Pages

Subscribe:

17 Mac, 2010

[hang nadim]Warga Emas....oh..... Warga Emas.....malang di penghujung perjalanan



Bapa ayam tua ditahan
Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 17 Mac - Kegiatan seorang peniaga berusia 74 tahun yang menjadikan kedai runcitnya sebagai pusat pelacuran terbongkar apabila polis menyerbu premis itu di Jalan Wang Ah Jang di sini malam tadi.

Dalam serbuan pukul 10 malam itu, polis menahan 'bapa ayam' terbabit bersama dua wanita dipercayai pelacur berusia 23 dan 36 tahun bersama pelanggan masing-masing yang merupakan warga Nepal dan Myanmar berumur 30-an.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, pihaknya juga merampas 400 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2,000 kerana pemilik kedai terbabit menjualnya tanpa lesen.

"Ketika serbuan, kita dapati warga emas itu juga tidak mempunyai lesen yang sah menjual minuman keras dan kesemua hasil rampasan itu akan diserahkan kepada pihak Kastam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Menurut Kamaruzzaman, ketika pemeriksaan dilakukan di tingkat atas premis itu, pihaknya mendapati dua wanita terbabit sedang berasmara bersama pelanggan masing-masing dalam bilik berasingan.

"Kita percaya tingkat atas premis itu dijadikan pusat menjalankan aktiviti pelacuran.

"Kesemua mereka yang ditahan, disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kata Kamaruzzaman, polis sedang memburu empat lelaki berusia 20-an yang dipercayai terlibat dalam aktiviti menyamun dengan menyamar sebagai anggota polis di sekitar bandar ini.

Dalam kes terbaru semalam, kata beliau, seorang lelaki berusia 22 tahun disamun oleh empat lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di Jalan Mat Kilau di sini.

Katanya, kejadian pada pukul 8.40 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang meletakkan motosikalnya di kawasan tersebut.

"Tiba-tiba dia didatangi empat lelaki dengan menaiki dua motosikal sambil menunjukkan kad kuasa polis sebelum menendang mangsa sehingga jatuh ke atas tanah.

"Selepas merampas kunci motosikal mangsa, kesemua suspek itu turut merampas gelang, cincin dan sebuah telefon bimbit bernilai RM1,300 sebelum melarikan diri," ujarnya




Mesran Tukiman (tengah) ditemani naib ketuanya, Ishak Ismail (kanan) dan Timbalan Ketua UMNO cawangan Telok Sengat, Rozaini Shariff melawat rumah mangsa kebakaran di Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, semalam.

Lelaki nekad selamatkan warga emas
KOTA TINGGI 17 Mac - Tindakan berani seorang lelaki meredah bahang api di sebuah rumah yang terbakar di Kampung Johor Lama di sini, berjaya menyelamatkan seorang warga emas daripada rentung, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Md. Nor Atan, 40-an, yang juga Ketua UMNO Cawangan kampung terpaksa menendang dan memecahkan pintu depan bagi memasuki rumah tersebut.

"Selepas berjaya masuk, kelihatan api marak lalu saya meluru ke arah mangsa yang lemah akibat terhidu asap tebal," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Md. Nor yang bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan kemudian membawa mangsa, Abdullah Idris, 70, ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan.

Semasa kejadian, isteri mangsa, Aminah Johari, 70, berada di luar rumah kerana membeli barang di kedai berdekatan.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Md. Nor mengakui bimbang dengan keselamatan tetapi kerana rasa tanggungjawab, beliau mengambil keputusan untuk menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, kejadian itu disedari ketika beliau secara kebetulan melalui depan rumah mangsa selepas menghadiri majlis makan malam bersama ketua kampung.

"Sebaik sahaja melintasi kawasan hadapan rumah mangsa, saya terlihat api marak di bahagian dapur dan ruang tengah rumah tapi pada mulanya tak seorang pun kelihatan di sekitar situ.

"Saya kemudian memberhentikan kereta dan terus memberanikan diri berlari ke pintu hadapan rumah lalu terperanjat terdengar suara menjerit meminta tolong dari dalam," katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, walaupun dia dan isterinya kini tinggal sehelai sepinggang namun bersyukur kerana terselamat daripada kejadian tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang nyenyak tidur tetapi tiba-tiba terkejut apabila terhidu bau asap tebal.

Dalam keadaan terpinga-pinga, katanya, dia terus bangun tetapi mendapati api sudah membakar di ruang dapur dan bilik tidur.

"Tiada apa yang dapat difikirkan ketika itu selain berusaha untuk keluar dari rumah tetapi gagal kerana asap mula menebal dan api telah pun marak.

"Jadi saya amat bersyukur kerana telah diselamatkan oleh seorang penduduk kampung yang berani serta sanggup membahayakan diri demi menyelamatkan saya," katanya.

Aminah pula berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada kecuaian dirinya menutup api dapur semasa memasak air.

Menurutnya, dia meninggalkan rumah untuk ke kedai membeli barang pada pukul 9.30 malam.

"Sekarang kami benar-benar tinggal sehelai sepinggang kerana tiada satu pun harta benda diselamatkan," katanya yang telah menduduki rumah papan berusia lebih 50 tahun itu.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Abdullah Abd. Majid berkata, lima anggota pasukannya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.07 malam.

Menurutnya, sebuah jentera bomba bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke lokasi sebelum api berjaya dipadamkan.

"Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran dan dipadamkan 10 minit kemudian dan mangsa-mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut dibantu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar.

"Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Mesran Tukiman bersama 16 ahli jawatankuasanya membuat kutipan derma kilat bagi membantu pasangan tersebut.

Beliau berkata, bantuan tersebut diharap dapat meringankan bebanan yang ditanggung mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.