AL FATIHAH.......SEMOGA ALLAH CUCURI RAHMAT KEATASNYA
KAHERAH 10 Mac – Sheikh Al-Azhar, Sheikh Mohammed Sayed Tantawi meninggal dunia di Arab Saudi hari ini setelah mengalami serangan sakit jantung. Beliau berada di Riyadh untuk menghadiri majlis anugerah Raja Faisal malam tadi.
Tantawi, 82, sedang menaiki sebuah pesawat awal pagi ini apabila beliau berasa sakit lalu terjatuh di tangga, lapor stesen televisyen Mesir.
Beliau dikejarkan ke Hospital Amir Sultan di Riyadh di mana doktor mengesahkan kematiannya.
Jenazahnya dijangka dibawa pulang ke Kaherah, malam ini.
Tantawi dilantik sebagai Mufti Besar Mesir pada 1986. Beliau memegang jawatan itu selama hampir 10 tahun sebelum dilantik menjadi Sheikh Al-Azhar pada 1996.
Pada tahun lepas, Tantawi mencetuskan kontroversi apabila beliau mengharamkan pemakaian niqab (purdah) di semua sekolah dan asrama untuk pelajar perempuan di bawah kendalian Al-Azhar.
Al-Azhar, sebuah kompleks universiti dan masjid berusia lebih 1,000 tahun adalah antara pusat pengajian Islam paling terkemuka di dunia dan mengendalikan sekolah, universiti dan institusi pendidikan lain di seluruh Mesir. – Agensi
Pemergian Tantawi sukar dicari ganti – Jamil Khir
KUALA LUMPUR 10 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melahirkan rasa dukacita bagi pihak rakyat dan juga kerajaan Malaysia di atas pemergian ulama terkenal dunia, Sheikh Mohammed Sayed Tantawi ke rahmatullah.
Jamil Khir berkata, jasa Allahyarham Tantawi cukup besar dalam bidang keilmuan sehingga memberi manfaat kepada umat Islam di seluruh pelosok dunia.
Katanya, pemergian ulama terkenal itu sukar untuk dicari ganti dan akan terus menjadi simbol kebanggaan kepada umat Islam.
Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan ucapan takziah itu ketika merasmikan Majlis Ramah Mesra Menteri Bersama Warga MAIWP, Syarikat-Syarikat MAIWP dan Media di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay di sini malam ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohd.
Sementara itu dalam ucapannya, beliau juga menyarankan MAIWP supaya berusaha untuk meningkatkan aset menerusi pembangunan hartanah dan pelaburan-pelaburan lain dengan lebih bijak dan berdaya saing.
Satu kehilangan besar bagi dunia Islam
KUALA LUMPUR 10 Mac - Pemergian ulama terkenal yang juga Sheikh Al-Azhar, Sheikh Mohammed Sayed Tantawi di Riyadh, Arab Saudi hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi dunia Islam.
Penasihat Agama Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, semasa hayat beliau, Tantawi merupakan antara pemimpin Islam yang terunggul di dunia.
"Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar bagi dunia Islam.
"Sebagai anak didiknya, saya berasa sangat sedih dengan pemergiannya,'' kata Nooh yang pernah mengikuti kursus Pengurusan Fatwa di Darul Al-Iftak, Kementerian Keadilan Mesir di bawah seliaan Tantawi, lebih 10 tahun lalu.
"Allahyarham adalah seorang ulama yang terkenal dengan sikap pemurah. Hampir semua kos bagi mengendalikan kursus tersebut ditanggung olehnya,'' kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Nooh lagi, Tantawi adalah seorang yang begitu istimewa dan terkenal dengan sikap warak dan tinggi ilmunya.
Malah katanya, Allahyarham turut dianggap sebagai sumber rujukan bagi dunia Islam.
Semasa hayatnya, Tantawi telah menghasilkan beberapa kitab yang menjadi sumber rujukan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Antaranya termasuklah tafsir al-Quran setebal 7,000 muka surat yang dikenali sebagai Al-tafser al-waset yang dihasilkannya dalam tempoh 10 tahun.
Dua buku lain yang turut terkenal ialah Bano Israel yang mengisahkan perjalanan hidup kanak-kanak di Israel serta buku Muamalat al-Bank yang menceritakan tentang urus niaga bank.
Ilmu agama Tantawi turut diiktiraf kerajaan Malaysia apabila Allahyarham pernah beberapa kali dijemput ke negara ini untuk menyampaikan ceramah pada seminar dan majlis ilmiah Islam.
"Sehubungan itu, saya berharap umat Islam di negara ini untuk menyedekahkan al-Fatihah dan mengadakan solat sunat kepada Allahyarham kerana ini adalah satu kehilangan yang besar bagi kita," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz turut menyifatkan pemergian Tantawi sebagai kehilangan yang amat besar kepada ketamadunan Islam.
"Allahyarham banyak memberi sumbangan dalam dunia keilmuan Islam," katanya.
"Jakim juga telah banyak merujuk pendapat Allahyarham dalam banyak perkara berkaitan penyelidikan Islam.
"Allahyarham juga banyak menabur jasa khususnya membantu Malaysia dengan memberi banyak ruang dan peluang pendidikan kepada pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.