Pages

Subscribe:

03 April, 2010

[hang nadim] Peluang Omar dibebaskan cerah......










ALOR SETAR 3 April - Peluang Omar Atan , 59, seorang peniaga dari Perlis untuk dibebaskan daripada penjara Laos atas dakwaan terlibat dalam pemerdagangan manusia kini semakin cerah.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, beliau baru pulang dari Laos semalam untuk mengemukakan bukti dan dokumen pembelaan kepada pihak berkuasa Laos.

"Saya berada selama tiga hari di sana bagi membuktikan Omar adalah mangsa keadaan dan pihak berkuasa Laos amat menghargai apa yang kita lakukan.

"Saya juga mengemukakan surat berserta bukti pembelaan kes Omar kepada Perdana Menteri Laos melalui wakil mereka dan membantah sekeras-kerasnya tahanan tanpa bicara yang dikenakan kepada Omar," katanya di sini hari ini.

Omar meringkuk di Penjara Punthong, Vientiane, sejak 13 Mei tahun lalu kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia.

Omar dibenarkan pulang selama 10 hari ke Malaysia pada 20 Mac lalu dan pulang semula ke Laos bagi menjalani hukuman penjara pada hujung Mac lalu.

Menurut Muhd. Khairun, pihaknya akan mengemukakan beberapa lagi dokumen serta bukti untuk membela Omar kepada pihak berkuasa Laos secepat mungkin.

"Pihak kami juga telah berjaya menjumpai 'Khrishnan', suspek utama kes tersebut yang dikehendaki oleh kerajaan Laos.

"Namun, 'Khrishnan' enggan ke Laos dan kami tiada kuasa memaksa dia ke sana," jelasnya.

Tambahnya, pihaknya memohon agar semua rakyat negara ini berdoa agar Omar akan dibebaskan secepat mungkin.

"Omar dalam keadaan sedih dan tertekan kerana memikirkan anak- anaknya yang tinggal bersendirian di Perlis," katanya.

Hanya doa
Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my
2010/03/29 GOMBAK: “Saya tidak putus doa mohon kepada Allah SWT agar dibebaskan daripada hukuman penjara kerana saya tidak terbabit dalam jenayah tetapi sebenarnya teraniaya kerana menolong kawan menjadi jurubahasa,” kata Omar Atan, 59, rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Phunthong, Laos, yang dibenarkan balik ke tanah air 10 hari untuk bertemu ahli keluarga sebelum menyambung semula hukuman itu di negara itu, esok.

Bapa kepada empat anak berusia antara 11 hingga 21 tahun, berkata dia buntu memikirkan nasib bakal dihadapi selepas terpaksa kembali menjalani hukuman di Laos kerana tidak mengetahui kedudukan kesnya yang tiada kesudahan. Bagaimanapun, dia masih tidak berputus asa dan berharap pertolongan yang diberikan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh dan Wisma Putra adalah peluang meneruskan kehidupan bersama empat anaknya Nur Alina (anak sulung); Nur Hasma, 20, Siti Suhaida, 17, dan Nur Akila, 11, selepas ketiadaan isterinya Siti Zaleha Abdullah, 48, yang baru meninggal dunia. “Saya serahkan nasib kepada Allah SWT. Sehingga ini, hanya doa mampu saya lakukan,” katanya selepas majlis kesyukuran di rumah adik kelima daripada lapan beradik, Mohd Seth di Taman Bukit Permata, Seri Gombak, di sini, semalam. Sebelum ini, solat hajat juga diadakan selepas solat Zuhur berjemaah di surau di taman perumahan itu.

Katanya, sejak pulang pada 20 Mac lalu, keluarganya juga mengadakan majlis tahlil, doa kesyukuran dan solat hajat di rumahnya di Padang Besar, Perlis, memohon dia dibebaskan sepenuhnya daripada tuduhan berkenaan. Selain itu, beliau turut berharap jika kertas tuduhan terhadapnya dapat dibaca dan disemak semula mungkin dapat membantu memudahkan lagi usaha membebaskannya daripada tuduhan terbabit dalam jenayah perdagangan manusia di negara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.