Pages

Subscribe:

01 November, 2010

[hang nadim] Rela mati demi isteri

hadzlan@hmetro.com.my
Oleh Hadzlan Hassan






KUALA TERENGGANU: Demi menyelamatkan isterinya, seorang penoreh getah sanggup menggadaikan nyawa apabila merelakan dirinya disengat ribuan lebah sehingga dia terbunuh dalam kejadian di Kampung Tanah Lot, Pasir Gajah, Kemaman, kelmarin.

Akibat kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Ali Din, 54, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman manakala isterinya, Khersiyah Engku Hassan, 51, turut cedera dan dimasukkan ke wad selepas terdapat 102 kesan sengatan pada badannya.

Kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu berjalan kaki pulang ke rumah selepas selesai menoreh getah di kebun milik mereka sebelum seekor lebah tiba-tiba menyengat pipi Khersiyah.

Secara spontan, Khersiyah menampar lebah di pipinya hingga serangga itu mati, namun selang beberapa saat kemudian ribuan lebah muncul dan menyerang pasangan itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam keadaan kelam-kabut dan kesakitan, pasangan itu lari mendapatkan bantuan pekerja asing di rumah kongsi tidak jauh dari situ.

Menurutnya, kumpulan pekerja asing itu menyerahkan selimut kepada Ali dan Khersiyah sebelum mereka turut melarikan diri ke semak berhampiran akibat disengat.
Selepas mendapat selimut, si suami menyelimuti isterinya, tapi mereka terus berlari hingga si suami akhirnya terjatuh. Si isteri cuba membantu, tapi suaminya menyuruh dia terus lari menyelamatkan diri.

“Kebetulan, ada satu tong besar berisi air tidak jauh dari situ dan suami menyuruh isterinya menuju ke tong itu dan menyelam bagi mengelak terus disengat,” katanya

Beliau berkata, biarpun keberatan, Khersiyah akur arahan suaminya dan tindakan itu menyelamatkan nyawanya manakala Ali terus disengat ribuan lebah hingga tidak sedarkan diri.

Menurut Abdullah Sani, selepas keadaan agak terkawal Khersiyah pulang ke rumahnya dan mendapatkan bantuan ahli keluarga.

Katanya, seorang adik ipar Khersiyah segera membantu wanita itu dan turut bergegas ke tempat Ali terlantar tidak sedarkan diri sebelum membawa mereka berdua ke Hospital Kemaman. “Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan dia menghembuskan nafas terakhir di atas riba isterinya,” katanya. Abdullah Sani berkata, hasil bedah siasat, doktor mengesahkan Ali meninggal dunia disebabkan mengalami alahan pada sengatan lebah manakala isterinya yang mempunyai 102 kesan sengatan di badan masukkan ke wad sebelum dibenarkan keluar pagi semalam.

Menurutnya, jenazah Din sudah dituntut anggota keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gajah di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.



Neraka cinta
Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my BINTULU: Bagaikan dirasuk syaitan, seorang suami membelasah, menendang dan memijak isterinya sehingga mati dipercayai akibat perasaan cemburu buta selepas melihat isterinya minum bersama rakan di rumah mereka.

Kejadian berlaku di rumah kongsi tempat tinggal pasangan suami isteri itu, Jalan Pesisir di Nyalau, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, lelaki berusia 33 tahun itu memukul isterin yang setahun lebih tua daripadanya di depan anak tunggal mereka berusia tiga tahun serta beberapa rakan sekerja.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Sulaiman Abd Razak berkata, sebelum kejadian, suspek minum bersama rakan di sebuah gerai dan apabila pulang ke rumah dia melihat isterinya sedang minum bersama empat rakannya di rumah kongsi berkenaan.

“Sebaik melihat isterinya sedang minum bersama rakan, suspek dikatakan mengarahkan isterinya beredar, namun wanita berkenaan enggan mengikut arahannya.

“Berang dengan sikap isterinya, suspek hilang pertimbangan lalu bertindak memukul, menendang selain memijak perut mangsa menyebabkan dia pengsan.

Selepas dibelasah, wanita terbabit dikatakan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia di rumah kongsi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis menerima maklumat orang awam sebelum bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang selain mengalami lebam di beberapa anggota badan.

Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dengan kesan lebam ditemui pada badan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Dalat, Sibu kini direman bagi membantu siasatan dan polis tidak menemui sebarang senjata tajam di tempat kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan menetap bersama suaminya di rumah kongsi berkenaan selepas mengikutnya bekerja sebagai buruh kasar sejak beberapa bulan lalu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.



NUKILAN HATI HANG NADIM
Kita mempunyai dua cerita yang sedih apabila seorang isteri di bunuh kejam oleh suami sendiri kerana cemburu.....Cerita kedua seorang suami telah sanggup berkorban
untuk menyelamat Isterinya hingga beliau sendiri terkorban...jadikanlah Iktibar....
Sabarlah kita dan jangan bertindak melulu membunuh Isteri....isteri adalah sahabat
penasihat dan penyelamat keluarga....sayangilah Isteri anda....dan nadim berseru supaya kita doakan semoga Isteri-isteri menjadi seorang Isteri yang solehah...amin

Isteri korban harta untuk modal niaga
Oleh NORAINON OTHMAN

SEPANJANG 15 tahun berpengalaman sebagai guru agama yang memberi kaunseling, hidupnya sentiasa dilingkari masalah orang di sekeliling.

Mendengar masalah orang dan berusaha mencari jalan mengatasi menjadi sebahagian rutin hidupnya. Bagaimanapun, bergelumang dengan situasi itu setiap hari kadangkala membuatkan dirinya tertekan.

Daripada kes dikendali, kesimpulan dibuat adalah kebanyakan masalah dihadapi seseorang berpunca daripada ekonomi. Apabila ekonomi bermasalah, keadaan jadi kucar-kacir hingga menimbulkan kepincangan dalam masyarakat.

Menyedari faktor ekonomi menjadi punca utama kebanyakan masalah sosial, Syamsudin Rasyid, 40, atau dikenali Ustaz Syam berkelulusan Ijazah Aliyah Pasentren Darussalam, Banda Acheh, Indonesia, ingin mengubah hala ke dunia baru yang belum diterokai iaitu perniagaan.

“Tugas saya adalah memberi kaunseling kepada semua golongan yang bermasalah daripada remaja, pasangan suami isteri, keluarga, masyarakat, pendatang haram Indonesia yang ditahan di penjara serta mualaf terbiar tanpa bimbingan menjadi sebahagian tanggungjawab saya sepanjang berkhidmat di tiga jabatan.

“Masalah ekonomi menyebabkan rumah tangga menjadi berantakan, anak bermasalah hingga masuk penjara, keluarga bermasalah, orang Indonesia sanggup datang secara haram untuk bebas daripada kemiskinan manakala penduduk luar bandar menjalani kehidupan tidak selesa dan kurang peluang untuk menimba ilmu hingga menyebabkan mereka terbiar begitu saja,” katanya.

Dia menjadi tenaga pengajar di Taman Sri Puteri dan Penjara Miri dan Limbang selama lima tahun dari 1995, diikuti Jabatan Agama Islam Sarawak sehingga 2000 dan Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (Perkis) (sehingga 2005). Ketika masih menjadi guru agama iaitu pada 1997, dia berjinak dengan perniagaan. Berbekalkan RM300 dipinjam daripada isterinya, Suriati Unsang, Ustaz Syam menjadi ejen sebuah syarikat jualan langsung (MLM). Adat berniaga, awalnya perniagaannya kurang mendapat sambutan. Namun, tanpa mengenal putus asa, dia dan ibu mentua menjual barang dari rumah ke rumah.

“Ketika itu saya masih bermotosikal kapcai. Saya dan ibu mentua membawa satu beg, menjual barang dari rumah ke rumah. Kebetulan ketika itu saya mengalami masalah rambut gugur dan selepas menggunakan produk berkenaan, alhamdulillah, ia berkesan. Ini menyebabkan saya bersemangat memasarkan produk berkenaan selain seronok meraih pendapatan sampingan. “Saya seronok mendapat tambahan pendapatan RM500 di samping wang gaji RM800 sebulan. Saya berdoa kepada Allah supaya mendapat tambahan RM1,000 pula sebulan. Apabila dapat RM1,000, saya minta RM5,000 pula, kemudian RM10,000 dan RM50,000,” katanya.

Disebabkan ketekunannya memasarkan produk MLM itu, dia dianugerahkan pangkat tertinggi sepanjang tiga tahun menjalankan perniagaan. Kehidupannya mula berubah dan sudah mampu memiliki kereta. Dia turut menjadi pengedar tunggal untuk syarikat MLM itu untuk kawasan Borneo.

Menurutnya, dia mula membuka kedai menjual produk MLM berkenaan dan dari semasa ke semasa, rangkaian perniagaannya berkembang dari Miri ke Sibu, Bintulu, Sibu dan Kuching. Dalam tempoh tiga tahun, dia membuka 10 cawangan di seluruh Sarawak.

“Kejayaan harus dibeli dengan harga yang sangat mahal. Disebabkan pengorbanan seorang isteri yang tidak putus-putus memberi semangat dan sokongan padu, sanggup mengorbankan harta untuk dijadikan modal saya berniaga, begitu saya hargai.

Ketika kegawatan ekonomi pada 1997, semua barang kemas isteri habis digunakan sebagai modal sehingga tinggal cincin saja. Pada 2007 pula, syarikat MLM berkenaan mengalami masalah menyebabkan saya terfikir untuk memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan dengan modal sebanyak RM5,000,” katanya yang berhenti daripada Perkis pada 2005.

Ustaz Syam berkata, cawangan kedainya memasarkan pelbagai jenama produk kesihatan dan kecantikan di bawah syarikat sendiri, Al Wahida Cosmetic. Disebabkan pengetahuan luasnya mengenai herba tropika dan pengalaman dalam perniagaan produk kesihatan dan kecantikan, Ustaz Syam mengambil keputusan mengeluarkan produk sendiri.

Bermula tahun ini, Ustaz Syam mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan jenama sendiri, Eternity. Di bawah syarikat Al Wahida Resources Sdn Bhd, dia merencanakan pemasaran di Borneo pada Januari hingga Mei lalu diikuti Mei hingga Oktober untuk pemasaran di Semenanjung, Brunei dan Indonesia.

“Misi dan visi saya adalah menjadi pengeluar produk pemakanan tambahan dan kecantikan berasaskan herba tempatan untuk pasaran dalam dan luar negara. Menerusi sistem e-dagang, lebih mudah untuk saya memasarkan produk kerana sepanjang menjalankan perniagaan MLM selama 15 tahun, saya sudah mempunyai jaringan dan tahu cara memasarkan produk. “Saya ingin melihat anak bangsa menceburi perniagaan bagi meningkatkan taraf ekonomi. Saya mahu membuka ruang kepada rakan niaga kita mengembangkan jaringan perniagaan ke seluruh negara dan menggalakkan generasi muda terutama graduan yang masih menganggur menceburi perniagaan,” katanya.

Menurutnya, kegagalan dan cabaran tidak menjadi batu penghalang untuknya terus maju. Disebabkan sudah terbiasa hidup susah sejak kecil, apabila ditimpa kesusahan, ia menjadi perkara biasa.

“Berniaga tidak semestinya dengan modal besar dan kelulusan pendidikan yang tinggi. Asalkan ada keinginan dan kegigihan, kejayaan pasti akan datang.

“Apabila berdepan ujian, kita perlu berfikiran positif, berlapang dada, berfikiran terbuka dan sentiasa mencari jalan untuk membuka peluang dan ruang kepada orang lain dalam perniagaan. Cuba selesaikan masalah perniagaan dengan bijaksana.


"Sebab itu saya katakan, kejayaan perlu dibeli dengan harga yang mahal kerana ada kalanya kita melabur tidak kena tempat dan berkawan dengan orang yang tidak menepati untuk menjadi teman,” katanya.
PROFIL
NAMA: Syamsudin Rasyid.
UMUR: 40 tahun.
ASAL: Miri, Sarawak.
JAWATAN: Pengasas Al Wahida Eternity Recources Sdn Bhd.
ISTERI: Suriati Unsang, 35.
ANAK: Muzammil, 16.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.