Pages

Subscribe:

15 Januari, 2011

[ hang nadim] 30,000 tunggu masa dibawa masuk.....












PEMBANTU rumah warga Indonesia di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KISAH Nirmala Bonat, pembantu rumah yang ‘diseterika’ majikannya pada 2004, kematian Mantik Hani dan penderitaan yang ditanggung oleh Siti Hajar Sadli adalah antara kisah duka akibat sikap segelintir majikan ‘kejam’ di negara ini.

Kesan daripada apa yang berlaku, Kerajaan Indonesia mengambil keputusan menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah mereka ke Malaysia bermula pada Jun 2009.

Pembekuan itu hakikatnya bukan sahaja menyusahkan ramai rakyat negara ini yang memerlukan pembantu rumah tetapi juga golongan ‘pembantu rumah’ itu sendiri.

Dalam masa sama, di sebalik pelbagai isu yang sengaja dieksploitasikan oleh media negara jiran, ia tidak sedikit pun membantutkan niat puluhan ribu wanita republik itu untuk terus mencari rezeki di bumi bertuah ini.

Mereka bukan sahaja terdiri daripada yang telah mendaftar secara sah di agensi-agensi pekerjaan tetapi juga menunggu masa untuk menyelinap masuk secara haram melalui pelbagai cara.

Mengapa Malaysia tetap menjadi pilihan pekerja-pekerja wanita Indonesia ini walaupun lebih banyak kisah menakutkan dipaparkan di media massa mereka? Wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar, WAHIDAH ZAINAL cuba mengupas persoalan ini.

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Di sebalik pembekuan sementara kemasukan pembantu rumah Indonesia, kira-kira 30,000 wanita negara itu hanya menunggu masa untuk dibawa masuk ke negara ini bagi mengisi kekosongan pekerjaan tersebut.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty memberitahu, jumlah itu meningkat setiap hari memandangkan Malaysia adalah negara pilihan utama penduduk negara tersebut untuk mencari rezeki.

"Anggaran ini mungkin lebih berdasarkan sebelum arahan pembekuan sementara pengambilan pembantu rumah Indonesia dibuat, kita biasa membawa masuk kira-kira 10,000 orang setiap bulan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Pada Jun 2009, kerajaan Indonesia mengarahkan pembekuan sementara kemasukan pembantu rumah negara itu ke Malaysia.

Keputusan itu dibuat bagi menyemak kembali syarat-syarat pengambilannya bagi melindungi kepentingan pekerja dan majikan, berikutan kes-kes penderaan yang berlaku.

Ekoran itu, Jawatankuasa Kerja Bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia dan Malaysia ditubuhkan.

Bagaimanapun sehingga kini, setelah beberapa kali perbincangan dijalankan, ia masih gagal menemukan kata putus.

Sedangkan dalam masa sama, permohonan untuk memasuki negara ini oleh rakyat negara itu dan keperluan pembantu rumah semakin mendesak.

Alwi berkata, masalah kekurangan pembantu rumah yang dihadapi oleh majikan di negara ini, perlu diselesaikan dengan kadar segera bagi mengelakkan masalah lain wujud.

"Kedua-dua negara harus segera menyelesaikan rundingan yang sehingga kini masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

"Jika perlu pandangan Papa, kami sentiasa bersedia membantu. Mungkin dengan melibatkan agensi pekerja asing kedua-dua negara, perkara yang masih menjadi perdebatan dapat diselesaikan dengan lebih baik," katanya.

Dua isu utama yang belum mencapai kata putus ialah soal gaji dan struktur kos melibatkan bayaran yang perlu ditanggung oleh majikan.

Perkara-perkara yang telah dipersetujui pula ialah cuti sekali seminggu dan kebenaran menyimpan pasport oleh pembantu rumah.

Mengulas kelewatan rundingan ini, dakwa Alwi, ia berpunca daripada kerajaan Indonesia yang tidak mahu memberi komitmen sewajarnya.

"Pihak Indonesia tidak memberi komitmen mereka disebabkan dua isu yang tertangguh itu kurang menguntungkan mereka," kata beliau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.