Pages

Subscribe:

01 November, 2010

[hang nadim] Parti politik digesa hormati peringatan raja-raja Melayu



KUALA LUMPUR 1 Nov. - Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menggesa semua parti politik menghormati titah raja-raja Melayu yang bimbang mengenai trend politik semasa dan isu perkauman.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apa yang disuarakan raja-raja Melayu itu amat relevan dengan keadaan semasa dan menunjukkan betapa keadaan sekarang memerlukan perhatian yang mendalam oleh semua pemimpin politik.

"Memang akan ada pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan terhadap keadaan yang berlaku itu sehingga menghancurkan segala yang telah dikecapi demi kuasa dan kepentingan politik.

"Tetapi kita harus ingat apa yang dititahkan raja-raja Melayu itu seharusnya dijadikan sempadan kepada kita semua," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas titah raja-raja Melayu kelmarin yang melahirkan rasa bimbang terhadap trend politik semasa dan isu-isu perkauman yang berlaku sejak kebelakangan ini yang seharusnya dipandang serius oleh semua pihak.

Beliau berkata, bagi UMNO, parti itu akan sentiasa mengambil perhatian titah raja-raja Melayu itu dan berusaha ke arah mengamalkan perjuangan politik yang bertepatan dengan matlamat parti.

"UMNO sememangnya sinonim dengan raja-raja Melayu. UMNO bukan dilahirkan di tepi jalan tetapi di istana, jadi apa yang disuarakan institusi raja di negara ini akan menjadi satu peringatan buat UMNO juga," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, raja-raja Melayu berhak menyuarakan kebimbangan tentang isu perpaduan rakyat yang kini banyak didalangi unsur-unsur hasutan sedangkan tiada undang-undang tegas diambil.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja harus ditangani oleh pemimpin UMNO tetapi juga semua pemimpin di dalam BN.

"Kontrak sosial kita harus ditegakkan semula. Sebagai permulaan orang Melayu perlu bersatu hati semula dan menerima hakikat kekuatan bilangan mereka yang besar di negara ini," katanya

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, semua pihak wajar menjadikan nasihat raja-raja Melayu itu sebagai pengajaran dan panduan untuk memimpin masyarakat dan tidak tersasar daripada perjuangan yang sebenar..

"Semua pihak yang berkecimpung dalam dunia politik sama ada BN atau parti pembangkang seharusnya bersyukur dengan apa yang telah dicapai dan mengelakkan menyentuh isu-isu sensitif," katanya.

Katanya, UMNO dan semua parti komponen BN sentiasa bersedia bekerjasama untuk memastikan tiada pihak yang tidak bertanggungjawab membangkitkan isu sensitif di negara ini terutama tentang perkauman.

Naib Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam pula berkata, parti-parti komponen BN tidak berhasrat untuk membangkitkan isu-isu sensitif demi kebaikan bersama.

Katanya, apa yang disuarakan oleh raja-raja Melayu itu seharusnya diberi perhatian mendalam oleh semua parti komponen BN dan juga rakyat Malaysia.

''Setiap kaum di negara ini mempunyai hak tersendiri dan setiap orang harus menghormatinya dan tidak perlu mempertikaikan hak kaum lain.

''Hanya langkah ini membantu masyarakat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai serta membantu mengukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan generasi muda akan datang,'' katanya

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula berkata, pandangan raja-raja Melayu tersebut seharusnya dipandang serius pihak parti politik di negara ini.

"Apa yang penting bagi kita semua adalah keharmonian kaum yang perlu dijaga sepanjang masa. Kita harus memandang serius apa yang diperkatakan dan peringatan oleh raja-raja Melayu itu," katanya.

'Sudah tiba Anwar bersara'
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2010/11/02

Rentak politik Ketua Pembangkang makin tak seimbang: Asri

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata sudah tiba masanya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada politik kerana banyak rentak tari politiknya semakin tidak seimbang
Katanya, demi mewujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan, beliau berpendapat Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menerima hakikat itu. “Zamannya mungkin makin menyusur pergi. Saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat ‘cerita’ politik yang sama. Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Biarlah kita datang disambut mesra dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar.

“Maaf atas pandangan ini, Insya-Allah, tiada apa-apa kepentingan kedudukan atau jawatan atas pandangan seperti ini. Saya tahu segelintir pembangkang cepat melenting jika ada pandangan yang mereka tidak setuju.

“Namun, mereka kena ingat banyak pandangan saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik,” kata beliau dalam blognya bertajuk Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru semalam.

Dr Asri berkata, beliau merasakan politik negara memerlukan nafas baru seperti UMNO yang memperkatakan keperluan anjakan baru dalam politik mereka.
“Demikian saya fikir pembangkang pun perlu mula memperkatakan hal yang sama. Saya seperti kebanyakan rakyat ingin melihat kesejah teraan negara berteraskan kerajaan yang amanah dan pembangkang berkualiti. Sudah banyak diperkatakan, dikritik dan diulas mengenai kerajaan hari ini.

“Kita jangan lupa pembangkang juga perlu diberi penilaian mengenai peranan mereka yang diberi amanah dalam Parlimen kerana dalam konteks politik kita, kualiti kerajaan dan pembangkang menjaga keselesaan negara.

“Politik kita memerlukan watak baru yang bernas, matang dan tangkas. Mereka yang disifatkan sarjana politik Islam sebagai mempunyai ‘al-Quwwah’ (kemampuan) dan al-Amanah (amanah). Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit atau politik taukeh.

“Maka, semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi kebaikan rakyat. Sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan,” katanya.

“Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi ‘hero’ dalam pentas baru politik hari ini. Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang dibuat. Jika Tun Abdullah (Abdullah Ahmad Badawi) pun bersara, mereka yang ‘sewaktu’ dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara,” katanya.

“Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat. Kita mahu ahli politik berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepemimpinan mereka yang berteras ilmu dan budi,” katanya

DUN Pulau Pinang gantung ADUN Penaga 6 bulan
2010/11/02
GEORGETOWN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, digantung enam bulan daripada menghadiri sidang DUN kerana menggunakan perkataan menghasut dan memberontak ketika persidangan Mei lalu, berkuat kuasa 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun, elaun dan saraan Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, dikekalkan

Azhar, adalah ADUN pertama yang dikenakan hukuman itu oleh DUN Pulau Pinang. Beliau adalah wakil rakyat paling lama di negeri ini, yang sudah berkhidmat selama lima penggal. Usul untuk menggantung Azhar dibentangkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng, pada sesi petang hari pertama sidang DUN, semalam. Ia disokong Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, sebelum dibahaskan oleh Azhar, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang) dan tiga penyokong kerajaan.

Guan Eng membentangkan usul berkenaan setelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN mencadangkan supaya Azhar digantung selama enam bulan, tetapi elaun dan saraan dikekalkan.

Azhar diberi peluang untuk menarik balik perkataan yang diucapkan dalam persidangan DUN pada 6 Mei lalu oleh Guan Eng bagi membolehkan dirinya dibebaskan daripada hukuman, tetapi wakil Penaga itu enggan kerana menganggap dirinya tidak bersalah dan dianiayai.

Berikutan itu, Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain, membuat undian selepas usul itu dibahaskan, dan memutuskan Azhar dikenakan hukuman selepas majoriti ahli dewan menyokong usul berkenaan walaupun 11 wakil Barisan Nasional tidak setuju.
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 wakil, masing-masing 29 pakatan pembangkang dan 11 BN.

Sebaik hukuman dijatuhkan ke atasnya, Azhar terus bangkit dan berjalan keluar dewan, tetapi 10 ahli wakil BN terus mengikuti persidangan.

Pada persidangan DUN pada 6 Mei lalu, Azhar didakwa melakukan kesalahan menggunakan perkataan menghasut dan memberontak atau perkataan yang menimbulkan niat jahat dan perasaan bermusuh-musuhan.

Ketika membahaskan usul itu semalam, Azhar mempertahankan dirinya bahawa beliau tidak bersalah dan tidak perlu meminta maaf walaupun berkali-kali ditawarkan oleh Guan Eng.

“Saya bukannya tidak mahu minta maaf, tetapi saya dianiaya untuk digantung selama enam bulan," katanya.

Terdahulu, ketika membentangkan usul itu, Guan Eng berkata, perkataan yang digunakan oleh Azhar ketika perbahasan pada sesi lalu amat serius dan berat.

“Walaupun ADUN diberi kebebasan bersuara dan kekebalan di dalam DUN untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, mereka masih tertakluk kepada Peraturan Dewan,” katanya

Tindakan Kit Siang tuduh UMNO kafir melampau
2010/11/02

GUA MUSANG: DAP semakin berani mencampuri urusan agama Islam dengan menuduh orang UMNO kafir dalam siri ceramah untuk menarik sokongan pengundi Melayu menyokong PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata tindakan itu adalah hasil ajaran pemimpin PAS yang menjual agama dan tidak menghalang apabila bukan Islam menuduh orang Melayu tidak menyokong PAS sebagai kafir.
Katanya, kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang itu dibuat di hadapan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) KESEDAR Sungai Terah. “Yang kita sedihnya apabila Lim menuduh orang Melayu parti UMNO kafir disambut dengan laungan takbir ‘Allahuakhbar’ oleh pemimpin PAS bersama penyokongnya yang dianggap menjual agama Islam kepada kaum lain.”

“Inikah parti yang melaungkan perjuangan Islam yang patut kita sokong dan sudah jauh terpesong akidah sebenarnya,” katanya ketika berceramah kepada pengundi di peti undi Kampung Baru Hulu, dekat sini, petang kelmarin.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata mungkin pengundi di DUN Galas baru sedar tindakan Kit Siang yang mengutuk orang beragama Islam tetapi pada masa sama ia halal di sisi perjuangan PAS demi kepentingan politik pembangkang.

Beliau berkata, gelagat pemimpin DAP mencampuri urusan agama Islam sejak bergabung dalam pakatan pembangkang kerana mendapat restu PAS untuk mengutuk orang Islam yang tidak sokong parti itu.
Katanya, pengundi di DUN Galas patut mengambil ingatan dengan sikap melampau DAP itu yang menuduh orang UMNO kafir dan perbuatan itu pula seolah-olah direstui PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.