Pages

Subscribe:

23 September, 2010

[hang nadim] Melayu hilang kuasa........???

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.

“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.

“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.

Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.

Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.

“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.

Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.

“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya.



Nurul Izzah tanding naib presiden
Oleh Zanariah Abd Mutalib
2010/09/24
Buat keputusan tawar diri selepas melihat pencalonan diterima menggalakkan

KUALA LUMPUR: Perebutan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus sengit apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memutuskan untuk bertanding jawatan itu pada pemilihan parti November depan.

Nurul Izzah yang juga anak sulung kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat pencalonan menggalakkan yang diterimanya sejak cabang parti bermesyuarat 17 September lalu.

Beliau yang kali pertama menawarkan diri memutuskan tidak akan mengisytiharkan sokongan kepada mana-mana calon kerana semua cabang bebas membuat pencalonan dan menghormati pilihan ahli. Percayalah, ahli akan memilih pimpinan berdasarkan kepada wawasan calon, idea dan komitmen kepada nilai parti dan matlamat perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik, bukan setakat pertandingan personaliti, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Nurul Izzah adalah antara 15 calon yang sudah melepasi kelayakan bertanding jawatan itu dengan memperoleh lapan pencalonan.

Beliau sebelum ini dikatakan menyokong Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, berbeza dengan Anwar yang dikatakan menyokong Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali.

Ditanya mengenai keputusannya itu yang dilihat mahu meneruskan dinasti keluarganya dalam PKR, Nurul Izzah berkata, beliau bertanding atas semangat reformasi yang diperjuangkan parti sejak 12 tahun lalu.

Pengerusi IDA World terkilan dakwaan Nik Aziz
Oleh Sophia Ahmad

2010/09/24
PETALING JAYA: Pengerusi Eksekutif IDa World Group Sdn Bhd (IDA World) terkilan dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa tidak tahu kewujudan syarikatnya atau bertemu dengannya.

Abd Rahim Abd Wahab berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Nik Aziz, sedangkan mereka pernah bertemu dan berbincang mengenai tawaran sumbangan syarikatnya kepada kerajaan Kelantan dan projek lain di negeri itu. Saya mempunyai bukti bahawa beliau (Nik Aziz) tahu mengenai kehadiran IDA World di Kelantan, malah pernah mengadakan mesyuarat bersama beliau dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dalam pertemuan berasingan. Kenapa dinafikan. Saya tidak mahu memburukkan sesiapa tetapi saya melihatnya sebagai permainan politik. Saya minta maaf, saya tidak minat berpolitik, katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di Kelana Jaya di sini, semalam.

Abd Rahim berkata demikian mengulas keputusan kerajaan PAS Kelantan, kelmarin menyenaraihitamkan IDA World daripada sebarang aktiviti di negeri itu, susulan kekeliruan sumbangan cek RM4 bilion oleh syarikatnya kepada negeri terbabit.

Beliau menyifatkan kekeliruan yang timbul berhubung sumbangan cek RM4 bilion sesuatu yang amat menyedihkan kerana pihaknya tidak pernah berniat untuk menipu sesiapapun.

Katanya, Nik Aziz pada pertemuan mereka juga diberi penerangan terperinci berhubung sumbangan RM4 bilion itu, selain mengapa Kelantan dipilih untuk menerima bantuan berkenaan.
Selasa lalu, Nik Aziz dilaporkan berkata, beliau dan kepimpinan PAS Kelantan tidak tahu menahu mengenai sumbangan itu serta tidak pernah mengadakan pertemuan dengan IDA World mengenainya.

Berikutan perkembangan terbaru itu, Abd Rahim memutuskan untuk menarik balik tawaran RM4 bilion kepada kerajaan Kelantan.

Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Kelantan kerana terpaksa menarik semula sumbangan ini walaupun hasrat saya ingin melihat rakyatnya menikmati pembangunan yang sama seperti negeri lain, katanya.



Demi ummah Pas-UMNO perlu disatukanZAINI HASSAN

BERBUIH mulut Nik Aziz mempertahankan Karpal Singh. Ini bukan sekarang saja, tapi sejak bertahun-tahun lalu. Setiap kali Karpal mempertahankan pendiriannya ''langkah mayat saya dulu jika mahu tubuhkan negara Islam", setiap kali itu jugalah Nik Aziz terpaksa mempertahankan abang bhai berkenaan.

Saya cukup hairan dengan Nik Aziz ini. Walaupun itulah pendirian DAP, tapi Nik Aziz kata mereka betul. Bagi Nik Aziz, UMNOlah yang selama-lamanya salah.

Nik Aziz akan mengeluarkan pelbagai ayat untuk mempertahankan Karpal. Ayat-ayat itu boleh diadun mengikut acuan yang mahu dibentuk.

Itu pasallah saya pernah mengatakan Nik Aziz ini ialah a political animal. Tapi budak-budak yang taksub dengan Nik Aziz menyerang saya kiri-kanan atas-bawah dalam blog. Mereka ingat maksud saya ialah Nik Aziz 'binatang'.

Animal dalam konteks ini ialah orang politik totok. Hidup Nik Aziz bergelumang dengan politik. Gelaran Tok Guru ialah kerana beliau belajar agama, tapi kehidupannya, mata pencariannya ialah dengan politik.

Kita sudah tahu siapa Nik Aziz. Beliau ialah political animal yang amat cerdik dalam permainan politik. Kalau tidak takkan beliau boleh bertahan lebih 20 tahun memerintah Kelantan.

Para pemimpin yang properpaduan dalam Pas, sebenarnya cukup risau dengan sikap Nik Aziz itu. Tapi mereka malu alah mahu menyatakan depan-depan. Sebenarnya ramai yang sudah bertentangan haluan dengan Nik Aziz. Bukan rahsia lagi, dalam Pas sendiri pun sudah ada dua puak. Satu totok mempertahankan ideologi Nik Aziz, satu lagi lebih liberal yang mahu melihat Melayu Islam bersatu-padu.

Puak Nik Aziz melihat puak yang satu lagi itu cukup berbahaya bagi politik mereka. Nik Aziz acap kali berkata jangan berkawan dengan UMNO kerana di zaman 70-an dulu, UMNO menikam belakang Pas. Tapi orang Pas yang liberal itu menganggap apa yang ditakrifkan oleh Nik Aziz itu sebagai cerita lama. Dalam politik semua boleh jadi. Hari ini musuh, 24 jam kemudian berkawan semula.

Melihatkan fiil PKR dan DAP dalam pakatan, beberapa gelintir pemimpin Pas mulai tawar hati untuk bekerjasama terus dengan mereka. Banyak yang dilihat tidak betul dalam pakatan itu.

Dalam hati mereka apa salahnya berpakat dengan UMNO untuk menyelamatkan ummah dan negara ini daripada jatuh ke tangan yang lebih berbahaya.

Mereka sedar itu semua. Tapi Nik Aziz adalah penghalangnya. Mereka malu alah dengan orang tua itu.

Sebenarnya sebelum ini sudah ada cakap-cakap mengenai konsep perpaduan Pas-UMNO. Tapi puak yang bercakap mengenainya dihentam teruk. Terus orang itu berdiam diri, dan idea itu dibekukan.

Tapi hakikatnya kumpulan ini tidak berdiam diri. Mereka mahu gagasan perpaduan ini diteruskan. Masa terlalu suntuk sebelum terlambat.

Seorang pemimpin Pas pernah memberitahu saya lambat laun kita, Pas dan UMNO perlu bersatu juga. Tapi saya kata bila? Jangan tunggu nasi menjadi bubur. Beliau terdiam.

Ada yang mencadangkan Nik Aziz perlu disingkirkan daripada Pas. Beliau ialah penghalang terbesar ke arah perpaduan itu.

Tahun depan ialah tahun pemilihan Pas. Saf baru Pas perlu diatur dari sekarang. Sebelum PRU-13, Pas memerlukan kepemimpinan baru yang properpaduan. UMNO dan Pas perlu disatukan.

KickdefellanikazizENTRI terbaru Syed Azidi dalam blog popularnya Kickdefella, atau dalam bahasa Melayu bermakna: sepak orang itu, terpampang gambar dua lelaki menggenggam erat tangan tanda persahabatan.

Dua lelaki itu ialah beliau dan saya.

Genggaman erat itu terjalin setelah Syed Azidi membelasah saya dalam entri terdahulu. Dia marah kerana saya menuduhnya pernah mencerca Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dia mempertahankan diri mengatakan beliau sebenarnya ialah penyokong nombor satu Tun. Saya mengaku terkhilaf dan bersetuju bertemu dengannya yang turut dihadiri oleh blogger Bigdog dan Rocky's bru di sebuah restoran di Bangsar.

Panjang lebar yang diborakkan. Rata-rata mengenai sosio-politik tanah air. Ternyata Syed Azidi seorang yang tajam pemikirannya.

Beliau ialah penyokong properpaduan. Pas-UMNO perlu disatukan. Kita kena cari jalan, katanya bersungguh-sungguh ikhlas.

Kami semua bersetuju. Pas dan UMNO perlu disatukan demi kepentingan ummah.

Insya-Allah, kami akan berusaha ke arah itu.

Tapi, sebelum itu mungkin Syed Azidi perlu kickdefellanikaziz terlebih dahulu

Istiqamah dan amanah asas kekuatan umat
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

UMAT Islam sepatutnya menjadi satu masyarakat yang gagah dan berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat jika mereka berpandu kepada ajaran Islam secara menyeluruh. Istiqamah dan amanah merupakan dua prinsip terpenting yang menjadi asas kekuatan umat Islam tetapi sering diabaikan oleh masyarakat Islam sehingga mereka menjadi umat yang lemah dan sering ditindas.

Umat Islam dalam era ini menghadapi ketandusan mental dan jiwa sehingga menjadi golongan yang lemah dalam negara mereka sendiri. Realiti yang jelas dipertontonkan kepada dunia masa kini ialah kebanyakan umat Islam lebih menumpukan perhatian kepada pertelingkahan sesama sendiri sehingga mengabaikan prinsip dan asas kekuatan ummah.

Umat Islam tidak akan hancur dan musnah jika mereka menjadikan istiqamah dan amanah sebagai prinsip hidup. Pengertian istiqamah ialah mengikut jalan yang lurus, berpendirian teguh terhadap prinsip hidup dan sanggup menghadapi kesukaran dan kegetiran dalam kehidupan.

Sebahagian sarjana Islam menjelaskan istiqamah sebagai jujur dan melakukan sesuatu yang baik dalam masyarakat dan begitu juga terhadap kehidupan dirinya. Istiqamah juga didefinisikan oleh sarjana Islam dalam konteks tegas dalam perkataan dan perbuatan atau tindakan.

Istiqamah merupakan prinsip hidup yang paling rapat dengan keimanan kepada Allah seperti mana jawapan Rasulullah SAW kepada Sufyan al-Thaqafi apabila beliau meminta baginda menjelaskan tentang Islam dalam satu perkataan yang mana beliau tidak akan bertanya kepada orang lain. Jawapan baginda ialah, "Saya beriman kepada Allah dan kemudian saya istiqamah."

Umat Islam sepatutnya menekankan aspek istiqamah dalam setiap diri individu supaya mereka mempunyai sikap dedikasi, tekun dan lurus dalam kehidupan seharian. Latihan begini amat perlu ditanam dalam jiwa anak-anak supaya mereka sentiasa berfikir bagaimana hendak berjaya dalam hidup melalui kesukaran untuk mencapai kejayaan.

Realiti yang wujud dalam negara masa kini ialah ramai remaja Islam menganggur dalam negara sendiri kerana terlalu mengharapkan pekerjaan yang mudah dan bayaran yang lumayan sedangkan berjuta rakyat negara asing berhijrah ke negara ini untuk mencari rezeki bagi menyara ahli keluarga di negara mereka.

Fenomena di mana ramai remaja menganggur dan berkeliaran di waktu malam adalah akibat daripada salah asuhan dari rumah. Ibu bapa kurang menekankan aspek didikan berasaskan konsep hidup berdikari. Guru-guru dan para pendidik perlu menekankan konsep istiqamah dalam minda dan jiwa pelajar supaya mereka memahami bahawa kegagalan dalam bidang akademik bukan bererti masa hadapan mereka gelap dan tidak mempunyai potensi yang cemerlang dalam kehidupan.

Jika minda para pelajar diasuh dengan konsep istiqamah maka peristiwa graduan menganggur tidak wujud dalam negara ini. Persepsi terhadap bentuk pekerjaan dan ganjaran yang diperolehi perlu didasarkan kepada konsep rezeki halal seperti diperjelas oleh Islam. Kanak-kanak dan remaja lslam perlu diasuh tentang hakikat kehidupan di dunia yang memerlukan kepada penggunaan tenaga dan titik peluh jika ingin berjaya dalam kehidupan.

Pengalaman kerja yang dianggap pekerjaan kotor seperti membina bangunan, bertani dan pelbagai pekerjaan yang memerlukan tenaga fizikal adalah penting bagi membentuk disiplin diri dan memperkukuhkan istiqamah masyarakat Islam. Sebagai sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum masyarakat Islam sepatutnya lebih gigih membina asas dan prinsip kehidupan Islam supaya mereka mampu berdaya saing dengan kaum yang lain.

Sikap terlalu bergantung dan mengharapkan pembelaan kerajaan tidak mungkin dapat memperkukuhkan kedudukan umat Islam jika mereka tidak menanamkan prinsip istiqamah dalam diri mereka. Kelemahan umat Islam dalam aspek ini perlu ditangani supaya minda dan jiwa umat Islam sentiasa aktif dan arif mengendalikan urusan kehidupan seharian.

Konsep amanah perlu difahami secara terperinci supaya setiap individu Islam tidak terpesong daripada garis panduan Islam dalam memikul amanah rakyat dan negara. Umat Islam sering melaungkan seruan Islam dengan tujuan untuk meninggikan syiar Islam. Malangnya laungan tersebut hanya merupakan propaganda untuk meyakini masyrakat bahawa mereka orang yang paling bertanggungjawab terhadap Allah.

Islam tidak dapat ditegakkan jika setiap umatnya tidak amanah dalam kehidupan mereka. Perkara ini dipertegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud, "Seseorang itu tidak memiliki iman jika ia tidak mempunyai amanah. Seseorang tidak ada agama jika ia tidak menunaikan janji."

Salah satu daripada pengertian amanah ialah memilih orang yang mempunyai kelayakan untuk jawatan yang layak baginya. Bertanggungjawab terhadap jawatan yang dipegang itu adalah amanah dan ia mesti diserahkan kepada orang yang mempunyai kelayakan. Jika diserahkan jawatan kepada orang yang tidak layak maka akan berlaku kelemahan dalam kepimpinan dan pentadbiran serta penyalahgunaan kuasa.

Individu yang tidak layak jika dilantik memegang jawatan tertentu tidak mungkin dapat melaksanakan tugas dengan sempurna kerana dalam urusan kemasyarakatan dan kenegaraan -- pengetahuan, pengalaman, bakat dan kepakaran serta skill amat diperlukan bagi setiap individu yang diserahkan jawatan.

Hanya ilmu dan kerawakan sahaja tidak cukup untuk seseorang itu memimpin dan mentadbir negara kerana urusan kenegaraan dan kepimpinan memerlukan kepada kemahiran, kebijaksanaan dan ketangkasan dalam pengendalian dan penyelesaian permasalahan negara.

Perlantikan Nabi Yusuf menjadi Menteri Mesir bukan berdasarkan kepada kenabian dan kerawakan baginda tetapi berdasarkan kepada ilmu dan skil yang dimiliki oleh baginda seperti mana firman Allah dalam surah Yusuf ayat 55 yang bermaksud, "Jadikanlah aku bendahara negara Mesir sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan."

Rasulullah s.a.w. berjaya menjadi pemimpin Islam yang gemilang dan dalam masa yang singkat berjaya membentuk kerajaan Islam di Madinah yang dihuni oleh Yahudi, Kristian dan Mushrik. Kejayaan baginda adalah berdasarkan pengalaman sebagai ahli perniagaan, penglibatan dalam peperangan mempertahankan Mekah daripada musuh, bakat dalam kepimpinan dan memiliki skil dan ilmu pengetahuan mengenai kenegaraan dan kemasyarakatan walaupun baginda tidak pernah dilantik menjadi pemimpin ketika berada di Mekah. Apabila baginda berhijrah ke Madinah maka sistem kerajaan Islam dibentuk secara pantas hasil daripada kepakaran baginda, para sahabat dan umat Islam.

Justeru, Islam menggariskan dua tokoh utama dalam pembinaan tamadun iaitu ulama dan umarak (pemerintahan). Ulama merupakan penasihat kepada kerajaan dan pemerintah. Jika ulama mempunyai kepakaran standing dengan pemimpin maka ia merupakan sebaik-baik pemimpin di dunia.

Umat Islam sepatutnya mengukur kemampuan diri sebelum bertarung dalam jawatan supaya kelemahan diri mereka tidak memberi kesan negatif terhadap negara dan masyarakat.

Usah bertarung dalam perebutan kuasa dan kepimpinan jika diri tidak mampu mengendalikan urusan kenegaraan dan kemasyarakatan kerana ia memberi padah kepada umat Islam dan agama. Bermuhasabahlah diri dalam kepimpinan supaya jawatan itu berada dalam tangan orang yang berhak.

Pelbagai cara untuk menegakkan kekuatan Islam bukan hanya dengan bergelut dalam pertarungan politik . Akur dengan kelemahan diri supaya urusan kenegaraan dapat dikendalikan secara aman dan diberkati Allah oleh orang yang layak.

Dr. Saodah Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.