Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
SATU trend baru dalam politik tempatan sedang muncul dan kini berkembang pesat. Perkembangan itu perlu diberi perhatian dan difikirkan secara kritis dari aspek sebab dan akibatnya dalam jangka masa panjang. Ini kerana ia akan memberi implikasi besar kepada bentuk sosiopolitik dan kecenderungan pemikiran politik demokrasi di Malaysia pada masa akan datang.
Trend yang dimaksudkan itu wujud berasaskan kepada dua senario politik yang kritikal dan saling berkaitan.
Senario pertama menyaksikan seperti biasa 'pertembungan sengit' di antara parti pemerintah yang diterajui kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang (pakatan pembangkang) yang masing-masing semakin sengit dan tersepit dalam perlumbaan untuk memenangi hati rakyat.
Keadaan yang semakin semak dan mendesak itu tidak lain dan tidak bukan bertujuan mendapatkan sokongan padu melalui undian daripada pemilih berdaftar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan datang. Dalam keadaan yang semakin mendesak itu juga, kedua-dua lawan sebenarnya masing-masing menghadapi kemelut politik dalaman yang kini kritikal.
BN perlu menyelesaikan isu tertunggak dalam parti komponennya yang ada. Antaranya adalah isu parti MCA yang dilihat sebagai api dalam sekam, selain isu parti komponen lain termasuk kepimpinan lapuk dalam parti MIC, hubungan antara UMNO dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) serta beberapa isu lain.
Pakatan pembangkang juga tidak kurang menerima bahana, apabila sekumpulan wakil rakyat dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringat negeri dan Parlimen bertindak keluar dari parti itu dan kini menjadi wakil rakyat bebas. Selain itu, terdapat juga isu melibatkan hubungan 'tiga sahabat karib' iaitu PKR-DAP-Pas yang sebenarnya boleh dianggap tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain.
Natijah daripada segala rentetan dalam hubungan tiga sahabat karib itu, maka lahir dan wujudlah senario kedua yang mana rakyat negara ini menyaksikan perubahan dari segi kecenderungan berpolitik dengan menggunakan platform bukan menerusi parti politik, sebaliknya bertindak secara sendirian, sama ada sebagai wakil rakyat bebas mahupun berjuang menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO).
Kedua-dua senario itu jelas menunjukkan bahawa politik di Malaysia pada masa kini sedang melalui satu perubahan yang bersifat 'gradual'. Walaupun perubahan itu boleh disifatkan sebagai sesuatu yang 'positif' dalam konteks politik demokrasi masa kini, namun jika dilihat dari segi kritis, ia sebenarnya satu bentuk 'percaturan politik' yang meletakkan masa depan rakyat dan negara sebagai satu bentuk 'pertaruhan' yang amat membimbangkan.
Sejarah politik dunia sudah cukup untuk membuktikan betapa percaturan politik yang sebegini hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja, sama ada pemimpin dan para pendokong parti atau kelompok politik tertentu. Keadaan itu tidak mustahil berlaku dalam politik kerana bak kata seorang tokoh politik Jerman tersohor, Otto von Bismarck: "Politics is the art of possible', iaitu dalam politik, segalanya adalah mungkin berlaku.
Dari segi sejarah tamadun manusia dan evolusi pemerintahan negara, politik sebagai 'alat mengurus' negara tidak pernah sama sekali berpihak kepada rakyat. Malah, dalam banyak keadaan, rakyatlah yang selalu menjadi mangsa dalam percaturan politik sebegini.
Barangkali, peristiwa-peristiwa seperti Revolusi Perancis (1789-1799) dan Revolusi Bolshevik (1917) boleh dijadikan contoh yang jelas bagaimana rakyat dipergunakan orang-orang tertentu atas nama 'perjuangan politik rakyat' bagi mencapai matlamat politik kelompok tertentu di Perancis dan Rusia pada ketika itu.
Oleh yang demikian, adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sepanjang proses sebegini berlangsung, dari awal hingga akhir, 'pemenang mutlak' sudah pasti bukannya rakyat, apatah lagi negara.
Bagi sesetengah pendokong parti-parti politik tertentu, keadaan itu mesti diterima oleh rakyat jelata. Inilah yang mereka sebut sebagai 'perubahan politik', yang mesti dialami dan dilalui oleh rakyat dan negara yang ingin kesejahteraan hidup berkekalan. Dalam proses itu, ujar mereka, 'perjuangan politik' adalah sangat penting, manakala 'pengorbanan' pula tidak dapat dielakkan kerana hujah mereka, tanpa pengorbanan tidak akan ada sebarang perubahan.
Rakyat marhaen sangat mudah terpengaruh dengan pandangan sebegini yang pada anggapan mereka, ia sangat tepat dan bersesuaian dengan senario politik semasa. Pertimbangan yang dibuat oleh rakyat yang kononnya marhaen itu pula seringkali tersasar. Mereka seakan-akan lupa bahawa politik sebenarnya hanyalah satu 'alat' untuk mengurus negara, manakala parti-parti politik yang mereka sokong dan dokong itu pula sebenarnya hanyalah sebagai 'perantaraan' antara rakyat dan kerajaan.
Apa yang jelas adalah trend baru politik di Malaysia pada hari ini sebenarnya tidak akan membawa kebaikan untuk jangka masa panjang atau sekurang-kurangnya menjelang PRU Ke-13 yang akan datang.
Sama ada kita semua percaya ataupun tidak, rakyat semacam sudah 'hilang kepercayaan' kepada sistem politik kepartian sehingga mendorong segelintir ahli politik sama ada dalam parti kerajaan, mahupun parti pembangkang untuk bergerak sebagai 'ahli politik bebas' di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun di Parlimen.
Malah ada di antara mereka itu semacam tidak takut walaupun telah diugut untuk dipecat daripada menjadi ahli parti.
Sistem politik kepartian pada masa kini seperti sudah kehilangan arah dan tujuan sebenarnya. Segelintir pimpinan parti-parti itu seakan-akan lupa matlamat sebenar mereka berpolitik, iaitu untuk kepentingan rakyat dan negara dan bukannya untuk kepentingan peribadi semata-mata. Mungkinkah trend perjuangan politik secara 'bebas' itu bakal menjadi pilihan rakyat Malaysia pada masa akan datang?
Persoalan itu perlu dijawab oleh semua pihak yang berkaitan, sama ada para pemimpin politik dan rakyat jelata. Barangkali, persoalan akhir yang perlu difikirkan adalah 'politik ala-demokrasi sebenarnya untuk apa, dan untuk siapa?
Penulis ialah Pensyarah Sains Politik, Program Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM
Mengkritik bangsa Melayu
Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
CATATAN sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke-18 orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya, Hikayat Abdullah (1840-an) mengandungi pandangan beliau tentang beberapa adat, kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagai antara penyebab kemunduran bangsa Melayu. Di antara yang disebutnya adalah kepercayaan kepada hal-hal khurafat dan tahyul, sikap memandang ringan terhadap usaha membaiki mutu hidup dan sifat hasad dengki sesama bangsa.
Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (1895-1973), tokoh bahasa, budayawan dan cendekiawan Melayu juga mengkritik keras fenomena kemunduran orang Melayu. Pandangan dan kritikan beliau itu boleh diteliti di dalam bukunya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (DBP, 1982). Beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.
Pada awal abad ke-20, lahir gerakan kesedaran membela nasib bangsa Melayu yang dipimpin oleh beberapa tokoh islah dan tajdid seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad'Al-Hadi, Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai 'Kaum Muda' ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku ketika itu. Mereka menyedari kemunduran umat Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu termasuk ilmu agama yang banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat yang merugikan orang Melayu.
Lidah rasmi mereka, majalah Al-Imam (1906 - 1908) yang diterbitkan di Singapura bertujuan menyedarkan orang Melayu supaya segera melakukan perubahan. Seperti yang dicatat oleh Abdul Aziz Mat Ton, peranan Al-Imam adalah untuk 'mengingatkan mana-mana yang lalai dan menjaga mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat' (Jurnal Sejarah, Jilid XI,1973/73). Malah, Al-Imam ketika itu sudah pun menyeru umat Melayu supaya melihat dan mencontohi pembaharuan yang berlaku di negeri Jepun.
Seruan-seruan itu dibuat kerana keadaan hidup orang Melayu pada awal abad ke-20 sangat mundur dalam semua bidang. Demikian juga akhbar Saudara yang diterbitkan sekitar tahun 1928-1941 turut mengkritik umat Melayu, di samping membela nasib mereka. Di antara tokoh-tokoh penting penerbitan akhbar tersebut ialah Abdul Rahim Kajai, Mohd. Yunus Abdul Hamid, Syed Sheikh al-Hadi dan Syed Alwi Syed Sheikh Ahmad al-Hadi. Mereka banyak menyeru orang Melayu supaya memajukan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelbagai kehidupan sosial ynag lain.
Sekitar tahun 1930-an hingga 1940-an pula, lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Mereka bergerak dalam berbagai pendekatan daripada kebudayaan, sosial, pendidikan sehinggalah kepada perjuangan politik. Ketika orang Melayu disuntik kesedaran oleh pemuka-pemuka tajdid bangsa, masyarakat Cina pula sudah pun aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal serta mementingkan keuntungan.
Kelahiran UMNO pada tahun 1946 berjaya menyatukan orang Melayu dari pelbagai pertubuhan. Bangsa Melayu mula menunjukkan semangat untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Gagasan Malayan Union yang ingin dilaksanakan oleh British menjadi pemangkin menyatukan orang Melayu di bawah perjuangan UMNO. Ramai cendekiawan, budayawan, sasterawan, usahawan dan agamawan Melayu ketika itu menyokong perjuangan UMNO.
Di awal tahun 1970-an iaitu selepas tragedi 13 Mei, usaha untuk memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula digerakkan. Untuk menggerakkan minda orang Melayu, maka gabungan tenaga intelektual dan pemimpin politik Melayu diketuai Datuk Senu Abdul Rahman menerbitkan buku Revolusi Mental (1970) yang dihasilkan ketika era Tun Razak (1970-1976). Pada tahun 1970 juga, Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis sebuah buku yang berjudul The Malays Dilemma yang turut mengkritik kelemahan Melayu. Melayu dilihatnya terpinggir dan dimarjinalisasi di tanah air sendiri sebagai warga kelas dua.
Perubahan orang Melayu mula menjadi realiti selepas diperkenalkan DEB. DEB telah melahirkan ramai profesional Melayu seperti dalam sektor perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perbankan, pendidikan, keusahawanan dan pelbagai bidang lain yang sebelum ini dikuasai oleh kaum lain. Namun, setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, kita masih terus membicarakan masa depan bangsa Melayu. Bukankah bangsa Melayu telah mengalami anjakan dan transformasi dalam hampir semua bidang kehidupan hasil perjuangan UMNO?
Memang keadaan bangsa Melayu ketika ini tidaklah seburuk era penjajahan. Kemerdekaan telah memberikan kedaulatan dan kebebasan kepada kita untuk mentadbir dan mengurus negara. Bagaimanapun, pelbagai halangan dan cabaran seperti ketirisan dalam pelaksanaan DEB, politikus dan pentadbir yang tidak amanah, perpecahan Melayu yang semakin meruncing kesan daripada pertelingkahan politik, wujudnya petualang politik Melayu, cabaran ekonomi global dan halangan psikologi bangsa Melayu yang semakin keliru dengan identiti dan jati dirinya memerlukan kita merangka dan merencana anjakan baru bagi mengatasi cabaran yang lebih kompleks sifatnya. Wujudnya pelbagai masalah itu menyebabkan bangsa Melayu terus dikritik oleh bangsanya sendiri.
Tidak salah kita mengkritik diri sendiri selagi ia bertujuan menimbulkan kesedaran. Apa yang penting adalah pihak yang mengkritik biarlah berpada-pada dalam kritikan, sementara yang dikritik harus bersedia menerima kritikan serta menunjukkan sikap mengakui kesilapan. Namun, pastinya bangsa Melayu berasa terhina apabila kaum lain turut menempelak dan mengkritik beberapa hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita masih boleh menerima kritikan yang positif dan membina tetapi bukannya mencabar dan mempersoalkan hak kita.
Justeru, cadangan untuk menghapuskan hak Melayu sama ada secara nyata atau secara halus melalui pelbagai tuntutan sama ada yang diputuskan dalam resolusi-resolusi parti tertentu atau pun melalui memorandum adalah sikap yang melampau. Orang Melayu harus menghadapinya dengan tegas dan berani dalam bentuk tindakan yang berstrategi.
Ia memerlukan kepimpinan Melayu yang benar-benar beramanah dan memiliki minda strategik yang hebat. Kesungguhan politik (political will) sangat diperlukan dalam hal ini. Demikian juga pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang semakin banyak wujud hari ini yang memiliki cita-cita untuk mempertahankan hak-hak Melayu mestilah konsisten dan terus komited dalam perjuangan.
Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang ingin bangkit daripada kelemahan dan kejatuhan memerlukan empat kekuatan iaitu keyakinan terhadap kebolehan diri, kepimpinan yang amanah, solidariti yang mantap dan disiplin yang tinggi. Keempat-empatnya memainkan peranan besar dalam ketahanan bangsa. Harapan kita, biarlah semua pemimpin Melayu dari parti mana sekali pun dapat duduk semeja untuk berbincang secara ikhlas dari hati ke hari ke arah membina semula kekuatan Melayu yang hari ini semakin terhakis kesan daripada pelbagai pertentangan politik sesama bangsa.
Patuhi titah Tuanku elak bertelagah dalam Dewan RakyatAHLI-AHLI Parlimen yang kembali ke Dewan Rakyat pada Isnin lalu seharusnya memandang serius teguran Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung sikap segelintir mereka yang tidak mencerminkan keperibadian sebenar sebagai wakil rakyat.
Ia hakikatnya bukanlah teguran pertama, malah sudah kali ketiga Seri Paduka berbuat demikian bagi memastikan ahli-ahli Parlimen menunjukkan perilaku terpuji dalam Dewan yang mulia itu.
Tetapi persoalannya, apakah teguran berkenaan akan diikuti atau ia sekali lagi akan dianggap sebagai titah perasmian semata-mata?
Ahli-ahli Parlimen yang bergelar Yang Berhormat itu tidak boleh memandang remeh teguran Seri Paduka. Mereka perlu dilihat lebih matang berhujah dan bersidang di dalam Dewan Rakyat.
Janganlah terlalu taksub dengan pegangan politik masing-masing sehinggakan apabila ada perkara berkaitan kepentingan rakyat pun mahu dipolitikkan.
Dewan Rakyat adalah institusi penting bagi memajukan negara dan mensejahterakan rakyat. Oleh itu, kesempatan bersidang bersama-sama perlu dijadikan platform terbaik bagi mencapai matlamat itu.
Tindakan terlalu ingin mempolitikkan sidang Dewan Rakyat sehingga kadangkala kita melihat ahli Parlimen bertindak seperti kanak-kanak tadika perlu dihentikan.
Begitu juga perbuatan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak elok juga harus dielakkan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti seseorang ahli Parlimen.
Kalaulah ada ahli Parlimen menganggap berbahas dan berucap di Dewan Rakyat sama seperti mana mereka terpekik terlolong di atas pentas ceramah politik, maka itu adalah satu andaian yang sempit.
Di pentas ceramah, mereka boleh berbuat apa termasuklah mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan dan menabur fitnah tetapi di Dewan Rakyat segalanya harus dilaksanakan secara tertib dan mengikut peraturan.
Mereka tidak boleh menyalahgunakan kekebalan Dewan Rakyat bagi membuat tuduhan dan dakwaan palsu semata-mata untuk mencemarkan nama baik mana-mana pihak.
Seperti mana diseru oleh Tuanku Mizan, ahli Parlimen perlu berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh-temeh yang boleh menjejaskan maruah sendiri dan kemuliaan Dewan Rakyat.
Jadilah ahli Parlimen yang benar-benar berwibawa dan dihormati. Jangan menjadi ahli Parlimen yang gelagat mereka hanya menjadi bahan ketawa rakyat.
Kehadiran mereka di Dewan Rakyat adalah atas pilihan rakyat yang mahu nasib dibela, tetapi rakyat akan kecewa jika ahli-ahli Parlimen yang menjadi sandaran terus bersikap tidak sepatutnya di dewan tersebut.
Oleh itu adalah diharapkan ahli-ahli Parlimen yang terlibat akan mematuhi titah Tuanku Mizan dalam usaha memastikan kredibiliti mereka sebagai wakil rakyat tidak terjejas.
Apa yang lebih penting daripada itu, mereka tidak harus membiarkan wang rakyat dibazirkan begitu sahaja di Dewan Rakyat, hanya kerana semata-mata sikap segelintir ahli Parlimen yang dilihat tidak matang.
Jika terus bersikap tidak sewajarnya, maka mereka tidak boleh marah kalau rakyat yang 'menghantar' mereka ke Dewan itu akan membuat tafsiran dan kecaman yang bukan-bukan termasuklah ada antara ahli-ahli Parlimen berkenaan sebenarnya tidak layak berada di situ.
Oleh itu, kalaulah ahli-ahli Parlimen tidak mahu dituduh dengan pelbagai gelaran, maka patuhlah kepada teguran Tuanku Mizan. Jadilah ahli-ahli Parlimen yang benar-benar bertanggungjawab dan bukan sekadar hadir untuk 'mengutip' elaun sahaja.
Kedah 'panas' isu keluar PKR
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
KEDAH kini dilanda cuaca panas terik walaupun warganya menikmati hujan lebat dalam sehari dua yang lalu.
Namun, sebagaimana pepatah, 'ku sangka hujan sampai ke petang, rupanya panas di tengah hari', ia belum dapat menyejukkan keadaan di Kedah yang dilanda pelbagai masalah seperti gangguan bekalan air dan sebagainya.
Kali ini, bahang panasnya lain. Kata warga Kedah, badan berpeluh bukan disebabkan cuaca terik tetapi kerana isu dan kontroversi yang mewarnai senario politik di negeri Jelapang Padi itu.
Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya kecil Kota Siputeh bakal diadakan tidak lama lagi, timbul isu baru yang lebih menghangatkan suasana di Kedah yang sudah beberapa bulan dilanda cuaca panas.
Di merata-rata tempat, orang ramai memperkatakan mengenai kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu akan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas namanya tidak disenaraikan semula dalam Exco Kerajaan Negeri Kedah.
Mungkinkah? Jika dilihat senario politik semasa tanah air, kemungkinan ia berlaku di negeri Kedah kerana rata-rata pemimpin PKR sudah tidak teragak-agak lagi untuk keluar dari parti itu. Ini belum lagi dikira bilangan ahli yang telah dipecat.
Di Kedah sendiri, sebelum ini, ADUN Lunas, Mohd. Radzhi Salleh yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri telah mengisytiharkan diri keluar dari PKR untuk menjadi ahli Bebas dan mengatakan bahawa dia sedang memikirkan kemungkinan menyertai UMNO.
Jadi, tidak mustahil Wei Shu bakal mengikut jejak langkah itu selepas dia mendakwa dikhianati oleh partinya sendiri sehingga 'terlucut' gelaran Exco.
Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selepas rombakan Exco tersebut bahawa pengguguran Wei Shu adalah di atas permintaan PKR sendiri jelas memberi tamparan kepada ADUN Bakar Arang itu.
Dengan tindakan Radzhi dan beberapa Ahli Parlimen yang keluar PKR untuk menjadi ahli Bebas sejak kebelakangan ini seperti Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibung Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) serta pemecatan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), ia dikatakan turut mendorong Wei Shu untuk berfikir.
Rentetan daripada krisis terbaru dalam PKR itu, tersebar pula spekulasi bahawa lebih ramai Ahli Parlimen PKR akan meletak jawatan termasuk di Selangor. Ia jelas memberi impak cukup besar kepada senario politik dalaman parti berkenaan di Kedah.
Sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PKR di Kedah termasuk Wei Shu yang merasakan dirinya 'terpinggir' dalam parti tersebut selepas mencurah bakti selama dua tahun.
Walaupun kepimpinan PKR menafikan Wei Shu bakal berbuat demikian, namun ADUN berkenaan tidak pula mengeluarkan kenyataan sama ada mengiyakan atau menafikan tentang kemungkinan tersebut. Malah, beliau sendiri tidak berada dalam majlis pelantikan Exco Negeri Kedah pada 10 Mac lalu. Ini mungkin boleh memberi sedikit gambaran.
Mengulas senario tersebut, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah memberitahu, rakyat sudah dapat menilai bahawa keretakan dalam PKR merupakan masalah dalaman parti itu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, berkata, krisis berlaku jelas tanpa sebarang campur tangan BN atau UMNO disebabkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti tersebut.
Sehubungan itu, kata Ahmad Bashah, beliau percaya lebih ramai ahli PKR akan keluar dari parti berkenaan dalam tempoh terdekat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.