd., Ahmad Dzuhri Abd. Wahab berkata, kesemua mereka melibatkan pegawai dan LLP daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin dan kapal-kapal asing.

Menurutnya, TLDM menghantar seramai 1,123 pegawai dan LLP, APMM (163), Pasukan Gerak Marin (26) dan kapal asing (1,923).

"Pegawai dan anggota LLP daripada kapal-kapal asing atau tentera laut asing paling ramai menyertai pameran kali ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzuhri berkata, TLDM akan mempamerkan kapal paling banyak iaitu sebanyak 14 buah kapal, APMM (4 buah), Pasukan Gerak Marin (2) dan Kapal-kapal asing sebanyak 11 buah.

Kapal-kapal milik TLDM adalah KD Sri Inderasakti, KD Lekiu, KD Tunku Abdul Rahman, KD Lekir, KD Laksamana Tan Pusmah, KD Laksamana Hang Nadim, KD Jerai, KD Ledang, KD Kinabalu, KD Perantau, KD Perak, KD Perdana, KD Gempita dan Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera.

APMM pula menyaksikan kapalnya iaitu KM Langkawi, KM Marlin, KM Mulia dan KM Siangin manakala Pasukan Gerak Marin melalui kapal KPD Tumpat dan KPD Temenggung.

Kapal-kapal asing pula dua kapal dari Pakistan iaitu PNS Khaibar dan PNS Moawin, ROKS Chungmugong Yi Sun Shin dan ROKS Dokdo dari Republik Korea dan BRP Quezon dan BRP Dagupan City dari Filipina.
Pesawat tempur gegar ruang udara Langkawi
LANGKAWI 28 Nov. - Ruang udara pulau legenda Langkawi mula digegarkan dengan pesawat-pesawat tempur yang membuat latihan terakhir menjelang berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) Selasa ini.

Beberapa pesawat tempur seperti Sukhoi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan helikopter Apache Longbow AH-64D milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dilihat berlegar-legar sekitar ruang udara Langkawi.

Pesawat supersonik yang bingit bunyinya itu dan helikopter pejuang yang membuat penampilan sulung dalam sejarah penganjuran LIMA sejak 1991, menarik perhatian orang ramai yang berada di pulau ini.

Malah orang ramai dilihat berkumpul di luar pagar berdekatan landasan lapangan terbang tersebut dan juga kawasan-kawasan tinggi berhampiran bagi melihat lebih dekat pesawat yang turun dan naik serta membuat latihan itu.

Pengarah Urusan HW Lima Sdn. Bhd., syarikat penganjur pameran kali ini, Ahmad Dzuhri Abdul Wahab berkata, LIMA 2009 akan berlangsung dari 1 hingga 5 Disember ini melibatkan 325 peserta dari 25 buah negara.

''Pameran sektor udara akan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bersebelahan lapangan terbang manakala pameran maritim di Awana Porto Malai," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Menurutnya, LIMA 2009 dijadual akan dibuka secara rasmi pada 1 Disember ini dan orang ramai berpeluang melawat pameran di MIEC pada 3 dan 4 Disember.

''Pertunjukan udara oleh pesawat tempur akan bermula Selasa ini dan akan diadakan setiap hari bermula pukul 10 pagi," katanya.

Ahmad Dzuhri berkata, bersempena LIMA 2009, Persidangan Maritim Antarabangsa akan diadakan esok manakala Persidangan Kuasa Udara pada Isnin ini.

Selain pameran udara dan maritim katanya, LIMA juga akan menjadi tempat untuk para peserta melihat peluang niaga dalam industri berkaitan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.