17 Januari, 2011
[hang nadim] Malaysia tak kejam.....
Antika Sarno
Antika tinggalkan universiti
KUALA LUMPUR 16 Jan. – Sepatutnya gadis manis ini ke universiti, namun kerana kemiskinan, dia terpaksa menjadi pembantu rumah.
Itu kisah duka yang disimpan rapi selama hampir tujuh tahun sebelum Antika Sarno, 29, bersedia berkongsi cerita.
Hakikatnya, wajahnya yang sentiasa ceria, tidak langsung menggambarkan betapa berat beban yang sedang ditanggung.
Antika, seorang anak kampung miskin, terpaksa meninggalkan negara atas dasar tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Menariknya tentang Antika ialah melihat kepada gaya percakapannya.
Jika tidak ditanya latar belakangnya, mungkin tiada siapa menyedari gadis ini seorang pembantu rumah berasal dari Kisaran, Sumatera Utara.
Menurut Antika, dia mengambil masa tidak sampai tiga bulan untuk menguasai lenggok bahasa Melayu yang menjadi bahasa utama negara ini.
‘‘Bahasa harian yang sering saya guna semasa di kampung dulu tidak berbeza sangat dengan bahasa Melayu di sini,” katanya tersenyum lagi.
Antika, anak sulung daripada tiga beradik, bukan seperti kebanyakan pembantu rumah lain yang hanya berpendidikan sekolah rendah atau di negara jiran itu disebut sebagai sekolah dasar.
Pencapaian peperiksaan sekolah menengahnya yang cemerlang, melayakkan dia menyambung pelajaran ke universiti dalam bidang perakaunan.
Namun, disebabkan kemiskinan - demi memastikan adik-adik yang lain dapat meneruskan pelajaran untuk menjadi insan berguna, dia memilih untuk berkorban - meninggalkan segala-gala yang amat disayanginya.
‘‘Adik perempuan saya sekarang mengambil jurusan kedoktoran, adik lelaki pula masih di sekolah rendah, darjah (tahun) tiga,” ujarnya.
Jelas Antika, ada sebab mengapa adik perempuannya itu memilih untuk menjadi doktor.
‘‘Emak bukan sahaja sakit buah pinggang, tetapi ada masalah jantung dan paru-paru. Doktor kata, masih boleh dirawat,” katanya perlahan.
Bagi memastikan ibu dikasihi itu terus bertahan, setiap bulan, gadis tabah ini mengirimkan antara RM350 hingga RM400 kepada bapanya.
Wang tersebut adalah sebahagian besar daripada keseluruhan RM600 gaji yang diterima setiap bulan daripada majikan tempat dia bekerja kini.
‘‘Selain wang kiriman saya, bapa yang bekerja sebagai pemandu lori juga banyak membantu menanggung kos rawatan emak,” jelas Antika.
Menyusuri pengalamannya bekerja sebagai pembantu rumah, kata Antika, selama hampir tujuh tahun berada di Malaysia, dia tidak pernah mengalami pengalaman ngeri seperti yang dipaparkan di media-media.
‘‘Saya bersyukur dapat bekerja di sini. Walaupun dulu sering terbaca kisah-kisah majikan mendera pembantu rumah, tetapi apa yang penting sebenarnya adalah niat mengapa kita mahu datang ke sini,” katanya.
Tambah Antika, jika niat yang tertanam adalah semata-mata mahu bekerja demi mencari wang untuk meneruskan kelangsungan hidup, tiada sebab mengapa majikan sengaja mahu mencari kesilapan pembantu rumah mereka.
‘‘Masalahnya ialah mungkin ada yang masuk ke sini atas sebab lain tetapi menjadikan pekerjaan pembantu rumah sebagai saluran. Maka, berlaku macam-macam hal yang tidak disukai oleh majikan,” tambahnya.
Apa kata mereka
ISU penderaan pembantu rumah warga Indonesia tidak perlu diperbesarkan kerana pada pendapat saya, majoriti daripada mereka mendapat layanan yang baik daripada majikan malah turut mengakui peluang pekerjaan di negara ini berjaya mengubah nasib mereka.
ISMAIL MOHD. JIDIN Pemandu Teksi
KELUARGA saya pernah mengalami pengalaman pahit ketika menggajikan pembantu rumah warga Indonesia. Bukan sahaja bersikap malas dan enggan melakukan kerja-kerja rumah malah berani keluar tanpa meminta izin.
ATHIRAH OTHMAN Kakitangan Swasta
BUKAN semua pembantu rumah warga asing ‘jahat’ malah dakwaan yang mengatakan majikan bersikap kejam juga adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, tanpa khidmat mereka mungkin ramai wanita yang bekerja terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah.
EFPA AZANI MD. NASIR Pelajar
SAYA percaya masalah-masalah yang timbul berhubung pembantu rumah warga Indonesia kebiasaannya melibatkan pembantu rumah yang muda dan berusia di bawah 35 tahun.
R. THANALETCHUMI Kakitangan Swasta
JIKA mereka datang ke negara ini semata-mata untuk mencari rezeki, saya yakin masalah-masalah yang sering kita dengar membabitkan golongan ini tidak akan berlaku.
ZABIDI BIDIN
Guru
Malaysia tak kejam
Jenab Abdul Rahman membuat kerja rumah sambil melayan anak majikannya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Pembantu rumah Indonesia membuat pengakuan kepada wartawan Utusan Malaysia bahawa mereka tidak pernah menganggap majikan di Malaysia sebagai kejam walaupun isu itu diperbesarkan oleh media Indonesia.
Sebaliknya, mereka menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua.
Ramai yang datang berulang kali ke Malaysia untuk menjadi pembantu rumah kerana rasa selamat di negara ini.
KUALA LUMPUR 16 Jan. – Adat, budaya, bahasa, agama dan gaya hidup yang tidak jauh berbeza antara sebab Malaysia menjadi pilihan pembantu rumah Indonesia berbanding negara-negara lain.
Keadaan ini sekali gus menghilangkan ‘ketakutan’ mereka untuk berada jauh daripada keluarga yang ditinggalkan jauh beribu-ribu batu.
Lebih menarik minat mereka untuk menetap lama di Malaysia ialah sikap kebanyakan majikan yang menganggap mereka sebagai sebahagian daripada ahli keluarga masing-masing.
Ini terbukti menerusi tinjauan dilakukan apabila mendapati, ciri-ciri hampir sama menyebabkan pembantu rumah negara negara itu menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka.
Hakikatnya rata-rata pembantu rumah rakyat Indonesia lebih rela memilih Malaysia untuk meneruskan kelangsungan hidup berbanding negara-negara lain seperti Arab Saudi, Hong Kong atau Singapura.
‘‘Malaysia bukan sahaja tempat cari rezeki tetapi juga dianggap sebagai rumah kedua kami,” kata Marini Mohd. Hassan, 33, di sini, baru-baru ini.
Menurut Marini, Malaysia bukanlah sebuah negara ‘kejam’ seperti yang digambarkan oleh media-media di Indonesia.
Malah jelas anak kelahiran Sumatera Utara ini jika dibandingkan dengan negara-negara lain, negara ini boleh dikatakan yang ‘terbaik’ dalam melayan pembantu-pembantu rumah mereka.
Seorang lagi pembantu rumah, Jenab Abdul Rahman, 45, apa yang didengarinya tidak sama dengan situasi sebenar berada di negara ini.
‘‘Memang ada orang cakap majikan di sini suka seksa pembantu rumah. Walaupun anak-anak bimbang, saya tak takut untuk mencuba sendiri.
‘‘Ternyata apa yang dicakap dan yang sebenarnya berlaku tidak sama. Saya rasa selamat tinggal bersama majikan di sini,” katanya.
Rakannya, Siti Aminah Mohamad, 53, berkata, dia telah beberapa kali pulang ke kampung tetapi datang semula ke negara ini untuk bekerja.
‘‘Pertama kali saya datang ialah pada tahun 1987 (24 tahun lalu). Ketika itu saya bekerja dengan majikan keturunan Cina di Batu Pahat.
‘‘Saya sempat bekerja selama setahun sebelum bekerja kilang selama lima tahun. Selepas itu saya pulang ke kampung sebelum datang semula ke Malaysia untuk bekerja dengan majikan Melayu di Kelantan,” katanya.
Selepas dua tahun di Kelantan, Siti Aminah mengikuti majikannya berpindah ke Datuk Keramat dan sekarang bersama majikan baru di Bangsar.
Katanya walaupun, penghijrahannya ke Malaysia pada mulanya adalah kerana ditipu oleh ejen, namun dia bersyukur dengan kesilapan tersebut.
‘‘Saya tidak pernah menyesal berada di negara ini. Nasib baik tidak dihantar ke Arab Saudi, tempat yang sepatutnya saya pergi,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada empat anak, Nina Juman Safie, 53, pula memberitahu, walaupun sedikit bimbang dengan situasi yang digembar-gemburkan, dia terpaksa memberanikan diri demi mencari rezeki.
‘‘Anak-anak pada mulanya tidak menggalakkan saya ke sini tetapi oleh sebab kami memerlukan wang, saya hanya serah kepada takdir,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.