Pages

Subscribe:

11 November, 2010

[ hang nadim] Cadangan fatwa haram jual tanah Melayu Pulau Pinang



PULAU PINANG 11 Nov. - Para ulama di negara ini disaran bermuzakarah untuk mengeluarkan fatwa melarang tanah milik orang Melayu di negeri ini dijual kepada bukan Islam.

Ia bertujuan membendung masyarakat itu daripada terus terpinggir akibat pengambilan tanah untuk tujuan pembangunan yang semakin rancak berlaku dewasa ini.

Cadangan itu dilontarkan oleh seorang peserta forum 'Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaiannya?' dalam sesi soal jawab dengan ahli panel, di sini malam tadi.

Peserta berkenaan mengambil contoh di Palestin, ulama-ulamanya pernah mengeluarkan fatwa bahawa haram hukumnya menjual tanah orang Palestin atau menjadi orang tengah dalam urusan penjualan itu dalam apa bentuk sekalipun.

Salah seorang ahli panel forum anjuran Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang itu, Mohd. Azmi Abdul Hamid ketika mengulas cadangan peserta itu berkata, ia tidak seharusnya dipandang ringan berikutan kedudukan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang boleh dianggap kritikal.

Ahli-ahli panel lain ialah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Mohd. Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu menjelaskan, berdasarkan faktor penempatan orang Melayu yang semakin terjejas dan demi mempertahankan komposisi pemilikan hartanah bumiputera pada masa depan, fatwa seperti itu dianggap relevan.

"Sesuatu mesti dibuat, mahu atau tidak, dalil-dalil agama yang memberi tumpuan kepada ekonomi orang Islam sangat relevan.

"Perlu ada mekanisme seperti ambil kira pandangan cerdik pandai agama untuk pastikan status tanah orang Melayu dan Islam terbela," katanya.

Menurut Mohd. Azmi, sekiranya fatwa sedemikian mampu membela nasib orang Islam di negara ini, sewajarnya ia diutarakan.

"Terpulang kepada Majlis Fatwa Kebangsaan atau mufti untuk mempertimbangkannya kerana mungkin ada implikasi lain jika ia dilaksanakan," ujarnya.

13 Mei: Ikut cara Singapura - Zam

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bersetuju tarikh 13 Mei perlu diingati sebagai Hari Muhibah Negara seperti Singapura menjadikan hari rusuhan kaum terburuk di republik itu pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Hari Keharmonian Kaum di Singapura disambut setiap 21 Julai.

Di Malaysia, katanya sebaik sahaja peristiwa 13 Mei berlaku, kerajaan mengambil langkah segera dan secara aktif mengadakan majlis-majlis muhibah yang memberi kesan besar bagi mengembalikan perhubungan baik dan rasa saling mempercayai antara kaum.

''Sangat wajar 13 Mei diperingati dalam konteks untuk mengingatkan rakyat pada setiap tahun terhadap bahaya sebarang konsep asing diperkenal dan diterima oleh rakyat negara ini.

''Kita harus membina keyakinan dan kekuatan diri, bangsa dan negara di atas formula nilai-nilai yang mengasaskan perdamaian dan kestabilan negara yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak setelah peristiwa 13 Mei itu,'' kata Zainuddin kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia Rabu lalu yang mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Kolumnis Zaini Hassan membuat saranan itu setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim selama enam bulan hanya kerana beliau mengeluarkan perkataan '13 Mei'.

Tun Abdul Razak, kata Zainuddin, telah mengambil inisiatif mengadakan majlis-majlis muhibah selepas 13 Mei bagi memulihkan perpaduan dan keharmonian negara.

''Oleh itu eloklah 13 Mei diperingati sebagai Hari Muhibah Negara,'' katanya yang juga dikenali sebagai Zam.

Menurut Zainuddin, peristiwa 13 Mei di Malaysia berpunca daripada konsep Malaysian Malaysia yang diwarisi daripada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew oleh parti-parti tertentu di Malaysia setelah Singapura disingkirkan dari negara ini pada 1965.

''Ucapan Kuan Yew mengenai konsep itu dalam Parlimen Malaysia disifatkan oleh Tunku Abdul Rahman lebih menyakitkan hati daripada sakit kayapnya ketika dirawat di sebuah klinik di London menyebabkan Almarhum membuat keputusan menyingkirkan Singapura dari Malaysia,'' katanya.

Menurut Zainuddin, Tunku menulis dalam The Star pada 7 April 1975 bahawa ucapan Kuan Yew menyentuh kedudukan kuasa Melayu dan raja-raja Melayu walaupun pada masa itu kerajaan Perikatan bukanlah kuasa Melayu tetapi kerajaan yang mewakili semua kaum.

Tunku juga, katanya, marah terhadap ucapan Kuan Yew pada 1 Jun 1965 di Delta Community Center Singapore yang mengugut sekiranya cara yang tidak berperlembagaan digunakan untuk menyekat Malaysian Malaysia maka Singapura, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang hendaklah bersatu untuk mencari pilihan (alternative arrangements) bagi memaksa Malaysian Malaysia digunakan.

''Ini kerana kata Kuan Yew apabila menyertai Malaysia, Singapura tidak pernah bersetuju menerima kuasa Melayu,'' katanya.

Maka itu, kata Zainuddin, tidak hairanlah mereka yang terlibat dalam mempromosikan konsep Malaysian Malaysia yang menjadi punca timbulnya prasangka buruk antara kaum sehingga menyebabkan sesuatu kaum menjadi fobia dengan tarikh 13 Mei.

Tiga program bantu kurangkan bilangan banduan
BENTONG 11 Nov. - Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan tiga inisiatif utama iaitu program pemasyarakatan banduan, perintah kehadiran wajib dan rumah perantaraan sebagai sebahagian daripada usaha mencapai matlamat salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain mengurangkan kadar jenayah dan bilangan banduan, program itu dijangka dapat membantu bekas banduan memulakan kehidupan baru selepas dibebaskan kelak.

Jelas beliau, menerusi program pemasyarakatan banduan yang akan dilaksanakan mulai April tahun depan, setiap banduan yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan melalui aktiviti pemulihan di luar tembok penjara.

Menurut beliau, pada peringkat permulaan, setiap banduan akan bekerja dan ditempatkan di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan dikawal selia oleh kakitangan Jabatan Penjara.

"Setakat ini seramai 430 kakitangan Jabatan Penjara telah dipilih dan mengikuti kursus kawalan dan pengiringan banduan ke tempat bekerja.

"Setakat ini, lima kem ATM akan terlibat dengan program ini iaitu Kem Tok Jalai di Alor Setar, Kedah; Kem Mahkota Kluang, Johor; Kem Batu 10, Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang; Kem Desa Pahlawan, Kelantan dan Kem Syed Sirajuddin, Gemas di Johor," katanya selepas majlis perasmian Kompleks Penjara Bentong oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir, Sultanah Pahang, Sultanah Khalsom, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan Ketua Penjara Malaysia, Datuk Wira Zulkifli Omar.

Tambah Hishammuddin, bidang pekerjaan banduan di kem-kem ATM itu adalah melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan kebersihan kawasan dan bangunan, landskap serta pembaikan kecil.

Katanya, bagi kem Syed Sirajuddin Gemas, terdapat pengkhususan bagi bidang pertanian dan perikanan yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian serta Jabatan Perikanan.

"Semua banduan layak menyertai program ini kecuali banduan yang terbabit hukuman mati, hukuman sepanjang hayat, tahanan limpah Sultan, kesalahan seksual, tahanan reman, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pesalah Juvana, Ordinan Darurat, Langkah-langkah Pencegahan Khas Dadah, banduan yang sedang dibicarakan dan banduan yang dikurung kerana tiada penjamin," katanya.

Dalam pada itu, bagi perintah tahanan wajib pula, Hishammuddin berkata, ia merupakan alternatif kepada pemenjaraan yang dilaksanakan melalui Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pelasah 1954.

Katanya, menerusi akta ini, mahkamah boleh menggantikan hukuman pemenjaraan bagi kesalahan-kesalahan ringan dengan mengeluarkan satu perintah kepada pesalah untuk menghadirkan diri di Pusat Kehadiran Wajib tidak melebihi tiga bulan dan menjalankan kerja-kerja wajib tidak melebihi empat jam sehari.

"Konsep pemulihan ini adalah menjurus kepada perubahan akhlak pesalah melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dalam komuniti. Pada peringkat awal, pelaksanaan kerja-kerja wajib akan dilaksanakan di Rumah Orang Tua dan Kanak-Kanak Kurang Upaya dengan harapan akan menimbulkan kesedaran sekali gus memberi impak yang positif kepada pemulihan akhlak pesalah," katanya.

Bagi program Rumah Perantaraan pula, Hishammuddin memberitahu, ia adalah sebuah premis yang akan menempatkan banduan bebas yang tiada tempat tinggal dan pekerjaan termasuk Orang DiParol (ODP) yang tidak mempunyai keluarga.

Katanya, rumah perantaraan itu beroperasi dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan merupakan institusi yang bukan berorientasikan keuntungan, kemasukan bersyarat dan menyediakan program intervensi mengikut keperluan.

"Melalui program ini, banduan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan dalam masa tiga bulan di samping khidmat sokongan kaunseling secara berterusan," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.