24 Januari, 2011
[ hang nadim] Tenang.....Tetap Tenang......Jangan Banyak Temberang.....????? 1 Malaysia Menang
Jenazah: Penduduk berang dengan fitnah Pas
LABIS 24 Jan. - Masyarakat di kawasan tanah rancangan Felda Tenang di sini benar-benar berang, geram dan kesal dengan perbuatan Pas memburukkan nama perkampungan itu dengan sanggup mempolitikkan kematian salah seorang pimpinan UMNO di kawasan tersebut.
Bagi mereka, penipuan Pas yang kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak 'lupa menziarahi' jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, ketika lawatan kerja Perdana Menteri pada 18 Januari lalu merupakan fitnah besar yang mengguris perasaan keseluruhan peneroka di Felda itu.
Lebih melukakan hati mereka ialah terhadap satu lagi fitnah nyata Pas melalui edisi kedua akhbar Buletin Tenang itu, kononnya jenazah Allahyarham tidak diuruskan orang kampung yang sibuk meraikan kedatangan Perdana Menteri sehinggakan kononnya ia diuruskan rombongan jentera parti itu yang turut melawat jenazah.
Sehubungan itu, penduduk Felda Tenang menuntut Pas supaya meminta maaf secara terbuka kepada mereka berikutan fitnah yang disebabkan menerusi risalah dan Internet itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Tenang, Darham Daud yang ditemui untuk mengulas penipuan Pas itu hari ini menegaskan:
"Pas sepatutnya minta maaf, kalau berani mestilah membetulkan fakta terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap masyarakat di Felda Tenang.
"Datang dahlah tidak memberi salam, kemudian tunjuk kurang ajar dan tidak tahu nak meminta maaf.
"Mana-mana orang Pas boleh keluar (dari Felda Tenang) dan jangan hendak masuk lagi ke sini, kita tidak perlukan mereka."
Hari ini, Utusan Malaysia membongkarkan taktik kotor Pas itu yang melakukan penipuan dan putar belit mengenai kematian Allahyarham Abdul Latif Subhi.
Selain memfitnah Perdana Menteri dan menghina penduduk kampung dengan dakwaan tidak menguruskan jenazah, Buletin Tenang terbitan Badan Perhubungan Pas Johor itu turut mendakwa kononnya imam Masjid An-Nur, Mohd. Shariff Hassan tidak mengutamakan solat jenazah sebab meraikan kedatangan Perdana Menteri.
Buletin itu mendakwa solat jenazah terpaksa diimamkan salah seorang jentera Pas yang melawat jenazah Allahyarham bersama rombongan jentera parti itu termasuk calonnya, Normala Sudirman.
Paling melampau apabila Pas mendakwa jenazah Allahyarham sengaja dibiarkan di masjid itu tanpa diuruskan kerana mahu menunggu kedatangan Perdana Menteri, suatu pembohongan yang menyedihkan isteri arwah, Maimunah Hendon dan keluarganya.
Hakikatnya, jenazah tiba dari Hospital Segamat ke masjid tersebut pada pukul 12 tengah hari dan selepas itu menunggu waktu zuhur untuk disembahyangkan dan tiada kena mengena dengan lawatan Perdana Menteri.
Menurut Darham, penduduk sangat kecewa terhadap Pas kerana sanggup menjadikan kematian sebagai isu politik hanya semata-mata untuk mencari undi.
"Perkara seperti ini tidak pernah berlaku di Felda Tenang sejak ia dibuka lebih 30 tahun lalu, saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka tergamak masuk ke kampung orang dan melakukan perkara tersebut.
"Saya kecewa kerana penduduk sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk menguruskan jenazah, bukan sahaja anak tempatan, orang luar pun kami bantu untuk uruskan jika ada waris yang meminta untuknya dikebumikan di Felda Tenang," katanya.
Menurut Darham, masyarakat di Felda Tenang mahu hidup dengan aman dan tidak mahu ketenangan di kampung tersebut diganggu oleh orang luar yang tidak tahu budi pekerti dan makna hormat-menghormati.
Bertindak ke atas pembakar bendera
LABIS 24 Jan. - Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang membakar bendera UMNO di Taman Mewah di sini semalam kerana ia merupakan perbuatan yang tidak beretika dan melampau.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, jika perbuatan itu dibiarkan tidak mustahil perkara lebih buruk berlaku dan keadaan menjadi semakin tidak stabil.
"Walaupun keadaan berkempen sekarang ini masih terkawal tetapi kita minta tindakan segera perlu dikenakan. Perkara ini tidak menguntungkan mana-mana pihak.
"Kita tidak menuduh sesiapa tetapi mana-mana pihak tolong hentikan perbuatan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di Bilik Gerakan MIC di Bukit Dato' di sini hari ini.
Semalam, dua kes bakar bendera UMNO dilakukan di taman itu pada pukul 6.30 pagi dan 9.30 pagi dipercayai dilakukan penyokong Pas.
Berikutan itu, Pemuda UMNO Johor Bahru membuat laporan polis kira-kira pukul 10 pagi di Balai Polis Labis.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan agar perkara itu tidak berulang.
Pada masa sama beliau mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak terikut-ikut atau membalas perbuatan tersebut.
Beliau turut melahirkan kesal dengan cara Pas berkempen yang mendoakan agar bala diturunkan terhadap UMNO.
Jelasnya, perbuatan itu amat memalukan kerana Pas mendakwa kononnya sebuah parti Islam tetapi perbuatannya tidak mencerminkan ajaran agama suci itu.
"Jangan kita mendoakan keburukan orang lain, bukankah kita sesama Islam? Walau berbeza ideologi politik pun tetapi kita tetap bersaudara," katanya
Kempen Pas penuh penipuan fakta
LABIS 24 Jan. – Tindakan parti pembangkang yang terus-menerus menabur fitnah dan tohmahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, dengan sendirinya mengesahkan bahawa parti itu sememangnya mengamalkan politik ‘putar alam’.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, politik ‘putar alam’ Pas itu semakin terserlah apabila sanggup memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya sengaja tidak menziarahi jenazah seorang pemimpin UMNO cawangan ketika lawatan kerja beliau ke Felda Tenang di sini, 18 Januari lalu.
Menurutnya, apabila fakta sebenar diketahui termasuk bahawa Perdana Menteri langsung tidak mengetahui mengenai kematian itu dan juga jenazah tersebut hanya tiba di Masjid An-Nur di Felda tersebut dari Hospital Segamat pada pukul 12 tengah hari, ini dengan sendirinya membongkar satu lagi penipuan besar Pas.
Ini kerana, jelasnya, Pas menerusi risalah terbitannya, Buletin Tenang, menyatakan bahawa Perdana Menteri terlupa dan tidak singgah menziarahi jenazah Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din walaupun melintasi masjid itu pada pukul 10 pagi.
“Rakyat tidak mudah lagi percaya dengan fitnah serta tohmahan Pas. Mereka tidak fikir dosa dan pahala lagi sampaikan sanggup berbohong hanya untuk meraih undi,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan itu ketika ditemui selepas melawat dan menyerahkan bantuan makanan kepada warga tua dan orang miskin di Felda Chemplak 2 di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Utusan Malaysia hari ini mengenai taktik kotor Pas tersebut yang terbukti fitnah apabila pihak pengurusan Masjid An-Nur, Felda Tenang menafikan dakwaan parti itu yang disiarkan dalam edisi kedua Buletin Tenang, terbitan Badan Perhubungan Pas Johor.
Allahyarham Abdul Latif Subhi merupakan Setiausaha UMNO Cawangan Kolam Air Felda Tenang.
Isteri Allahyarham, Maimunah Hendon, 54, juga kesal terhadap Pas yang mempolitikkan isu kematian suaminya.
Mohamad berada di Felda Chemplak merupakan peti undi angkat dan menjadi lokasi berkempen Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bersama-sama UMNO Bahagian dari Sri Gading, Sembrong dan Simpang Renggam.
Kedatangannya menarik perhatian penduduk apabila beliau bermotosikal dari satu rumah ke rumah untuk melawat penduduk sambil membawa baldi berisi bantuan barangan makanan di bakul motosikal itu.
Pengundi kecewa tindakan Tian Chua
LABIS 24 Jan. - Penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kecewa apabila ceramah-ceramah politik Pas di sekitar kawasan ini tidak sensitif dengan amalan orang Islam sehingga membenarkan individu bukan Islam melafazkan salam 'Assalamualaikum'.
Perbuatan itu dilakukan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua di hampir semua ceramahnya di sini termasuk yang di Taman Gunung Emas di sini kelmarin dan Perumahan Awam Labis malam tadi, seolah-olah mempersendakan amalan umat Islam.
Lebih mengguris hati, perbuatan itu tidak ditegur barisan kepimpinan Pas.
Walaupun perkataan 'Assalamualaikum' itu bermaksud 'sejahtera ke atas kamu' tetapi ia adalah amalan orang Islam untuk memohon kepada Allah supaya melimpahkan sejahtera kepada umat Islam lain yang diucapkan salam itu.
Seorang penduduk, Yasin Md. Shah, 44, berkata, Tian Chua sepatutnya sedar yang perbuatan orang bukan Islam memberi salam itu adalah menyinggung hati dan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
"Ini sudah tidak betul, dia tidak menghormati masyarakat beragama Islam, dia sepatutnya memahami cara hidup agama Islam dan bukannya sesuka hati mengucapkannya.
"Bagi saya, parti Pas perlu tegas mengenai perkara ini dan menasihatkan Tian Chua, takkan pula sanggup bersekongkol semata-mata kerana politik," katanya.
Sementara itu di Kota Bharu, Pas mempertahankan tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua (gambar) mengucapkan 'Assalamualaikum' ketika berceramah bersama pemimpin parti itu di Taman Gunung Emas, Labis malam kelmarin.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan Tian Chua tidak salah kerana Rasulullah SAW tidak pernah menghalang bukan Islam mengucapkan salam.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang serong ucapan salam yang diberikan oleh pemimpin bukan Islam kerana ia tidak ditegah oleh agama.
"Zaman Rasulullah pun ada orang bukan Islam memberikan salam, Rasulullah tidak larang. Cuma baginda ajar umat Islam untuk menjawab salam itu, 'waalaikum' yang bermaksud ke atas kamu yakni bergantung atas niat orang yang memberi salam baik atau tidak.
"Dalam isu ini, kita tidak tahu apa dalam hati dia (Tian Chua), atas politik atau kerana apa. Kalau atas politik pun kita nak kata apa, zaman nabi tidak halang pun," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pengundi teruja kehadiran Muhyiddin
LABIS 24 Jan.- Kempen hari ketiga jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menggunakan pendekatan tinjauan mesra dilakukan kebanyakan pemimpin termasuk Timbalan Perdana Menteri.
Walaupun cuaca panas terik, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa selama kira-kira tiga jam menemui kira-kira lebih 500 pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum di sekitar pekan Labis bermula pukul 2.30 petang.
Kehadiran pemimpin nombor dua negara itu nyata menggembirakan penduduk sekitar Labis terutama para peniaga kerana mereka tidak menjangka Timbalan Perdana Menteri sanggup meredah panas terik untuk bermesra dengan rakyat.
Antara yang paling gembira dengan kedatangan Muhyiddin ialah pengusaha restoran, Tan See Hock kerana Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja datang untuk bertanya khabar tetapi turut menikmati nasi ayam di restorannya.
"Saya amat gembira hari ini kerana tidak menyangka Timbalan Perdana Menteri akan datang makan di restoran saya. Kenangan ini akan saya simpan sampai bila-bila kerana ia merupakan memori terindah," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang ditemui selepas itu berkata, hasil daripada pertemuan yang berlangsung dalam suasana santai itu, beliau yakin pengundi di Tenang akan memilih calon BN kerana yakin dengan kebolehan dan pengalaman Mohd. Azahar Ibrahim.
"Saya hari ini dapat menemui pengundi daripada pelbagai kaum dan berdasarkan bahasa badan serta tutur kata mereka, pengundi di sini sangat selesa dan menaruh keyakinan terhadap calon BN.
"Pengundi juga memberitahu, pemilihan Mohd. Azahar mengingatkan kembali mereka kepada arwah ayahnya dan pada saya ini adalah satu perkembangan yang baik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pas tertekan populariti calon BN
LABIS 24 Jan. - Ugutan jentera Pas kononnya akan mendedahkan isu peribadi Mohd. Azahar Ibrahim membuktikan pembangkang kini semakin tertekan dengan populariti calon Barisan Nasional (BN).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN langsung tidak bimbang dengan taktik psikologi politik Pas kerana beliau yakin Mohd. Azahar bersih 100 peratus daripada sebarang isu peribadi.
Bagaimanapun, tegas beliau, jentera BN sentiasa bersiap sedia untuk menyerang balas jika pembangkang cuba memfitnah Mohd. Azahar bagi memastikan rakyat tidak terpedaya dengan muslihat kotor berkenaan.
"Mereka ini cuba nak reka cerita untuk merendahkan kredibiliti calon kita dengan menuduh Mohd. Azahar kononnya terlibat dalam kes mahkamah, itu bukan isu peribadi sebaliknya atas kapasitinya sebagai pegawai kerajaan.
"Calon kita ini langsung tiada masalah peribadi. Dia adalah calon terbaik dan kita sudah buat ujian dari segenap segi, dia 100 peratus bersih kerana kalau tidak, BN tidak akan calonkan Mohd. Azahar.
"Sebab itu, Mohd. Azahar ini diterima baik oleh pengundi dan Pas berusaha untuk mencari apa jua jalan untuk memburukkan beliau. Ini semua menunjukkan Pas tertekan dengan populariti yang diterima calon kita," katanya.
Muhyiddin ditemui selepas melakukan tinjauan mesra di sekitar pekan Labis di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai ugutan jentera Pas kononnya mereka akan mendedahkan isu peribadi Mohd. Azahar dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak terkejut dengan mainan psikologi dan taktik kotor Pas kerana dakwanya, memang itulah cara politik pembangkang setiap kali pilihan raya berlangsung.
Beliau juga tidak hairan jika selepas ini akan timbul lebih banyak fitnah serta pembohongan ditaburkan pembangkang terutama menjelang hari-hari terakhir berkempen.
"Sama juga dengan taktik 'merampas' kad pengenalan pengundi warga tua dan cubaan melaga-lagakan sayap pergerakan UMNO. Saya lihat taktik ini turut dipraktikkan di tempat lain semasa pilihan raya kecil.
"Justeru, saya memohon kepada jentera parti dan juga pengundi. Jika terdapat perbuatan pembangkang yang bertentangan dengan undang-undang, laporkan segera perkara ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.
Mengenai momentum sokongan selepas tiga hari berkempen, Muhyiddin memberitahu, semakin ramai pengundi yang mengenali Mohd. Azahar dan beliau yakin semua pihak tanpa mengira warna kulit akan menyokong calon BN itu.
Beliau juga berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan Mohd. Azahar yang bersemangat untuk menemui seramai mungkin rakyat sehingga sanggup mengorbankan waktu rehatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.