Pages

Subscribe:

05 Julai, 2010

[hang nadim] Di dunia boleh berdalih diakhirat..........????



Perbicaraan kes liwat Anwar ditunda 19 Julai

KUALA LUMPUR 5 Julai - Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya yang sepatutnya disambung semula mulai 14 Julai ini telah ditunda kepada 19 hingga 23 Julai.

Penangguhan tersebut disebabkan ketua pembangkang itu dan peguam bela utamanya, Karpal Singh perlu menghadiri sidang Parlimen yang dilanjutkan sehingga 15 Julai ini.

Menurut e-mel yang diterima daripada salah seorang peguam bela Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Sankara Nair, permohonan penangguhan telah dibuat melalui sepucuk surat bertarikh 1 Julai lalu.

Keputusan membenarkan penangguhan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah itu kemudian dimaklumkan kepada pihak-pihak yang terlibat oleh Timbalan Pendaftar, Syamsul Rezal Md. Ariff melalui surat bertarikh hari ini.

Perbicaraan sebelum ini terhenti apabila Karpal membuat permohonan mendapatkan beberapa dokumen termasuk sampel-sampel yang diambil daripada pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Ia kali kedua Anwar memohon dokumen-dokumen dalam kes itu selepas permohonan pertamanya supaya dibekalkan dokumen perubatan dan sampel spesimen sebelum perbicaraan ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Antara yang dimohon ialah semua nota klinikal dan laporan perubatan, bahan, spesimen, e-mel, nota bertulis tangan, surat-menyurat, catatan dan pemerhatian Pakar Bedah Am, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Razali Ibrahim yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari pada 28 Jun 2008 bersama dua doktor pakar lain.

Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pemandu lori rogol 2 anak, dipenjara 40 tahun

MUAR 5 Julai - "Saya rasa hukuman ini wajar dikenakan tetapi ia adalah hukuman di dunia sahaja dan saya berharap ia memberi pengajaran kepada tertuduh dan pada masa yang sama menjadi ingatan kepada orang lain."

Demikian tegas hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan sebatan 34 kali terhadap seorang pemandu lori yang menjadikan dua orang anaknya sebagai tempat melampiaskan nafsu serakahnya.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki berusia 39 tahun itu mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol dan dua tuduhan melakukan seks oral terhadap dua anaknya pada awal tahun ini.

Tertuduh mengaku merogol dan melakukan seks oral terhadap anaknya berusia 14 tahun di rumah mereka di Sungai Mati, Ledang, dekat sini kira-kira pukul 7 malam, 3 Januari lalu.

Dia turut mengaku atas tuduhan mengulangi kedua-dua perbuatan itu terhadap seorang lagi anaknya yang berusia 12 tahun di sebuah pondok di tepi Jalan Pulau Penarik, Sungai Mati kira-kira pukul 7 malam, 7 Februari lalu.

Dua pertuduhan rogol itu dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan manakala kesalahan melakukan seks oral dikemukakan mengikut Seksyen 377(c) kanun yang sama.

Hakim tersebut menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 15 kali bagi setiap kesalahan merogol dan penjara 15 tahun dan sebatan dua kali atas setiap kesalahan melakukan seks oral.

Hukuman kedua-dua kesalahan tertuduh bagi setiap mangsa berjalan serentak tetapi hukuman membabitkan mangsa berusia 12 tahun diperintah dilaksanakan selepas selesai hukuman bagi kesalahan melibatkan kakaknya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana dia sudah insaf dan bertaubat dengan kesalahannya serta mahu berubah menjadi insan yang soleh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran yang mengendalikan pendakwaan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana melibatkan kesalahan yang cukup serius.

Katanya, sebagai seorang ayah, tertuduh sepatutnya membimbing dan melindungi anak kandungnya, sebaliknya dia melakukan perbuatan yang menimbulkan rasa trauma terhadap kedua-dua anaknya itu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian rogol terhadap remaja berusia 14 tahun itu mula diketahui ibu mangsa selepas dimaklumkan guru kaunseling sekolah anaknya yang mendapati mangsa kelihatan muram dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas.

Pendedahan itu turut membongkar kejadian sama yang berlaku terhadap adik mangsa yang berusia 12 tahun pada 7 Februari lalu menyebabkan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Mati, dua hari kemudiannya.

Selepas laporan polis tersebut dibuat, tertuduh menyerah diri kepada pihak polis pada keesokkan harinya.

Rogol: Lelaki dipenjara tujuh tahun, dua sebatan

SHAH ALAM 5 Julai - Seorang pekerja kilang simen sengaja menunggu kekasihnya pulang dari sekolah dengan alasan kononnya membantu menghantar pelajar tingkatan empat itu pulang ke rumah, tiga tahun lalu.

Mohamad Ezad Ezuadi Othman, 29, bagaimanapun mempunyai niat tidak baik apabila melencong ke rumah sewa dengan tujuan melampiaskan nafsu syahwatnya terhadap gadis itu.

Apabila mangsa enggan, dia bukan sahaja ditampar malah turut diugut oleh teman lelakinya itu.

Selepas dibicarakan dengan lapan saksi pendakwa dan tertuduh sendiri tampil memberi keterangan membela diri, dia hari ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan sebatan dua kali selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Hasbi Hasan memerintahkan hukuman penjara terhadap Mohamad Ezad berkuat kuasa mulai hari ini selepas tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan.

Beliau semasa membacakan keputusannya berkata, hukuman berat mampu memberi pengajaran bahawa setiap orang bukan sahaja tidak boleh mengambil kesempatan terhadap gadis bawah umur malah perlu melindungi mereka.

Katanya, penggunaan Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah untuk membebaskan Mohamad Ezad tidak sesuai kerana perbuatan jenayah yang dilakukannya memerlukan hukuman yang mampu memberi pengajaran kepada semua termasuk tertuduh sendiri.

Hasbi bagaimanapun membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh, Abdul Muiz Samsuri untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga rayuan selesai didengar.

Namun beliau mengarahkan tertuduh menambah jumlah jaminan yang sedia ada sebanyak RM6,000 kepada RM12,000 serta memerintahkannya melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan.

Mohamad Ezad disabitkan kesalahan merogol mangsa yang berusia 15 tahun 11 bulan semasa kejadian di rumah sewanya di No. B-5, Tingkat 2, Pangsapuri Palma, Bandar Country Homes, Rawang antara pukul 1.50 dan 2.20 petang, 3 Mac 2006.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Abdul Muiz memohon agar anak guamnya dibebaskan mengikut Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama selain penyakit lelah tertuduh semakin teruk berikutan pekerjaannya di kilang simen berkenaan.

Menurutnya, dengan pendapatan bulanan yang tidak seberapa, tertuduh yang berasal dari Perlis turut menanggung ibu bapanya yang telah uzur.

Wan Noora Nisa pula memohon hukuman berat memandangkan tertuduh melakukan kekerasan dan turut mengugut mangsa semasa melakukan perbuatan jenayah itu.

Katanya, walaupun mangsa tidak cedera namun maruah dan harga diri gadis itu yang telah tercemar akibat perbuatan tertuduh, tidak boleh dikembalikan semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.