Pages

Subscribe:

16 November, 2010

[hang nadim] PKR Menunggu Hari Pengkebumian....

Anwar perlu dipersalah - Satim

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipersalahkan dalam pelbagai konflik melibatkan pengurusan kewangan negeri itu termasuk isu penyelewengan dan salah guna kuasa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mohamed Satim Diman berkata, sebagai Penasihat Ekonomi negeri, Anwar sepatutnya berusaha mencari jalan terbaik bagi menguruskan kewangan dan membangunkan ekonomi Selangor.

Katanya, aktiviti Anwar yang sering keluar masuk negara dan berjumpa dengan pelbagai pihak sepatutnya mampu menarik lebih ramai pelabur asing ke Selangor sekali gus merancakkan ekonomi negeri itu.

"Jawatan yang disandang beliau itu bagaimanapun, menimbulkan pelbagai masalah kerana Anwar tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagaimana yang diharapkan.

"Beliau sebaliknya membawa masuk lebih ramai individu yang diragui kewibawaannya untuk menguruskan kewangan negeri sehingga terjadi pelbagai masalah seperti di PKNS baru-baru ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamed Satim mengulas mengenai desakan beberapa pihak semalam supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menamatkan kontrak Pengurus Besar PKNS, Othman Omar yang didakwa menyalahgunakan kuasa.

Jumaat lalu, akhbar melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib mendakwa wujud amalan salah guna dana dalam pembayaran sewa bangunan sementara apabila kosnya mencecah RM9.6 juta untuk tempoh tiga tahun.

Beliau juga mendakwa, wujud amalan kronisme apabila pelantikan jawatan pengurusan bagi anak syarikat perbadanan tersebut, dibuat daripada kenalan pengurusan tertinggi PKNS itu sendiri tanpa melalui pemilihan yang rapi.

Selain itu, Saari mendakwa pengurusan tertinggi PKNS menghabiskan sebanyak RM520,000 semata-mata untuk majlis makan malam sempena perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bulan lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Satim turut membidas Abdul Khalid yang disifatkannya seorang pemimpin yang ego dan tidak boleh menerima teguran.

"Beliau tidak mahu mengakui kelemahannya sendiri dalam mentadbir negeri, sebaliknya menyalahkan orang lain yang tidak ada kena mengena.

"Adakah ini wajah pemimpin berwibawa yang dikatakan menjalankan pentadbiran berasaskan kejujuran dan ketelusan," katanya.
Jangan jadi pengkhianat negara

Oleh MUHAMMAD IQBAL

SEJAK kebelakangan ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sering diserang dengan pelbagai isu sama ada oleh media cetak tertentu dan media baru yang sekali gus mencabar kredibiliti serta imej pasukan berkenaan.

Sepatutnya gejala tidak sihat ini dihentikan kerana ia boleh menyemai persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap ATM.

Namun begitu usaha membanteras perbuatan tidak bermoral itu menjadi semakin rumit apabila ada penulis blog turut 'tumpang sekaki' menghentam ATM secara membuta tuli.

Lebih malang lagi, perbuatan berkenaan turut dilakukan oleh bekas-bekas tentera yang suatu ketika dulu sudah diajar dan dipupuk nilai integriti dan ketaatsetiaan.

Golongan ini tidak pernah menginsafi terhadap kelemahan diri yang mana ketika dalam perkhidmatan dahulu difahamkan mereka kurang berjaya dan dianggap 'kumpulan bermasalah'.

Apa pun tindakan menyerang ATM bukanlah satu langkah yang bijak tidak kira sama ada perbuatan itu dilakukan oleh media cetak, elektronik mahupun media baru hatta dalam Parlimen sekali pun.

Ia kerana sama ada mereka sedar atau tidak keghairahan berbuat demikian telah mendedahkan rahsia pertahanan negara, tidak terkecuali menyentuh tahap kesiapsiagaan ATM. Tindakan sedemikian memberikan keuntungan kepada bakal musuh dan musuh negara.

Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan golongan ini boleh dianggap sebagai pengkhianat negara memandangkan maklumat strategik pertahanan dibongkar dengan rakus tanpa mempedulikan risiko dan implikasinya terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Apa yang membimbangkan, fenomena pendedahan dan maklumat ini kian parah serta melampaui perolehan aset strategik dan kesiapsiagaan ATM.

'Tugas' golongan berkenaan terutama media baru seolah-olah menjadi begitu mudah apabila serangan ke atas ATM dilakukan melalui maklumat yang diperolehi daripada sumber yang sedang berkhidmat dalam pasukan itu.

Hakikatnya, tidak salah jika kelompok yang menjadi sumber itu tidak mahu mengenang budi ATM sebagai stake holder mereka tetapi janganlah menjadi insan yang lupa daratan atau lebih tepat lagi bersikap seperti musang berbulu ayam.

Dalam soal ini, pihak media dan siber seharusnya lebih pragmatik dalam soal pendedahan maklumat berdarjah (kerahsiaan maklumat) dan jangan terpengaruh dengan sentimen negatif yang boleh mengakibatkan kerugian kepada negara.

Adalah lebih baik jika tumpuan diberikan kepada kritikan membina yang bertujuan menjadi nilai tambah kepada peningkatan mutu perkhidmatan ATM kepada warganya dan ahli keluarga mereka. Tetapi apa yang dikesalkan semua ini seolah-olah tidak berlaku berikutan serangan tidak berasas dan maklumat yang salah mengenai ATM.

Kesudahannya ia menghakis persepsi positif rakyat kepada pasukan tersebut dan keadaan menjadi semakin parah apabila majoriti mereka lebih mempercayai penulis blog daripada media arus perdana.

Apa yang perlu difahami, dalam keghairahan puak-puak tertentu memburuk-burukkan ATM, mereka memperbesar-besarkan perkara remeh-temeh, tidak kurang juga melemparkan kritikan serta pendedahan maklumat yang menghiris hati dan perasaan warga pasukan itu.

Tindakan ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika berlarutan, dikhuatiri akan menjejaskan moral dan semangat juang pasukan ATM.

Apa akan terjadi jika peperangan tercetus di saat moral dan semangat juang warga ATM di tahap yang rendah? Adakah kita sanggup memikul senjata, memerah keringat dan membanting tulang tanpa mengira waktu, siang atau malam untuk menjadi benteng dan perisai negara?

Apa yang dipertegaskan bukanlah bermaksud, ATM sebuah pasukan yang tidak boleh menerima teguran sebaliknya ia kekal sebagai angkatan bersenjata yang profesional.

Pasukan itu terbuka dalam menerima komen, teguran dan sindiran membina kerana ATM tidaklah 'maksum' atau terkecuali daripada melakukan sebarang kesalahan, tetapi janganlah disebabkan nila setitik, susu sebelanga kita musnahkan.

Sememangnya, masyarakat umum berhak mengetahui maklumat mengenai perkembangan ATM tetapi ia ada batas dan hadnya. Maklumat mengenai sistem persenjataan, perolehan aset dan tahap kesiapsiagaan ATM kekal menjadi maklumat eksklusif.

Langkah itu bukanlah sesuatu yang aneh kerana negara-negara lain turut mengamalkan prinsip yang sama. Kita perlu faham bahawa segala kelengkapan dan peralatan ATM adalah melalui sistem perolehan yang sedia ada serta selaras dengan keputusan kerajaan. Ia juga berpandukan kepada kemampuan kewangan kerajaan atau keupayaan ekonomi negara serta senario ancaman keselamatan atau situasi strategik semasa.

Apa pun yang disindir, dicemuh dan diperlekehkan oleh pelbagai pihak, kelengkapan dan peralatan yang wujud, akan digunakan oleh ATM dalam menghadapi sebarang ancaman demi mempertahankan kedaulatan negara.

Oleh itu janganlah kita terlalu ghairah memperlecehkannya, kalau pun kita tidak mahu menyokong, janganlah kita mencabar imej dan kredibiliti ATM dengan membincangkan kerahsiaan pasukan secara terbuka.

Berikutan penegasan itu jugalah, sudah tiba masanya, setiap insiden pembocoran maklumat berkaitan ATM disiasat hingga ke akar umbi, mereka yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan. Kita percaya ATM tidak akan berkompromi dalam soal ini.

Semua pihak perlu mengingati pesanan Panglima ATM, Tan Sri Azizan Ariffin baru-baru ini yang menegaskan bahawa anggota pasukan itu tidak boleh mendedahkan atau membincangkan sebarang kerahsiaan pasukan termasuk perolehan yang ada kerana ia akan menjejaskan imej dan kesiapsiagaan ATM.

Oleh itu kepada segelintir anggota ATM dan bekas tentera yang suka membocorkan maklumat pasukan berkenaan ingatlah, janganlah sampai tindakan mereka dikategorikan bersemangat perwira tetapi berhati pengkhianat!

Reformis beri kata dua kepada Anwar

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) hari ini memberi kata dua kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berundur daripada dunia politik secara terhormat.

Presidennya, Ramlan Abu Bakar berkata, jika amaran itu tidak diendahkan, beliau dan anggota Reformis sedia melakukan beberapa tindakan radikal termasuk yang boleh mengaibkan Anwar.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk melakukan tindakan seumpama itu kerana ia bertujuan memastikan keamanan negara dan keharmonian rakyat terus terpelihara daripada menjadi mangsa kerakusan politik Anwar .

''Sekiranya saya dan anggota Reformis hingga pada satu peringkat terpaksa melakukan satu perbuatan memalukan seperti mana cadangan yang hampir kita lakukan demi rakyat miskin di Selangor, kita sedia lakukan.

''Apa yang penting Anwar perlu berundur daripada politik. Reformis sebenarnya malu dengan adanya pemimpin seperti Anwar yang tidak habis-habis dilanda isu moral. Kita tidak mahu Malaysia mempunyai pemimpin-pemimpin seperti ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan beberapa pihak yang memaksa Anwar supaya segera berundur daripada dunia politik tanah air.

Antara pihak yang mahu Anwar berbuat demikian bekas calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Selain Anwar, Zaid turut mendesak Naib Presiden PKR, Azmin Ali berundur daripada PKR kerana kedua-dua mereka dikatakan punca kepada segala masalah dalam parti.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang merupakan ulama non-partisan pada awal bulan ini melalui laman webnya pernah menyatakan sudah tiba masa bagi Anwar bersara kerana banyak rentak politiknya dilihat semakin tidak seimbang.

Ramlan berkata, banyak pihak berpendapat di Anwar di peringkat ini sepatutnya menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang serta kepimpinannya di dalam PKR kepada orang lain sehingga kes liwatnya selesai.

''Namun, berdasarkan pemerhatian saya Anwar lebih mementingkan dirinya sendiri. Beliau nampaknya enggan tunduk dengan desakan-desakan yang dilakukan oleh beberapa pihak ke atasnya.

''Apa yang lebih malang lagi beliau gunakan platform Parlimen untuk survival politiknya. Anwar harus ingat Reformis tidak akan berdiam diri. Kami akan menjatuhkan Anwar seperti mana kami diperalatkan dahulu,'' katanya.

Untuk pengetahuan umum beliau berkata, di dalam mesyuarat terakhir Reformis, pihaknya telah merangka beberapa tindakan bagi tujuan memaksa Anwar berundur.

''Bila tiba masanya kita akan menggerakkan semua gerakan serta cadangan yang telah dibuat,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta pemimpin di dalam pakatan pembangkang memikirkan semula kerjasama mereka dengan PKR.

''Mereka harus sedar Anwar kini menjadi beban kepada pakatan pembangkang ekoran isu moral yang dihadapinya ketika ini.

''Lebih baik mereka memutuskan kerjasama dengan PKR kerana Anwar hanya memberi imej buruk kepada pihak pakatan,'' katanya lagi.

Bekas ahli PKR tubuh pasukan pakatan bebas

IPOH 16 Nov. – Bekas ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini akan menubuhkan pasukan pakatan bebas tahun depan bagi memastikan kesinambungan perjuangan politik mereka.

Bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda berkata, penubuhan pasukan itu bertujuan meneruskan semangat dan agenda bagi membantu kerajaan dalam usaha membela dan menyelesaikan

masalah rakyat.

Katanya, pasukan itu akan menjadi sebagai wadah baru mereka berpolitik secara bebas.

“Pasukan ini akan menjadi kuasa ketiga politik di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fauzi yang bertindak sebagai penyelaras pasukan pakatan bebas itu berkata, misi dan visi kumpulan itu ialah untuk menentang budaya parti-parti politik yang rakus dan menipu rakyat.

Menurutnya, moto perjuangan mereka adalah berteraskan prinsip-prinsip berani, telus dan amanah.

Beliau mengalu-alukan individu, kumpulan atau bekas ahli politik untuk menyertai pasukan

pakatan bebas itu.

Jelasnya, selepas majlis pelancarannya tidak lama lagi, pasukan itu akan menyusun gerak kerja yang efektif supaya tanggungjawab terhadap rakyat dapat dilaksanakan.

“Kita akan menjelajah ke seluruh negeri ini dalam usaha mendedahkan, membongkar dan menerangkan kepada rakyat tentang permasalahan, kerakusan dan pembohongan yang dibawa oleh parti politik terutama PKR dan pakatan pembangkang di Perak semasa mereka mentadbir negeri ini.

“Kami juga akan sentiasa mengkritik dan menegur kerajaan Barisan Nasional (BN) jika ada isu dan diperlukan. Kami bertekad akan membawa satu budaya politik baru yang bebas kepada rakyat,’’ katanya.

Menurut Fauzi, budaya politik bebas adalah lebih baik daripada politik kepartian yang dipenuhi agenda-agenda palsu, jahat dan rakus di kalangan pemimpin-pemimpinnya.

“Pengalaman kami berada di dalam PKR dan pakatan pembangkang selama ini sudah cukup mengajar dan mematangkan kami. Budaya politik PKR yang memfitnah, menghina dan memberi aib sesama sendiri, mengampu, berebut kuasa dan jawatan menyebabkan agenda utama memperjuangkan rakyat dilupakan,” katanya.

Saifuddin 'putar alam'

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Seperti dijangka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melemparkan tohmahan tanpa pula mengemukakan bukti terhadap bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

Semuanya hanya kerana Zaid mengkritik Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 'anak emasnya', Azmin Ali termasuk mempertikaikan ketelusan pemilihan pimpinan tertinggi parti itu.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, tindakan itu adalah strategi 'pre-emptif' bagi mengawal kerosakan terhadap apa yang teruk berlaku dalam parti itu.

Menurut beliau, ia juga bagi memutarbelitkan fakta sebenar sekali gus sebagai salah satu usaha menjaga kepentingan Anwar dan Azmin.

"Ia dibuktikan dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang mengatakan Zaid sudah lama mempunyai hasrat untuk menubuhkan parti baru sebelum menyertai PKR lagi.

"Saya sifatkan Saifuddin seorang yang 'putar alam' hingga sanggup memutarbelitkan fakta demi menutup kelemahan Anwar dan Azmin. Ia memperlihatkan sikap Saifuddin yang sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan politik peribadi tanpa mengira maruah, moral atau prinsip," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan terkini Saifuddin itu semasa mengumumkan keputusan terkini pemilihan Majlis Pimpinan Pusat parti itu di ibu pejabat mereka di Petaling Jaya, dekat sini, semalam.

Anuar juga menempelak Saifuddin yang mendakwa parti itu bersama jawatankuasanya telah ditubuhkan oleh Zaid tetapi enggan mendedahkan bukti dan butiran lanjut mengenainya.

Tegas beliau, tuduhan itu amat tidak bertanggungjawab kerana enggan mengemukakan bukti bagi menyokong segala tohmahan yang dilemparkan.

"Saifuddin juga pernah mendakwa bahawa pihak luar terlibat dalam insiden pergaduhan partinya dan mendakwa mempunyai bukti, namun masih gagal mengemukakannya sehingga kini," katanya.

Anwar tak puas hati Gillard puji Malaysia negara Islam moden

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Kata-kata keji itu dikeluarkan Anwar semata-mata untuk menjayakan usaha terbarunya memujuk Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, supaya memberi tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) atas alasan mengamal rasuah dan menipu pada pilihan raya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia semalam, dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat (AS) berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya gagal.

"Mereka (kerajaan Gillard) tidak boleh hanya pergi ke Malaysia dan berkata, 'ini adalah negara Islam moden yang bagus'. Saya menganggap ia sebagai penghinaan," katanya seperti dipetik daripada laman berita The Australian hari ini.

Penghinaan yang disifatkan oleh Anwar itu dipercayai merujuk kepada pengiktirafan Gillard terhadap kemajuan negara semasa melakukan sesi lawatan rasmi ke Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usahanya untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua pembangkang itu berkata, Australia dan New Zealand selaku negara demokrasi contoh di Asia Pasifik sepatutnya mencontohi pendirian Indonesia yang memberi sokongan kepadanya berhubung isu liwat dan sebagainya.

Malah, beliau secara terbuka menganggap Indonesia sebagai sebuah negara sahabat baik dan sekutunya dalam menjayakan perjuangan reformasi bagi merampas Kerajaan Persekutuan daripada BN.

"Mana negara lagi yang kita patut lihat di Asia ini jika bukan Australia dan New Zealand. Kedua-dua negara ini perlu menyatakan pandangan dan keprihatinan mereka (tekanan kepada Malaysia) dan sudah tentu Indonesia sekarang adalah negara sekutu," katanya.

Dalam pada itu, The Australian melaporkan, Anwar dijangka bertemu dengan ahli-ahli Parlimen Australia di Canberra hari ini, bagi tujuan meraih sokongan di kala partinya sendiri sedang menghadapi masalah dalaman yang meruncing.

Ia ekoran penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan PKR sehingga menyaksikan Datuk Zaid Ibrahim mengambil keputusan mengejut untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden dan melepaskan semua jawatannya dalam parti.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga dijangka bertindak keluar parti Jumaat ini selepas muak dan kecewa dengan sikap hipokrit pemimpin PKR terutamanya Anwar dan 'anak emasnya' Azmin Ali.

"Kami menghadapi kesulitan memujuk kerajaan Australia untuk pergi ke Malaysia (bagi memberi tekanan), tetapi mungkin kita dapat memujuk ahli-ahli Parlimen bagi menyuarakan pendirian mereka," kata Anwar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.