Pages

Subscribe:

28 April, 2010

[hang nadim] China ,Finland dan Malaysia....Sahabat
















Najib Tun Razak menerima cenderamata daripada Dr. Yang Kaisheng sambil diperhatikan oleh Zety Aziz; Naib Presiden Bank of China, Wang Lili (kiri) dan Duta Besar China ke Malaysia, Liu Jian semasa merasmikan Industrial & Commercial Bank of China di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Ahmad Zakki Jilan

Perkukuh hubungan dagang
Oleh HATA WAHARI dan AZMAN IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, hubungan perdagangan di antara Malaysia dan China perlu diperkukuhkan lagi dengan meningkatkan kerjasama dalam bidang peruncitan serta telekomunikasi.

Perdana Menteri berkata, beliau ingin melihat perdagangan antara kedua-dua negara berkembang dua kali ganda dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

"Pada tahun lepas walaupun keadaan ekonomi dunia berhadapan dengan kemelesetan, perdagangan antara China dan Malaysia berjaya mencecah nilai dagangan AS$51.96 bilion (RM176.6 bilion).

"Hubungan ekonomi yang lebih kuat antara Malaysia dan China akan juga dapat membantu meningkatkan kehadiran syarikat negara ini di negara tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan penubuhan Industrial and Commercial Bank Of China (Malaysia) Berhad (ICBC) di Hotel Mandarin Oriental di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz serta Naib Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ICBC, Dr. Yang Kaisheng.

ICBC merupakan bank komersial terbesar di China dengan ekuiti pemegang saham sebanyak AS$277.5 bilion (RM943.5 bilion), aset berjumlah AS$1.88 trilion (RM6.3 trilion) serta keuntungan tahunan mencecah AS$19 bilion (RM64.6 bilion).

Perdana Menteri menambah, sejak beberapa tahun lepas, hubungan perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara meningkat sebanyak RM11.1 bilion setahun.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, hubungan yang lebih kukuh di antara kedua-dua negara akan membolehkan syarikat Malaysia mempunyai peluang yang lebih besar untuk bekerjasama dengan syarikat China.

Selain hubungan dalam bidang peruncitan, perdagangan runcit dan telekomunikasi, Perdana Menteri juga berharap agar hubungan perdagangan dengan China juga berkembang dalam pelbagai bidang lain seperti tenaga, pertanian, perikanan serta di dalam bidang sains dan teknologi.

Mengulas mengenai pembukaan ICBC di Malaysia dengan mempunyai empat cawangan, beliau berkata, ia akan memberi sokongan modal kepada syarikat-syarikat tempatan.

Tegasnya, sokongan modal ini juga akan dapat meningkatkan ekonomi Malaysia yang perlu terus berkembang untuk mencapai kemakmuran.

"Malaysia percaya kerjasama yang lebih baik di antara China dan Malaysia akan memberi lebih kemakmuran kepada kedua-dua negara,'' katanya.





Jadikan Malaysia pusat inovasi produk Finland

PUTRAJAYA 28 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggalakkan firma-firma Finland supaya menjadikan Malaysia sebagai pusat inovasi serantau untuk produk-produk yang dikeluarkan.

Perdana Menteri berkata, terdapat kira-kira 40 syarikat Finland yang melabur di Malaysia tetapi nilai dagangan dua hala masih rendah iaitu sekitar AS$600 juta (RM1,920 juta).

Perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri dalam mesyuarat dua hala beliau dengan rakan sejawatnya dari Finland, Matti Vanhanen di Bangunan Perdana Putra di sini.

''Kita berharap saiz pelaburan ini akan dikembangkan pada masa depan. Penerajunya ialah Nokia yang merupakan jenama terkenal di sini dan menjadi sumber terpenting untuk alat telekomunikasi dan telefon bimbit dalam pasaran Malaysia.

''Finland juga mempunyai kekuatan dalam bidang tertentu seperti dalam pembangunan tenaga biomas," katanya pada sidang akhbar bersama Vanhanen.

Vanhanen yang sedang dalam rangka lawatan selama dua hari di Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.45 petang ini.

Menurut Najib, Kuala Lumpur berharap Finland akan menerima penggunaan minyak sawit di negara itu.

''Sebuah syarikat Finland iaitu Neste Oil telah melakukan penyelidikan dan pembangunan untuk menggunakan minyak sawit sebagai bahan mentah biofuel dan kita berharap kegunaan minyak sawit akan diterima oleh Finland.

''Kita turut beritahu Perdana Menteri Finland tentang kepentingan tenaga mampan dan Malaysia sedang kaji kemungkinan untuk menggunakan tenaga biomas sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Malaysia akan memberi sokongan kepada pencalonan Finland sebagai anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk tempoh 2013 hingga 2014.

Mengulas tentang sokongan Malaysia tersebut, Vanhanen berkata, Finland bersedia untuk memberi sokongan balas kepada Kuala Lumpur untuk menganggotai Majlis Keselamatan PBB pada masa akan datang.

''Kita akan menyokong keanggotaan Malaysia dalam Majlis Keselamatan pada 2014," katanya.

Vanhanen berkata, kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui boleh menjadi agenda penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dengan Finland.

''Finland mempunyai banyak syarikat yang memfokus kepada tenaga boleh diperbaharui, saya berharap hubungan dalam aspek ini boleh diperkukuhkan," katanya.

Beliau turut melihat Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk menarik kedatangan pelancong dari Finland.

''Kira-kira 1,000 pelancong Finland melawat Malaysia setiap tahun dan saya berharap jumlah ini akan meningkat.

''Malaysia cukup dikenali oleh rakyat Finland kerana litar Formula 1 dan cuaca tropikalnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.