Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
pengarang@utusan.com.my
'Politik sesumpah Pas kian terserlah'
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Pendirian barisan pemimpin tertinggi Pas yang bertentangan antara satu sama lain mengenai beberapa isu sejak kebelakangan ini mencerminkan wajah sebenar parti itu yang mengamalkan politik 'sesumpah'.
Bekas Felo Pusat Syariah Undang- Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, pendirian berbeza merupakan perkara biasa bagi sesebuah organisasi, lebih-lebih lagi dalam sebuah parti politik yang mendukung demokrasi.
Bagaimanapun katanya, sekiranya percanggahan tersebut melibatkan perkara-perkara penting termasuk asas perjuangan parti sendiri, ia jelas menunjukkan Pas tidak mempunyai prinsip yang jelas seperti yang diuar- uarkannya selama ini.
"Perbezaan pendapat pemimpin tertinggi Pas mengenai cadangan Anwar Ibrahim untuk melantik Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri ibarat membuka pekung di dada kerana ia jelas memperlihatkan mereka tidak sehaluan.
"Selain itu, pendirian berubah-berubah dalam beberapa isu terdahulu yang membabitkan prinsip parti itu membuktikan teori saya bahawa pendekatan Pas semakin mirip dengan 'sesumpah' yang boleh bertukar warna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju dengan cadangan Anwar Ibrahim untuk melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat bagi menubuhkan kerajaan pada masa depan.
Persetujuan itu bagaimanapun bukannya sebulat suara oleh barisan pemimpin tertinggi Pas yang lain apabila ada yang mendakwa tidak tahu menahu mengenainya, termasuk Presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yaakob mempertahankan Nik Abdul Aziz apabila menyatakan persetujuan beliau meskipun Ketuanya, Datuk Harun Taib tidak bersetuju.
Kek hari lahir hitam untuk Guan Eng
MOHAMED Ghani Abd. Jiman (kanan) menyerahkan kek hitam kepada Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri, Amran Ahmad di Komtar, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 8 Dis. - Seolah-olah tidak lengkap sambutan hari lahir seseorang jika tiada kek. Begitu juga kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menyambut hari lahirnya ke-50 hari ini.
Pada hari ini, beliau dihadiahkan tiga kek oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berpuas hati cara pentadbiran 'cakap tak serupa bikin' Ketua Menteri itu dalam menangani pelbagai isu.
Seramai 40 orang mewakili Persatuan Anak Jati Pulau Pinang (Pajim), penduduk Kampung Genting, Kampung Pokok Asam, Kampung Buah Pala dan Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) menghantar dua kek berbentuk hati dan satu bulat.
Ketiga-tiga kek yang ditempah khas itu diterima pegawai khas kepada Guan Eng, Amran Ahmad di tingkat tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Di atas ketiga-tiga kek yang berwarna coklat hitam itu tertera perkataan-perkataan 'Selamatkan Kampung Genting', 'Daripada Anak Jati Pulau Pinang' dan 'Selamatkan Lot 21 dan 22' yang dipercayai merujuk kepada tanah untuk dijadikan perkuburan Islam di Jelutong.
Mereka juga beramai-ramai menyanyikan lagu selamat hari lahir untuk Guan Eng.
Selain itu, ahli Pas yang pernah mencetuskan kontroversi memanjat pagar Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa demonstrasi baru-baru ini, Ariff Ibrahim sempat mencalit sedikit krim kek untuk merasainya sebelum diterima oleh Amran.
Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Mohamed Ghani Abd. Jiman yang mengetuai kumpulan itu berkata, tindakan menghadiahkan kek-kek berkenaan kepada Guan Eng bukan kerana benci tetapi 'sayang' Setiausaha Agung DAP itu dan berharap hatinya kembali bersih.
"Kami mahu menuntut pelbagai janji yang diberi Guan Eng kepada rakyat Pulau Pinang sebelum menang pilihan raya umum dulu, dia kena ingat rakyat yang undi dia sehingga jadi Ketua Menteri, rakyat juga boleh buat sebaliknya.
"Sejak pakatan pembangkang memerintah kita semua sukar hendak hidup dengan aman, ada saja masalah.
"Kita juga bukan pro Barisan Nasional (BN), dulu BN pun teruk juga tapi tidaklah seteruk dan sekejam sekarang," tegasnya.
Menurutnya, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu mengkritik, namun Ketua Menteri itu yang membuka ruang untuk rakyat berbuat demikian sehingga ada yang sudah capai tahap menyampah dengan gelagatnya.
Justeru, beliau menyeru dan berharap Guan Eng berubah sikap dan tidak lagi membuat sesuatu keputusan atau dasar dengan memilih warna kulit kerana sebagai rakyat Pulau Pinang, mereka mempunyai hak.
"Cukup-cukuplah buat kami semua sengsara, jangan ditambah lagi keperitan yang ditanggung sekarang.
"Jika Guan Eng tidak mampu hendak tangani semua perkara secara adil, bungkus pakaian dan pulanglah ke Melaka," katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Zaini Abu Bakar berkata, pendirian berbeza barisan pemimpin tertinggi Pas bukan sahaja menonjolkan kelemahan parti, malah mengelirukan penyokong sendiri.
Kredibiliti parti itu tambahnya, semakin diragui apabila Mursyidul Amnya sendiri mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak konsisten mengenai satu isu yang sama.
"Beliau kini kerap mengeluarkan pendapat yang berbeza mengikut keadaan. Jika hari ini, di hadapan orang ini, beliau berkata begini. Esoknya, di hadapan yang lain, beliau berkata begitu pula.
"Beliau juga dilihat kerap tidak bersetuju dengan Presiden Pas dan barisan pemimpin lain dalam beberapa isu. Kalau berterusan, bagaimana orang bawah hendak yakin dengan kepimpinan mereka," katanya
MCA setia kepada Najib, Muhyiddin
2010/12/09
KUALA LUMPUR: MCA setia kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai pengemudi kepada Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata sebaliknya istilah ‘big brother’ dan ‘small brother’ dimaksudkannya adalah ingatan kepada ahli UMNO supaya tidak bertindak melebihi dua pemimpin tertinggi itu. “Kita faham dan terima hakikat BN dipimpin Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Mereka adalah bos kepada kita dan pemimpin agung dalam BN. Ia satu formula yang diterima semua.
UMNO bertindak sebagai nakhoda Barisan Nasional
Oleh Nazura Ngah dan Mohd Zaky Zainuddin
bhnews@bharian.com.my
2010/12/08
Pemimpin nafi wujud istilah abang besar, adik dalam parti KUALA LUMPUR: UMNO menolak dakwaan wujud 'big brother' dan 'small brother' dalam Barisan Nasional (BN), sebaliknya pengaruh, kuasa dan haknya sebagai parti terbesar dan terkuat dalam gabungan itu kerana memiliki kerusi terbanyak di Parlimen memberinya pengaruh serta kuasa yang setimpal. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata politik adalah perjuangan berasaskan bilangan, kepentingan dan kedudukan Presiden UMNO selaku Perdana Menteri yang tidak boleh disamakan dengan presiden parti lain dalam BN.
Memang tidak ada istilah 'abang besar' dalam BN tetapi Pengerusi BN tetap memiliki 'residual power' (kuasa lebihan) dan 'residual influence' (pengaruh lebihan) dari sudut perundangan dan kekuatan legislatif, dua ciri yang Dr Chua (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) dan partinya (MCA) tak ada.
“Sejak Tunku Abdul Rahman hingga Najib, ia tidak pernah hilang atau digadaikan. Oleh itu kuasa Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan Presiden UMNO tidak terjejas dan tak pernah hilang.
“Pendapat Dr Chua itu adalah pendapat egalitarian (orang yang mendukung fahaman egalitarisme (fahaman bahawa semua orang sama rata) dan bersifat sosialisme tanpa mengambil kira fakta dan sejarah Parti Perikatan dan BN selama ini,” katanya.
Ahad lalu, Dr Chua ketika berucap di Konvensyen BN, menyarankan amalan ‘big brother’ (UMNO) atau `small brother’ (parti komponen lain) dalam BN dihapuskan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata BN memerlukan seorang pemimpin yang bertindak sebagai nakhoda dan pemimpin itu adalah Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO tetapi pada masa sama UMNO mendengar suara parti komponen lain.
“Kita perlu bersama membina negara ini. BN adalah barisan 1Malaysia,” katanya yang menyifatkan persepsi `big’ atau `small brother’ itu mungkin disebabkan UMNO mewakili Melayu dan Bumiputera iaitu dua pertiga atau 67 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim, berkata Wanita BN akan meneliti saranan itu secara serius kerana ia menggambarkan rasa tidak puas hati parti lain terhadap peranan UMNO dalam BN.
Sambil menolak wujudnya konsep ‘big’ atau `small brother’ dalam BN, Kamilia berkata peranan UMNO sebagai `nakhoda’ mengemudi BN diiktiraf sejak dulu lagi.
“UMNO tidak pernah membuli atau bertindak sebagai abang,” katanya.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata UMNO sentiasa menghormati parti komponen lain yang turut memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.
“UMNO juga tidak pernah menganggap dirinya sebagai `big brother’ dan parti komponen lain sebagai ‘small brother’,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata konsep abang dan adik hanya persepsi, sebaliknya dalam BN istilah ketua atau nakhoda adalah lebih tepat untuk menggalas tugas menjaga satu keluarga besar.
Pas tersasar jauh sanggup belakangi ayat al-Quran, hadis
KOTA BHARU 8 Dis. - Pas telah tersasar jauh daripada perjuangan asalnya sehingga sanggup membelakangi ayat-ayat Allah dengan menjadikan orang bukan Islam sebagai rakan seperjuangan.
Mudir Pondok Pok Kerai, Mohamed Zainal Abidin Awang berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan tidak kisah sekiranya Penasihat DAP, Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri nyata terpesong daripada ajaran al-Quran dan hadis.
Beliau berkata, Pas lebih mementingkan sekutu politiknya sehingga sanggup menjual serta membelakangi ayat-ayat al-Quran dan sekiranya tindakan itu dibiarkan tidak mustahil Malaysia akan dijual oleh golongan Melayu yang mendakwa faham agama tetapi daif mengenai hakikat Islam dan ketuanan bangsa.
"Justeru itu, saya mewakili masyarakat pondok tradisional menyeru pemimpin Islam bangkit menyedarkan pemimpin Pas ini bahawa tindakan mereka itu menjurus kepada kehancuran.
"Saya amatlah terharu kerana berlakunya kemungkaran besar yang telah dilakukan oleh pemimpin Pas terhadap bumi Malaysia di mana mereka tergamak untuk mengambil orang bukan Islam sebagai Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas pendirian terbaru Nik Abdul Aziz mengenai pelantikan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum nanti.
Dalam blog www.blogtokguru.com, Mursyidul Am Pas itu menyatakan, Kit Siang boleh dilantik ke jawatan itu dengan syarat beliau mesti merupakan seorang Muslim yang soleh.
"Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekali pun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Ini prinsip Islam yang perlu dipatuhi dalam membentuk kepimpinan negara dan ummah," katanya dalam blog berkenaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dalam wawancara akhbar Sin Chew Daily berjanji memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Kit Siang jika pakatan pembangkang menangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Mohamed Zainal Abidin berkata, tindak-tanduk Nik Abdul Aziz sekarang jelas menunjukkan bahawa beliau amat mementingkan kuasa daripada perjuangan sebenar untuk menegakkan Islam.
"Apa yang dilakukan Pas hanya untuk terus bertahan dan membalas dendam terhadap UMNO kerana perjuangan mereka tidak diterima rakyat," katanya.
'Anwar, Wan Azizah, Azmin patut malu'
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali patut berasa malu serta insaf dengan peringatan keras raja-raja Melayu supaya jangan derhaka kepada bangsa sendiri.
Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana perbuatan ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu yang sebelum ini mengisytiharkan 'perang' terbuka bagi menghapuskan ketuanan Melayu adalah perbuatan derhaka kepada bangsa mereka sendiri.
Sambil menyeru kepada seluruh rakyat agar menolak pemimpin tidak ikhlas seperti Anwar, beliau berkata, Malaysia mempunyai sejarah perjuangan yang panjang sebelum merdeka dan asas tersebut, yang kini terangkum dalam perlembagaan tidak sepatutnya diruntuhkan oleh pembangkang.
"Apa yang Anwar, isterinya dan Azmin hendak buat dan janji, ia tidak boleh sama sekali mengatasi asas perlembagaan negara seperti berjanji untuk menghapuskan konsep ketuanan Melayu. Tengok negara seperti China dan India, adakah mereka berkompromi dengan asas negara bangsa mereka?
"Ketiga-tiga pemimpin pembangkang ini patut malu dan insaf dengan peringatan raja-raja Melayu, tetapi kalau ketuanan bangsa sendiri pun hendak dihapuskan, apakah tidak layak mereka ini digelar penderhaka Melayu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ibrahim berkata, Perkasa juga menyeru kepada kerajaan supaya jangan sesekali terikut dengan rentak politik pembangkang sebaliknya, perlu tegas mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan pada masa yang sama tidak mengetepikan hak kaum-kaum lain.
"Jangan terpesong oleh sebarang dasar atas apa juga alasan. Jangan retorik semata-mata kerana sudah banyak tembok kepentingan nasional diruntuhkan demi kepentingan politik, pertahankanlah apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan," jelasnya.
Semalam, nada tegas yang sama juga turut dititahkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang mahu semua pihak di negara ini tidak lagi membangkitkan isu-isu berkaitan hak keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dan terjamin dalam Perlembagaan.
Minggu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan pihak yang berhijrah ke negeri itu, terutamanya orang Melayu kerana sanggup mempersoalkan keistimewaan bangsa mereka sendiri, termasuk mempersoal kedudukan institusi raja-raja Melayu.
Mursyidul Am Pas semakin keliru - Ibrahim Ali
KOTA BHARU 8 Dis. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin keliru apabila meletakkan pula syarat sekiranya Lim Kit Siang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz sebelum ini yang menyokong pelantikan Penasihat DAP itu ke jawatan berkenaan tanpa sebarang syarat, jelas menunjukkan ia hanya mainan politik Menteri Besar Kelantan itu.
"Bagaimanapun, apabila mendapat maklum balas daripada ramai pimpinan Pas yang menentang kenyataan tersebut, Nik Abdul Aziz terpaksa meletakkan syarat pula.
"Ini menunjukkan beliau bercakap berbelit-belit dan semakin keliru," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pendirian terbaru Nik Abdul Aziz mengenai pelantikan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum nanti.
Dalam blog www.blogtokguru.com, Nik Abdul Aziz menyatakan, Kit Siang boleh dilantik ke jawatan itu dengan syarat beliau mesti merupakan seorang muslim yang soleh.
"Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekali pun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Ini prinsip Islam yang perlu dipatuhi dalam membentuk kepimpinan negara dan ummah," katanya dalam blog berkenaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dalam wawancara akhbar Sin Chew Daily berjanji memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Kit Siang jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Kenyataan Anwar itu mendapat reaksi berbeza daripada pimpinan masuk Nik Abduk Aziz sendiri.
Mengulas lanjut pendirian Nik Abdul Aziz itu, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam nada sindiran menyifatkan beliau seorang yang kurang berkeupayaan dan perlu diganti
Anwar terus gugat sistem kehakiman negara?
KUALA LUMPUR 8 Dis. – Cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugat kredibiliti kerajaan dan sistem kehakiman negara berhubung kes liwatnya berterusan apabila beliau membawa Ahli Parlimen Bebas dari Australia, Senator Nick Xenophon untuk mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Ketua Pembangkang itu berkata, Xenophon berada di Malaysia untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen pakatan pembangkang dan persatuan hak asasi manusia selain menjadi pemerhati dalam perbicaraan kes liwatnya.
“Tetapi, memandangkan kes itu (liwat) telah ditunda, Nick mengambil keputusan untuk datang ke Parlimen bagi memerhatikan persidangan di sini,” katanya.
Xenophon mendakwa, 61 orang Ahli Parlimen Australia iaitu kira-kira satu perempat daripada keseluruhan ahli Parlimen negara tersebut telah menyuarakan sokongan kepada Anwar yang kini sedang menghadapi tuduhan liwatnya itu.
Katanya, ahli-ahli Parlimen negaranya begitu bimbang kerana Anwar tidak mendapat perbicaraan yang adil.
“Australia dan Malaysia bersahabat baik. Apabila kita bersahabat baik, kita akan menceritakan perkara yang benar kepada sahabat kita. Kami di Australia amat mengambil berat terhadap perbicaraan kes liwat Anwar.
“Itulah sebabnya saya berada di sini, bukan sahaja untuk memerhatikan prosiding perbicaraan tetapi juga memberi sokongan sebagai seorang Ahli Parlimen Australia,” katanya.
Xenophon adalah antara 50 Ahli Parlimen Australia termasuk Michael Danby yang memprotes supaya tuduhan ke atas Anwar digugurkan pada Februari tahun ini kononnya bagi mencerminkan kredibiliti kerajaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.