KUALA LUMPUR 31 Jan. - Perkembangan terbaru kemelut politik yang membabitkan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng amat meresahkan Pas terutama di kalangan pemimpin utama parti itu.
Meskipun keadaan dikatakan semakin meruncing, menurut sumber, kepimpinan Pas tetap dengan pendekatan 'tunggu dan lihat' sebelum membuat tindakan susulan.
Kata sumber itu lagi, pendirian Pas berhubung isu itu jelas iaitu parti berkenaan tidak akan campur tangan sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk menyelesaikannya.
''Sungguhpun begitu, walau apa jua bentuk jalan penyelesaiannya Pas tetap tidak mahu DAP menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang.
''Ini kerana kami teramat khuatir yang ia boleh memberi impak terhadap Islam dan kepentingan Melayu di negara ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber itu mengulas kemelut yang berlaku antara Zahrain yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang dan Guan Eng.
Zahrain sebelum ini telah melabelkan Guan Eng sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya kerana sikapnya yang tidak suka dikritik selain berucap dalam bahasa Mandarin semasa konvensyen pakatan pembangkang baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP itu juga didakwa gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu dan dianggap akan menjadi liabiliti kepada pakatan pembangkang sekiranya masih mengekalkan rentak pentadbiran yang diamalkan sekarang.
Sementara itu, Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustapha Ishak berkata, sudah tiba masanya Pas mengkaji semua kedudukannya dalam pakatan pembangkang.
Beliau berkata, hasil daripada pengamatannya selama ini Pas sejak berada di dalam pakatan gagal memainkan peranan untuk membela Islam mengikut konteks yang sebenar berbanding ketika parti itu sendirian.
''Pas bagi saya gagal menjadi parti alternatif terbaik kepada orang Melayu kerana terlalu ikutkan rentak PKR dan DAP. Mereka terpaksa mengorbankan matlamat perjuangan mereka asalkan kedudukan dalam pakatan tidak terjejas.
''Ini semuanya adalah disebabkan politik. Pas nampaknya lebih rela meraih sokongan PKR dan DAP demi pilihan raya, demi politik dan demi kuasa.
''Pas sebenarnya kuat tetapi mereka yang meletakkan kedudukan sehingga serendah ini. Mereka berada pada kedudukan nombor tiga dari segi jumlah Ahli Parlimen. Secara peribadi saya kurang yakin dengan kemampuan Pas sekarang,'' katanya lagi.
Beliau percaya sokongan masyarakat Islam dan Melayu terhadap Pas semakin terhakis sekiranya parti itu terus memainkan rentak serupa dengan PKR dan DAP.
''Ingatlah agama suci Islam ini jika tidak dijaga akan ada musibah yang akan diturunkan oleh Allah satu hari nanti. Saya yakin ini yang akan berlaku,'' katanya.
Sedia terima hukuman
Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
PULAU PINANG 31 Jan. - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kesal niat baik beliau mahu mempertahankan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan dirinya bakal berdepan tindakan daripada parti itu.
Bagaimanapun, menurut Zahrain, beliau bersedia menerima apa sahaja hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya dan tidak akan sama sekali menarik balik kenyataannya sebelum ini.
Menurut bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu, apa yang beliau lakukan adalah semata-mata untuk membuka mata kepimpinan tertinggi PKR mengenai senario sebenar yang berlaku di negeri ini.
''Namun jika mereka menganggap tindakan itu salah, maka itu hak kepimpinan parti untuk kenakan tindakan, terpulanglah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya tidak kisah apa sekali pun.
''Saya sudah buat apa yang saya patut lakukan dan jika pemimpin parti masih lagi tidak nampak dan masih mahu ditekan DAP, gelaplah masa depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jawatankuasa Disiplin PKR hari ini menetapkan tempoh selama sebulan untuk meneliti tindakan yang akan diambil ke atas dua wakil rakyatnya, Zahrain dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.
Tindakan ke atas Zahrain dan Zulkifli diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, di sini, hari ini.
Selain kedua- dua Ahli Parlimen berkenaan, PKR juga akan mengkaji kemungkinan mengambil tindakan ke atas bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Zaid Ibrahim kerana mengkritik parti.
Zahrain dikenakan tindakan itu selepas beliau mengkritik secara terbuka pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Beliau dalam kecaman ke atas Guan Eng menyifatkan, Setiausaha Agung DAP itu seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.
Sementara itu, Zahrain juga membidas segelintir pemimpin parti yang memilih untuk mengetepikan maruah demi kepentingan diri sendiri.
Tanpa menamakan siapa pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan itu, Ahli Parlimen Bayan Baru itu memberitahu, mereka ini sanggup 'butakan mata dan pekakkan telinga' semata-mata hendak menjaga 'kerusi' masing-masing.
''Saya tahu dan mereka juga sememangnya tahu bahawa kita sudah lama tidak puas hati dengan tindak tanduk Guan Eng dalam mentadbir kerajaan negeri ini.
''Saya dengan lantang luahkan apa yang terpendam kerana saya tidak sanggup korbankan integriti saya dan kalau orang lain sanggup saya tidak boleh kata apa," katanya.
Tambah beliau, selama lebih dua tahun berusaha bertolak ansur dengan pelbagai isu yang timbul di bawah kepimpinan Guan Eng, namun kesabarannya teruji apabila terus diserang dengan tuduhan akan keluar PKR.
Beliau menganggap serangan seperti itu seolah-olah mencabar kewibawaannya sebagai seorang pemimpin dan wakil rakyat di negeri ini dan akhirnya beliau memilih untuk tidak berkompromi dengan Guan Eng lagi.
''Saya tidak kecewa dengan apa yang telah berlaku kerana perjuangan membela nasib rakyat adalah mengatasi segala-galanya dan saya juga tidak takut untuk membuat teguran atau menyuarakan apa sahaja yang dirasakan perlu.
''Pada saya teguran itu perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan supaya masalah yang ada tidak terus menjadi parah sekali gus menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kita," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.