Pages

Subscribe:

06 Mac, 2010

[hang nadim]Peserta China juara pidato PABM
















peserta dari Indonesia Leonora Lydia Gebby Wentuk (dua dari kiri) mempelajari cara menganyam ketupat daripada Jaliah Mohd. Piah (tiga dari kiri) ketika mengikuti Program Homestay di Agrotourism Inap Desa Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin, Melaka, semalam.

Peserta PABM tertarik kehidupan desa

JASIN 7 Mac - Menganyam ketupat dan mengacau dodol, mungkin amalan biasa bagi rakyat negara ini namun ia memberi pengalaman baru kepada peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri.

Seramai 22 peserta program itu berkampung di Agrotourism Inap Desa, Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini sejak semalam.

Walaupun janggal, mereka kelihatan tekun dan teruja mempelajari teknik menganyam ketupat dan membantu menyediakan kuih tradisional Melayu seperti dodol dan kuih Melaka.

Apa yang pasti, rata-rata mereka yang berusia lingkungan 20-an menganggap pengalaman yang diperolehi sepanjang bergaul dengan masyarakat Kampung Sungai Rambai sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

Karina Pomonar, 21, dari Armenia berkata, dia amat bertuah kerana diberi peluang untuk mengenali dengan lebih dekat cara kehidupan masyarakat kampung di negara ini.

Pelajar Universiti Antarabangsa Kyir di Ukraine itu berkata, dia menggunakan sepenuhnya peluang mempelajari tentang budaya dan corak kehidupan penduduk kampung sepanjang berada di inap desa di situ.

''Saya fikir ada sesetengah kerja di tempat saya (Armenia) sudah rumit namun membuat ketupat ini lagi sukar, saya terpaksa mengamati sepenuhnya cara menganyam namun masih tidak berhasil," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Karina dan 22 peserta PABM ditemui ketika menyertai aktiviti menganyam ketupat dan membuat kuih tradisional Melayu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abdul Rahman di pekarangan Agrotourism Inap Desa, Parit Penghulu di sini hari ini.

Bagi pemenang kategori antarabangsa dari China, Zhang Song, 20, sewaktu mula menjejak kaki di inap desa semalam, dia amat terpegun dengan kehijauan alam sekitar dan sawah yang terdapat di kampung tersebut.

''Cuaca agak panas di kampung ini berbanding Kuala Lumpur tetapi ia tidak menghalang rasa teruja saya untuk menyertai pelbagai aktiviti kampung yang dianjurkan.

''Penduduk kampung di sini amat ramah sekali dan mungkin kerana saya boleh berbahasa Melayu, interaksi kami tidak sukar, pengetahuan yang ada mengeratkan hubungan saya dengan penduduk," katanya yang mendapat gelaran nama Melayu sebagai Nuriah

ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 5 Mac - Peserta dari China, Zhang Song muncul sebagai juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 bagi kategori antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Sementara peserta dari Malaysia, Mohd. Syazwan Shuhaimi pula dinobatkan sebagai juara bagi kategori Nusantara dalam pertandingan peringkat akhir yang disertai lapan peserta, malam ini.

Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM17,500, piala pusingan dan piala iringan.

Naib johan kategori antarabangsa dimenangi oleh Natalya Budanova dari Rusia dan tempat ketiga menjadi milik peserta dari Jerman, Josee Hunnekes.

Bagi kategori Nusantara, Naib Johan dimenangi oleh peserta dari Kemboja, Chai Lany Sles, manakala tempat ketiga dimenangi Leonora Lydia Gebby Wentuk dari Indonesia.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,500 dan RM7,000 dengan piala iringan untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.

Zhang Song ketika ditemui menyifatkan kemenangannya itu ibarat satu mimpi kerana kebanyakan peserta hebat-hebat belaka.

"Saya amat berterima kasih kepada tenaga pengajar, antaranya Prof. Awang Sariyan di Universiti Beijing.

"Saya suka Malaysia dan berharap akan menyertai lagi pertandingan ini pada masa depan,'' katanya.

Sementara itu, Mohd. Syazwan menyifatkan kemenangannya sebagai satu keajaiban kerana dia bukan peserta pilihan sejak dari peringkat saringan lagi.

"Saya tak sangka menang apatah lagi ini merupakan penampilan pertama saya ke pertandingan ini,'' katanya.

Warga asing dan Bahasa Melayu

Melihat anak-anak muda warga asing berpidato secara petah dan fasih dalam Bahasa Melayu, membuatkan perasaan Awang terharu. Pertama kerana kebolehan mereka yang mencuri perhatian dan kedua, keyakinan yang ditunjukkan terhadap Bahasa Melayu.

Sebab itu, Awang tidak merasa jemu menyaksikan aksi 56 peserta dari 51 negara yang menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 yang berakhir kelmarin. Kebanyakan peserta adalah dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur. Awang mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan PABM. Sejak diadakan pada 2007, pidato itu menerima sambutan hebat dari tahun ke tahun. PABM diideakan oleh Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pidato itu antara lain bertujuan memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Najib nampak jalan bagaimana Bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca suatu ketika dahulu sewaktu kegemilangan tamadun Melayu, boleh diangkat kembali ke persada dunia. Awang melihat komitmen Najib dalam menjaga kepentingan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan cukup tinggi walaupun beliau tidak pernah cakap berdegar-degar laksana pejuang bahasa. Banyak petunjuk lagi menampakkan kesungguhan Najib meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komersial. Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan di bawah kabinet beliau membuktikan hakikat tersebut. Dalam Najib berusaha meningkatkan kemampuan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing terutama Inggeris, beliau sesungguhnya telah membina landasan lebih baik untuk masa depan Bahasa Melayu.

Awang melihat usaha tersebut amat besar maknanya ketika banyak bangsa di dunia memperhebatkan survival bahasa mereka termasuk kaum-kaum lain di negara ini. Selain bahasa ibunda masing-masing, tulisan mereka juga terus diperkasakan.

Malah Awang kerap menghadiri majlis anjuran organisasi dan pihak bukan Melayu yang turut dihadiri menteri dan pemimpin serta hadirin semua kaum. Tanpa rasa teragak-agak, pihak-pihak berkenaan bercakap dalam bahasa ibunda sementara Bahasa Kebangsaan seperti tiada nilai. Untuk mengharapkan Bahasa Kebangsaan kita mendapat penghormatan tertinggi semua kaum sebagaimana yang dinikmati di Indonesia, terasa masih jauh.

Maka Awang tertarik dengan penganjuran PABM termasuk kejayaan peserta negara China, Zhang Song menjuarai kategori antarabangsa. Awang teruja dengan kebolehan dia dan peserta lain termasuk juara 2007 iaitu pelajar Rusia, Olga Vasilevskaya. Kefasihan mereka memberi harapan baru bahawa Bahasa Melayu mampu dilonjakkan.

Selepas memenangi pidato itu, Olga menyambung pengajian peringkat sarjana di negara ini. Kini penguasaan Bahasa Melayu beliau jauh lebih baik bagaikan seorang guru bahasa. Olga tidak menggunakan bahasa rojak sebagaimana dipertuturkan oleh majoriti rakyat kita termasuk orang Melayu.

Olga, Song dan para peserta PABM mengambil tempoh yang singkat untuk fasih. Sedihnya, ramai warga kita yang sehingga hari ini bukan sahaja tidak fasih dan berpelat tebal malah malu untuk bercakap dalam Bahasa Kebangsaan. Pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal misalnya mempunyai penguasaan Bahasa Kebangsaan lebih baik daripada sebahagian warganegara Malaysia. Agaknya pekerja asing peringkat bawahan lebih menghayati ungkapan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Sambutan mesra

HASAN Rahman (kiri) bersama seorang penduduk kampung, Jaliah Mohd. Piah (dua kiri) bersalaman dengan salah seorang peserta PABM yang tiba di Agrotourism Inap Desa, Parit Penghulu di Sungai Rambai, Jasin,Melaka, semalam.

PESERTA Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri buat pertama kalinya merasai suasana kampung yang nyaman di Malaysia apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Agrotourism Inap Desa, Parit Penghulu di Melaka semalam.

Ketibaan mereka disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman dan penduduk kampung.

Seramai 22 daripada 56 peserta yang menyertai program inap desa itu tidak mengendahkan panas terik, sebaliknya tetap mengukir senyuman melihat suasana dan keindahan di kampung tersebut.

Diketuai oleh juara PABM bagi kategori Antarabangsa, Zhang Song dari China, peserta PABM itu sanggup menolak untuk pulang awal ke negara masing-masing semata-mata mahu merasai kehidupan masyarakat kampung dalam program tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.