16 Februari, 2010
[hang nadim] "Pijah pulanglah kepada abah"
"Pijah pulanglah kepada abah"
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Bapa kepada Noorlaili Hafizah, gadis yang melarikan diri dari rumah untuk berkahwin dengan lelaki berasal dari Jawa Timur yang dikenalinya sejak enam tahun lalu, hari ini merayu agar anaknya pulang ke pangkuan keluarga.
Omar Mahmud, 56, berkata biarpun anak keempatnya itu sanggup membelakangkan dirinya, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan kasih dan sayangnya sebagai seorang bapa.
"Saya tak tahu sama ada Pijah makan atau tak. Tengoklah Pijah... kakak- kakak dan adik-adik merinduimu. Pulanglah segera. Sudah lama kami tak melelapkan mata, memikirkan keselamatan Pijah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Setia Jaya, Setapak di sini hari ini.
Omar juga berkata, dia tidak marah dengan anaknya itu malah sanggup menerimanya kembali dengan hati yang terbuka sekiranya dia pulang ke pangkuan keluarga.
Katanya, firasat hatinya kuat mengatakan anak kesayangannya itu masih berada di Malaysia.
"Sekiranya benar apa firasat abah katakan, Pijah pulanglah... pulanglah kepada abah," rayunya berulang- ulang kali.
Omar berkata, kali terakhir Noorlaili Hafizah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah pada pada hari kejadian yang mengatakan dia sudah berada di Johor dan menunggu untuk bertolak ke Jawa Timur, dipercayai melalui nombor telefon lelaki warga Indonesia itu.
"Bagaimanapun cubaan kami untuk menghubungi nombor itu gagal apabila masuk ke peti suara," ujarnya.
Ditanya maklum balas orang awam terhadap kisahnya setelah disiarkan di akhbar, beliau berkata, ada yang memujuknya supaya tabah manakala tidak kurang juga mengejek melalui penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, Pemuda UMNO sedia berbincang dengan Jabatan Imigresen Indonesia serta pasukan penguat kuasa Malaysia bagi menjejaki Noorlaili Hafizah yang dipercayai dilarikan ke Indonesia, Jumaat lalu.
Beliau berkata, pihaknya akan 'bergerak' secepat mungkin bagi membolehkan gadis itu dibawa pulang ke negara ini dengan segera.
"Lebih merisaukan lagi adalah status perjalanan Noorlaili Hafizah sama ada dia memasuki Indonesia secara sah atau sebaliknya.
"Bagaimanapun kita akan berbincang dengan pihak penguat kuasa Malaysia dan Indonesia bagi menjejaki Noorlaili Hafizah," katanya selepas melawat ke rumah keluarga Noorlaili Hafizah hari ini.
Muhammad Khairun juga menasihati gadis-gadis tempatan supaya tidak mudah terpedaya dengan kata-kata manis warga asing.
Noorlaili Hafizah disedari hilang Jumaat lalu setelah kakaknya terbaca nota yang ditinggalkannya, malam kejadian.
Antara bunyi nota yang ditulis ialah: "Abah mula ari nie Pijah tak balik rumah sebab Pijah ikut Abang Jo pergi Indonesia, kita kawin kat sana.
"Abah, abah kita mintak maaf atas perbuatan jahat kita abah, kita sedih sangat abah, tapi kita suka kat Abang Jo. Dia baik abah, kalau tak buat cara ni abah tak mungkin bagi kita kawin ngan Abang Jo sebab abah tak suka ngan orang Indonesia, sebab tu kita buat."
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Bapa gadis yang dilarikan oleh pemuda Indonesia ke Jawa Timur, hari ini merayu kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu mengesan dan membawa pulang Noorlaili Hafizah, 19, ke Malaysia.
Omar Mahmud, 56, berkata, ini kerana beliau dan keluarganya amat bimbang dengan keselamatan anak gadisnya itu yang disifatkannya masih mentah.
"Saya merayu semua seperti pihak kedutaan, Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan NGO yang pernah ke sana agar dapat bantu membawa pulang anak saya kembali.
"Saya juga berharap agar Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO juga membantu saya.
"Saya percaya dengan pengalaman mereka membantu gadis Malaysia yang menghadapi masalah sama, boleh menyelamatkan Noorlaili," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan tentang kebimbangan Omar dan keluarganya ekoran kehilangan Noorlaili Hafizah sejak Jumaat lalu.
Omar percaya anaknya telah dilarikan oleh seorang pemuda Indonesia bernama Sarjo yang pernah bekerja membina kondominium di seberang jalan sebelah rumahnya.
Melalui nota ditinggalkan gadis itu, Noorlaili Hafizah memaklumkan tujuannya melarikan diri ke Indonesia adalah untuk mengahwini Sarjo atau Abang Jo yang dikenalinya sejak 2005.
Menurut Omar, sejak berita kehilangan anaknya disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini, ramai yang menghubunginya untuk menyatakan simpati kepada keluarganya.
"Ramai pembaca dari seluruh Malaysia menghubungi saya sejak pagi tadi. Mereka menyatakan simpati dan berjanji akan menyalurkan maklumat jika mengetahui di mana anak saya berada," katanya.
"Kepada mereka, saya ucapkan terima kasih dan berharap ada yang akan mengirimkan khabar gembira mengenai Noorlaili Hafizah kepada saya dalam tempoh terdekat ini," katanya
HARAPAN HANG NADIM
JANGAN MENYUSAHKAN IBU BAPA YANG MEMELIHARA ANAK DENGAN KASIH SAYANG BETAPA HANCURNYA
SEORANG IBU DAN AYAH........KALAU NAK KAHWIN PUN BUAT SECARA BERADAT....JANGAN LAKUKAN SEPERTI MERAMPAS.....AWAS JANGAN ADA PULA ORANG AMBIL KESEMPATAN MENAGIH UPAH.....PAK POLISI SEDANG MENGAMBIL PERHATIAN.....ALLAH MELIHAT APA YANG ANDA BUAT.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.