Pages

Subscribe:

16 Mac, 2010

[hang nadim]Selami tradisi masyarakat Melayu



Selami tradisi masyarakat Melayu

KETIKA mendengar kelunakan suara seorang gadis mendendangkan lagu Lelaki Ini tanpa melihat wajah si penyanyi, lenggok nyanyian dan sebutannya tidak ubah seperti seorang gadis Melayu.

Hakikatnya, pemilik suara merdu yang menyanyikan lagu Anuar Zain itu ialah seorang gadis manis dari Armenia, Karina Ponomar, 21.

Pelajar Universiti Antarabangsa Kyir, Ukraine itu berkata, dia gemar mendengar lagu-lagu Melayu kerana melodi dan lirik lagu berkenaan yang disifatkan sangat indah.

"Selain lagu Lelaki Ini, saya juga gemar mendengar lagu 1Malaysia.

"Saya belajar menyanyi lagu-lagu Melayu di Internet. Hampir setiap hari saya melayari Internet untuk mendengar sambil menyanyi bersama," katanya ketika ditemui Kosmo! di Agrotourism Inap Desa, Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Melaka baru-baru ini.

Karina merupakan salah seorang daripada 22 peserta peserta pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri yang mengikuti Program Homestay di Kampung Parit Penghulu selama empat hari mulai 6 Mac lalu.

Menurutnya, selain gemar menyanyi lagu Melayu, dia juga minat menulis lirik lagu dalam bahasa Melayu.

"Saya juga gemar menari tarian Melayu. Saya pandai menari tarian Zapin," katanya.



Menceritakan lebih lanjut, gadis itu mengakui, buat permulaan banyak cabaran yang terpaksa ditempuhnya untuk mempelajari bahasa Melayu tiga tahun lalu.

Ketiadaan institut pengajian dan pusat bahasa yang menawarkan kursus Bahasa Melayu di Yerevan menyebabkan dia sanggup berjauhan dengan keluarganya semata-mata untuk mempelajari bahasa Melayu di Universiti Antarabangsa Kyiv, Ukraine.

"Guru pertama saya bukanlah orang Malaysia atau Indonesia sebaliknya terdiri daripada warga Ukraine, Alexander Kylish. Dia mahir berbahasa Melayu kerana pernah bekerja di Indonesia," katanya.

Enggan pulang awal

Bagi Juara PABM bagi kategori Antarabangsa, Zhang Song atau nama Melayunya Noriah, 20, berkata, dia mempelajari bahasa Melayu daripada tokoh bahasa negara, Prof. Dr. Awang Sariyan sejak dua tahun lalu.

Zhang yang merupakan pelajar tahun dua di Beijing Foreign Studies University (BFSU) di China mengambil pengkhususan dalam bidang kesusasteraan dan pengajian Melayu.

"Bahasa Melayu sangat indah. Ia juga mudah dipelajari sebab itu saya memilih untuk belajar bahasa Melayu," katanya.

Menurut gadis yang petah berbahasa Melayu itu, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan pidato berkenaan kerana menyifatkan lebih ramai peserta yang lebih mahir berbahasa Melayu.

Mengenai Program Homestay tersebut, gadis ayu itu berkata, dia sanggup menolak untuk pulang awal ke China kerana ingin menikmati kehidupan masyarakat kampung di Malaysia melalui pelbagai aktiviti yang diatur.

"Saya juga berpeluang merasai pengalaman baru dan unik antaranya menganyam ketupat dan bakul.

"Ini kali pertama saya menganyam ketupat. Nampak mudah tapi sebenarnya sukar. Pengalaman ini tidak akan dapat saya lupakan," katanya.


BELAJAR memasak kuih buah melaka antara aktiviti yang mengisi masa lapang peserta homestay di Sungai Rambai.

Berbicara mengenai makanan di Malaysia, Zhang memberitahu bahawa dia menggemari sup ayam dan pisang goreng.

"Tapi saya tak pandai makan nasi dengan tangan. Kalau guna tangan, banyak yang jatuh daripada masuk ke mulut," katanya sambil ketawa.

Seorang lagi peserta PABM dari Comoros Bersatu, Ahmad Hasani, 24, berkata, dia mempelajari bahasa Melayu sejak setahun enam bulan lalu di Universiti Azali Comoros.

"Di Comoros, tidak ramai yang fasih berbahasa Melayu. Walaupun begitu, saya ingin belajar bahasa Melayu kerana ramai yang menggunakan bahasa ini di kepulauan Madagascar," katanya.

Mahir berbahasa Arab, Perancis dan Inggeris, ia masih belum dapat memberi kepuasan kepada Ahmad Hasani sehingga menyebabkan dia memilih bahasa Melayu untuk dipelajari.

"Bahasa Melayu senang dipelajari. Saya hanya memerlukan beberapa bulan saja untuk menguasai bahasa ini.

"Lagipun, banyak perkataan dalam bahasa Melayu sama dengan bahasa Arab seperti mati, mungkin dan sebab. Ini memudahkan lagi proses pembelajaran," katanya sambil memberitahu bahawa guru bahasa Melayunya merupakan seorang warga Comoros yang pernah belajar di Malaysia.

Melawat tempat bersejarah

Peserta dari Kyrgyztan, Yrslieva Olena, 26, berkata, dia telah mempelajari bahasa Melayu sejak tiga tahun lalu di Universiti Antarabangsa Kyiv, Ukraine.

"Ini kali kedua saya bertanding dalam pertandingan pidato bahasa Melayu di Malaysia.

"Tahun ini lagi seronok berbanding tahun lepas kerana kami berpeluang menjalani kehidupan di kampung selain dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di Melaka," katanya.

Menurutnya, dia menggemari makanan di negara ini terutamanya sate dan nasi ayam manakala buah mangga dan nanas menjadi buah pilihannya di sini.

"Tapi makanan yang pedas-pedas saya tak berapa suka. Cuaca di sini juga agak panas menyebabkan saya rasa kurang selesa," katanya.

Walaupun cuaca di Malaysia panas, Olena memuji keindahan pemandangan perkampungan di Malaysia yang mempunyai banya pokok dan masyarakatnya yang mesra serta peramah.

Bagi peserta dari Azerbaijan, Gubar Gurbanova, atau nama Melayunya, Jamilah, 19, dia rasa bangga apabila berpeluang mencuba permainan tradisional Melayu ketika mengikuti program homestay berkenaan.

"Azerbaijan juga mempunyai permainan tradisional antaranya benovsye. Namun tidak ada satu pun permainan tradisional di negara saya yang serupa dengan permainan tradisional di Malaysia.

"Permainan tradisional di sini lebih menyeronokkan kerana ia boleh dimanfaat oleh semua peringkat umur lelaki atau perempuan," katanya.

Sementara itu, Mohammad Taheri, 20, yang berasal dari Iran berkata, Melaka terkenal dengan tempat-tempat bersejarah dan terkenal di luar negara.

"Saya sering melihat gambar-gambar bangunan bersejarah di Melaka di Internet.

"Saya rasa bertuah kerana dapat melihatnya sendiri. Selain itu, Melaka juga mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi seperti Menara Taming Sari dan Melaka River Cruise," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.