Pages

Subscribe:

14 April, 2010

[hang nadim] Derita seorang Warga emas...Bantulah dia.....


ALANG Halimah Amban yang cacat penglihatan dan pendengaran tidak dapat menahan kesedihan setelah rumahnya rosak teruk dalam kejadian ribut petir di Kampung Ara Payung, Batu Gajah,kelmarin.

Rumah nenek buta, pekak antara 40 kediaman dilanda ribut

BATU GAJAH 14 April - Seorang wanita warga emas yang cacat penglihatan dan pendengaran, hanya mampu duduk di atas kerusi dan berdoa meminta perlindungan Allah SWT ketika rumahnya dilanda ribut di Kampung Ara Payung di sini, semalam.

Kejadian antara pukul 6 hingga 7 petang itu memusnahkan bahagian dapur dan bilik rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diduduki Alang Halimah Amban, 60, dan anaknya, Ruslee Razali, 33.

Halimah ketika ditemui, mengeluh mengenai nasib yang menimpanya.

"Tiada apa-apa boleh dibuat lagi, air mata pun sudah tidak ada hendak menangis. Sudahlah hidup susah, anak pun tiada kerja tetap. Kini, rumah PPRT yang diberi pun rosak," katanya sedih.

Sementara itu, Ruslee berkata, semasa kejadian, dia sedang bermain sepak takraw di sebuah kawasan yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Tiba-tiba ada orang datang beritahu bumbung rumah saya runtuh dan dengan kelam-kabut saya berlari pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatan ibu.

"Apabila sampai di rumah, saya nampak ibu duduk atas kerusi sambil menadah tangan dalam keadaan terketar-ketar. Sebahagian besar atap dan kerangka bumbung pula runtuh," katanya.

Menurut Ruslee, ibunya tidak menyedari kejadian tersebut kerana tidak dapat melihat dan mendengar.

"Ibu saya tidak boleh melihat tetapi dia tahu ada ribut kerana merasai gegaran apabila bumbung rumah runtuh," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Ara Payung, Anuar Yahaya, 49, berkata, isterinya, Jamilah Mohd. Amin, 47, nyaris maut apabila kerangka bumbung rumahnya runtuh akibat ribut.

Namun katanya, mujur kerangka yang runtuh itu hanya mengenai tangan isterinya.

"Saya sedang menunaikan solat Asar dan pada masa itu, saya sudah dengar pelbagai bunyi tetapi saya meneruskan solat sehingga habis.

"Tiba-tiba, isteri saya menjerit meminta tolong dan saya terus berlari dan mendapati kerangka bumbung dan empat keping siling rumah sudah jatuh," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Mohd. Kasim dan Ketua Wanitanya, Datuk Hamidah Osman turut melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut beliau, kira-kira 40 buah rumah termasuk 35 daripadanya di Kampung Ara Payung rosak akibat ribut itu.



Nukilan hang nadim:
Untuk Adik ku...... Alang Halimah

SATU PENITIAN TAKDIR

Dipenghujung hidup ini
Derita ku lalui.....
Lurah dalam telah ku turuni
Duri onak ku rentasi
Ku daki puncak yang tinggi
Gelombang samudera ku harung
Pernah aku menongkah arus yang deras
Pernah aku hidup dalam gersang kemarau
Pernah aku hidup dalam lautan mewah
Pernah aku hidup dalam sinar yang terang
Pernah aku dengar kicauan burung..
Pernah aku dengar azan berkumandang....
Kini.....
Kegelapan dan sepi dalam hidup
Tiada cahaya tiada mentari dalam hidup
Malam siang sama melabuh kegelapan
Tiada kicauan yang merdu..
Aku tetap redho dengan kehendak mu...
Ku mohon ampun jika ada dosa yang lalu
Ku Pohon Iman hingga Akhir hayat
Nyala kan obor sinar kebahagian
Biar ku nyatakan hidup ku
Walau Derita Tiada ku kesali
Al hamdulillah...........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.