Pages

Subscribe:

21 Januari, 2011

[hang nadim] Penduduk adakan solat hajat untuk pegawai polis koma.....



KUALA LUMPUR 21 Jan. – Sikap seorang pegawai polis yang bertanggungjawab, jujur dan baik hati semasa melaksanakan tugas menyebabkan penduduk sebuah kawasan perumahan bersimpati dengan nasib yang menimpa Inspektor Shukri Hat.

Shukri, 30, kini koma akibat terbabit dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah Rabu lalu dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Berikutan kejadian itu, penduduk di Taman Sri Indah, Sri Petaling mengadakan solat hajat dan majlis doa selamat kelmarin mendoakan semoga pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu segera sembuh.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid memberitahu, beliau terharu melihat keprihatinan dan doa penduduk terhadap nasib yang menimpa pegawainya itu.

Katanya, sehingga petang ini, pegawainya masih koma dan bergantung kepada bantuan mesin pernafasan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menganjurkan solat hajat tersebut. Sepanjang perkhidmatan, Shukri seorang yang mesra dan rapat dengan penduduk daerah ini, khususnya di kawasan perumahan tersebut.

“Sikap mengambil berat tentang keselamatan penduduk telah menyebabkan dia disenangi ramai dan mereka sanggup mengadakan solat hajat untuk kesihatan beliau,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shukri koma sejak Rabu lalu apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebatang tiang lampu ketika hendak mengejar dua suspek kes dadah di Jalan Tun Sambanthan.

Kejadian pukul 1.30 petang itu berlaku ketika bapa kepada dua anak dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Brickfields itu sedang melakukan operasi bersama beberapa anggota untuk mencari suspek kes dadah.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala serta badan masih dirawat dan keadaannya kini masih koma.

Wan Abdul Bari turut memberitahu, Persatuan Penduduk Rukun Tetangga dan Komuniti-Komuniti Jalan Berhala, Brickfields akan menziarah dan memberi sumbangan kepada keluarga Shukri di PPUM.

“Shukri banyak terlibat dalam operasi pencegahan dadah di Jalan Berhala dan sentiasa singgah di pondok-pondok polis bagi mendapat maklumat terkini berhubung jenayah di sekitar kawasan itu,” katanya lagi.



Nukilan hati hang nadim
Bersyukur kepada Allah dan terima kasih atas usaha
Pesatuan Penduduk Rukun Tetangga dan Komuniti Jalan Berhala
Brickfields Allah selamatkan dan panjang umor Tuan Shukri
Amin.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.