Pages

Subscribe:

25 Januari, 2011

Lihat kenyataan secara positif - Zam

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sebenarnya dilihat mencabar komuniti Islam khususnya Melayu Singapura supaya tidak memilih jalan yang akhirnya menyebabkan mereka terasing dan terpinggir dari arus perdana negara itu.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, Singapura memerlukan penduduk Islam yang moden, berkualiti global, dinamik dan memahami Islam sebagai agama yang sesuai sepanjang zaman.

Justeru beliau yang juga Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, orang Melayu dan Islam tidak seharusnya melenting dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu supaya mereka tidak terlalu berpegang kepada ajaran Islam.

''Pandangan yang terus terang dari Kuan Yew ini harus dilihat dari sudut positif terhadap keperluan kepada komuniti Melayu dan Islam yang progresif dan dinamik dalam masyarakat kosmopolitan dan kompetitif negara maju Singapura," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainuddin mengulas kenyataan Kuan Yew menerusi buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang menggesa umat Islam di republik itu supaya tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi.

Zainuddin menambah, kenyataan Kuan Yew itu merupakan permintaan beliau kepada orang Melayu Singapura supaya tidak menerima ajaran Islam secara membuta tuli.

Sebaliknya kata beliau, Kuan Yew mahu orang Melayu Singapura menolak ajaran yang bersifat jumud, karut dan terlalu keras dan tidak bersifat pengajaran serta tuntutan Islam sebenar.

Katanya lagi, sikap itu seperti ditegaskan Kuan Yew timbul selepas berlakunya kebangkitan Islam yang juga telah mempengaruhi sikap parti politik Islam dan sesetengah pelajar Islam di Malaysia.

Sehinggakan pada satu masa tambah beliau, keadaan itu menyukarkan mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat lain dan sesama Islam.

''Antaranya seperti tidak boleh berjabat tangan antara lelaki dan perempuan, doktor wanita tidak boleh memegang pesakit lelaki dan sebagainya.

''Malah, pada suatu masa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga menolak hiburan," kata beliau.

Zainuddin menambah, masyarakat Melayu Islam seperti itu juga wujud di Singapura hari ini dan mereka amat mudah menerima ajaran Islam yang bersifat tahyul.

Antaranya kata beliau, mereka yang percaya memakan kismis yang dijampi untuk penerang hati, membaca buku agama yang dogmatik, memakan ubat-ubatan dan memakai perubatan yang tidak saintifik.

Malah katanya, mereka juga mudah menerima pensyarah agama dari Malaysia dan Indonesia yang bersifat retorik dan dogmatik.

''Semua ini menampakkan sikap penyerahan diri, malas berusaha dan tidak sanggup bersaing yang amat merbahaya terutama kepada masyarakat Islam yang terpaksa hidup tanpa "perlindungan dan keistimewaan" dalam masyarakat moden Singapura yang mengutamakan pelajaran tinggi dan kualiti cemerlang dari anggota masyarakatnya," jelas beliau.

Katanya lagi, kesilapan Kuan Yew yang tidak pernah mempedulikan sensitiviti semua orang termasuk kaumnya sendiri ialah kerana berterus terang dan terus kepada maksudnya yang menimbulkan salam faham.

Ini juga tambah beliau, pernah disuarakan oleh pemimpin pemimpin Islam Malaysia yang mendapat pendidikan Barat seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Keadaan itu tambah Zainuddin, menyebabkan mereka dimusuhi dan ditolak oleh golongan Islam yang jumud dan kolot di Malaysia, dikafirkan dan dianggap tidak Islamik, sesat, berkepala Barat dan pelbagai lagi.

''Oleh kerana proses kemajuan akhirnya sikap golongan jumud ini dilihat sebagai talam dua muka (dwi standard), hipokrasi dan sebagainya apabila mereka yang melarang orang perempuan bertanding dalam pilihan raya atau berjabat dengan bukan muhrim telah menjilat ludah sendiri kerana kepentingan duniawi," kata beliau.

Zainuddin turut menjelaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempromosikan "Kesederhanaan Dalam Islam" mungkin dapat membantu rakan sejawatnya atau pemimpin-pemimpin muda Singapura menerusi mekanisme kerajaan bagi membentuk generasi Islam Singapura yang berfikiran terbuka dan mengutamakan pelajaran.

Ini ujar beliau, bagi membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada integrasi dan pembangunan Singapura.

Islam: Pemuda Pas selar kenyataan Kuan Yew

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Dewan Pemuda Pas hari ini menyelar sikap bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang bertindak menyemarakkan dendam kesumat dan permusuhan terhadap Islam serta umatnya tanpa bersandarkan maklumat yang tepat

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, tuduhan Kuan Yew bahawa Islam menjadi penghalang kepada integrasi dan pembangunan di Singapura tidak ubah seperti musuh yang melihat Islam dengan api dendam serta permusuhan berpanjangan.

Beliau berkata, kenyataan itu juga jelas memperlihatkan tahap pemikirannya yang telah luput tarikh selain menggambarkan Menteri Mentor Singapura itu umpama seorang pejuang militan rasis sedang mengalami penyakit Islamophobia begitu parah.

''Biarpun telah lama hidup hampir dengan komuniti umat Islam, ternyata Kuan Yew masih gagal melihat secara positif bagaimana Islam dan umatnya menjalani kehidupan dan menyertai politik mahupun ekonomi.

''Kuan Yew perlu sedar penghalang sebenar kepada keharmonian kaum sehingga mencetus sentimen perkauman yang melampau malah mendorong berlakunya jenayah adalah hasil daripada penolakan agama Islam atau salah faham yang serius terhadap agama Islam itu sendiri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada gesaan Kuan Yew terhadap umat Islam di republik itu supaya tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura itu terkandung di dalam buku Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

Di dalam buku tersebut, Kuan Yew turut menyebut, Singapura boleh mengintegrasi semua kaum dan agama kecuali Islam.

Lebih malang lagi beliau berkata, Kuan Yew turut menaruh rasa curiga terhadap Malaysia dan Indonesia sebagai negara Islam serta negara jiran yang dikatakan cuba menggugat kedaulatan negaranya.

''Cara berfikir dan sikap yang diambil oleh Kuan Yew merupakan sesuatu yang berisiko tinggi bagi keselamatan serantau ini. Bagi saya ia merupakan satu bentuk fikiran yang aktif ke arah mencetus konfrantasi,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, tokoh sebijak Kuan Yew sepatutnya tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan mengenai Islam tanpa terlebih dahulu merujuk kepada para ulama.

''Mereka merupakan pihak yang berautoriti untuk menjelaskan kedudukan Islam dan umatnya secara tepat dan benar,'' katanya.

Dalam pada itu, Nasrudin menjelaskan Islam merupakan agama yang sangat mementingkan toleransi terutama dalam konteks hubungan silaturrahim.

''Definisi mudah mengenai ajaran Islam ini boleh difahami daripada kenyataan Duta Besar Islam ke Habsyah, Saidina Jaafar Abi Talib di hadapan Raja Najasyi.

''Islam menyuruh kami bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan tali kekeluargaan, berbaik dengan jiran, meninggalkan perkara yang haram dan meninggalkan pertumpahan darah.

''Islam melarang kami dari kekejian (zina), bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang bersih dengan tuduhan zina,'' katanya.

Beliau berkata, kenyataan di atas jelas menunjukkan bagaimana ajaran Islam diamalkan.

''Berpegang teguh atau komited dengan ajaran Islam tidak akan menjadikan masyarakat berpecah belah apa lagi terperangkap dalam permusuhan dan perkauman sempit yang boleh mencetus huru hara,'' ujarnya.

Untuk itu katanya, pihak Pemuda Pas menggesa supaya Kuan Yew lebih banyak mengkaji Islam dan mempelajarinya daripada tokoh Islam yang mempunyai autoriti untuk membetulkan persepsi beliau terhadap Islam.

''Kami sendiri bersedia untuk memberi penjelasan mengenai Islam kepada Kuan Yew seandainya diberi peluang untuk berbuat demikian,'' katanya lagi.

Pendedahan Pas ‘makan tuan’

LABIS 25 Jan. – Pas yang kononnya berjuang atas nama Islam sekali lagi berbohong besar apabila menuduh calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim, menganiaya seorang lelaki pada tahun 2003 sehingga menyebabkan tanah milik mangsa terpaksa dilelong sedangkan, hakikat sebenar, lelaki itu yang berhutang dengan bank.

Sebelum ini jentera Pas menyebarkan berita mengenai pengumuman besar mengenai kes melibatkan Mohd. Azahar yang bakal dijadikan senjata sulit bagi membunuh sokongan pengundi terhadap BN.

Sebaliknya, pengumuman parti itu hari ini menjadi ‘senjata makan tuan’ apabila fakta sebenar didedahkan Mohd. Azahar sendiri hanya kira-kira sejam selepas sidang media mengenai isu tersebut dibuat oleh Pas.

Malah, cubaan Pas untuk membunuh karakter Mohd. Azahar dengan menggambarkan beliau sebagai seorang bekas Penolong Pegawai Daerah (ADO) zalim hanya kerana satu kes tersebut, juga dibalas dengan statistik kejayaannya menyelesaikan lebih 80 kes membabitkan tanah lelong sepanjang enam tahun bertugas di Segamat.

Lebih memalukan Pas, penjelasan Mohd. Azahar akhirnya melondehkan segala kedangkalan parti itu mengenai prosedur seorang penjawat awam dalam isu lelongan, sedangkan parti itu sendiri mempunyai 20 tahun pengalaman mentadbir negeri Kelantan yang mana, isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Selain itu, pembohongan Pas melalui Pengarah Operasinya bagi Pilihan Raya Kecil, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Dzulkefly Ahmad, juga menyerlahkan lagi sikap sebenar parti tersebut yang sanggup memutarbelitkan fakta sebenar semata-mata untuk kepentingan politik meskipun sedar ia sebenarnya fitnah.

Tidak cukup dengan itu, ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Paya Merah hari ini, Mohd. Azahar juga memberitahu, pertukaran beliau dari Segamat ke Rengit adalah kerana kenaikan pangkat iaitu daripada gred N41 kepada N44 dan bukannya sebagai hukuman terhadapnya ekoran kes itu, sebagaimana didakwa oleh Pas.

“Semua tuduhan Pas itu adalah fitnah semata-mata, saya tidak pernah menganiaya lelaki tersebut, saya hanya menjalankan tugas selaku ADO selepas plaintif (pemilik tanah) gagal menjelaskan hutang kepada CIMB Bank selama setahun lebih, meskipun pihak bank sudah berkali-kali memberi surat amaran.

“Tuduhan kononnya saya cuai dan lalai juga tidak timbul langsung kerana selain surat amaran oleh bank, pejabat saya sendiri sudah menghantar surat kepada plaintif dan dia maklum mengenai perkara itu, tetapi Pas menuduh kononnya pemilik tanah itu tidak diberitahu. Ini terang-terang putar belit.

“Apakah kerana saya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan atas kapasiti sebagai ADO dengan mengikut segala prosedur itu zalim, apakah Pas benci apabila amanah yang diberi saya laksanakan, sedangkan pihak plaintif sendiri yang enggan tampil ke hadapan bagi berbincang dengan bank pada waktu itu,“ katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pas yang bercita-cita mentadbir negara sepatutnya lebih jelas dan faham mengenai prosedur seorang penjawat awam, bukannya mencari publisiti murahan untuk mengangguk di air yang keruh dengan memainkan isu yang tidak benar.

Mengenai keputusan mahkamah membenarkan plaintif menuntut kos akibat lelongan tanah itu, Mohd. Azahar berkata, keputusan itu berdasarkan kesilapan teknikal pada notis 16 D dan 16 G, Kanun Tanah Negara apabila terdapat perbezaan tarikh dan bukannya disebabkan lelongan itu sengaja diada-adakan oleh pihaknya.

Terdahulu, pada sidang media di markas operasi Pas, Dzulkefly mendakwa calon BN itu cuai ketika mengeluarkan Perintah Jualan Hartanah sehingga menyebabkan seorang lelaki menjadi mangsa kezaliman apabila tanah mangsa dilelong kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM70,000.

Dzulkefly juga mendakwa tindakan Mohd. Azahar itu menyebabkan nama baik dan integriti Pejabat Pentadbir Tanah Segamat terjejas teruk sehingga menghakis keyakinan masyarakat terhadap ketelusan dalam mengurus serta mengendalikan hartanah rakyat.

Sementara itu, Mohd. Azahar mengulangi, tidak wujud ‘mala fide’ (niat jahat) berhubung kes penjualan tanah tersebut sebaliknya ia sekadar salah satu prosiding guaman biasa yang telah diambil oleh pihak CIMB Bank.

“Ini suatu tindakan biasa mana-mana bank terhadap pelanggan yang gagal menjelaskan hutang manakala pejabat daerah hanya melaksanakan selebihnya iaitu apabila ia sudah dibawa ke mahkamah termasuk proses lelongan.

“Saya tidak nampak langsung ada isu di sini, ia tidak lebih daripada semata-mata untuk memburuk-burukkan imej saya menggunakan cara putar belit.

“Namun, saya percaya para pengundi di DUN Tenang tidak semudah yang mereka fikir untuk mempercayai tuduhan Pas ini,” katanya.

Reka cerita, tabur SMS fitnah

LABIS 25 Jan. - Mereka-reka cerita dan menabur fitnah setiap kali berlangsung pilihan raya memang menjadi amalan parti pembangkang sejak dahulu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, taktik kotor tersebut memang cara pembangkang untuk berkempen bagi menimbulkan kebencian dan memecah-belahkan perpaduan dalam masyarakat.

"Serangan peribadi, tabur SMS (khidmat pesanan ringkas), calar kereta dan pelbagai fitnah yang sengaja direka dan dilemparkan terutamanya di hujung-hujung kempen dengan harapan tak boleh dijawab oleh orang yang punya badan.

"Kita turun tak ganggu sesiapa tapi mereka selalu timbulkan perkara yang boleh timbulkan kemarahan dan emosi bukan kepada mereka yang bertanding tetapi masyarakat yang tidak berdosa," katanya diminta mengulas tindakan pembangkang yang menggunakan taktik kotor termasuk melakukan serangan peribadi terhadap calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ditemui pemberita selepas mengadakan tinjuan mesra di pekan Labis menemui peniaga dan orang ramai termasuk minuman petang di sebuah restoran di sini petang ini.

Menurutnya, BN tidak diajar dengan cara berkempen sebegitu dalam 13 pilihan raya kecil sebelum ini.

Beliau mengakui agak 'terkejut' dengan tindakan parti pembangkang kerana ia masyarakat Labis tidak pernah berdepan dengan perkara dan cara berkempen secara demikian.

Namun, beliau tetap berpuas hati dengan kelancaran proses PRK Tenang kerana tidak apa insiden serius berlaku dan berharap keadaan yang aman dan tenang sehingga ke hari pengundian Ahad ini.

Hishammuddin berharap pihak berkuasa terutama polis supaya memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja menimbulkan kekecohan tanpa mengira bulu sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi di DUN Tenang supaya memilih calon BN kerana beliau seorang yang berpengalaman, ikhlas dan mempunyai kesungguhan untuk membantu dan berkhidmat serta menolak calon pembangkang kerana parti itu tidak bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Pertama calon BN terbaik, kedua kesinambungan wakil rakyat yang daripada BN untuk terus berjuang dan ketiga mereka (Pas) tidak bersungguh-sungguh untuk bertanding kerana hanya untuk mengurangkan majoriti," tegasnya.

Lebih 90% pengasas PKR tinggalkan parti
LABIS 25 Jan. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini seperti sebuah parti yang sedang menuju ke jalan mati apabila lebih 90 peratus daripada 30 individu penting yang menjadi pengasas kepada parti itu sudah meninggalkan perjuangan songsang, Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada jumlah itu hanya tinggal tiga lagi pengasas yang masih setia menyokong Anwar walaupun ketua pembangkang tersebut terpalit dengan pelbagai isu moral iaitu, isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden, Tian Chua serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Badrul Amin Baharom.

Terbaru seorang lagi pengasas PKR yang nombor keahliannya 00012, Ng Lum Yong, mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta merta bagi meneruskan perjuangan membela bangsa dan negara melalui saluran baru yang lebih demokratik dan bertanggungjawab iaitu dengan menyertai MCA.

Lum Yong ketika mengumumkan perkara itu di Bangunan MCA Labis hari ini berkata, dia memilih meninggalkan PKR selepas 12 tahun memperhambakan diri kepada perjuangan reformasi kerana parti itu kini caca-merba dan tiada lagi perjuangan untuk rakyat sebaliknya, segala-gala dilakukan kerana Anwar.

"PKR hari ini sudah tiada asas perjuangan, jauh terpesong daripada matlamat asal penubuhan dahulu, tiada lagi reformasi kerana semuanya yang berlaku dalam parti adalah semata-mata demi memenuhi selera politik luar biasa Anwar sehingga segalanya sanggup dipolitikkan tanpa rasa bersalah.

"Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan sayangkan negara, saya tidak boleh lagi berterusan berada dalam parti ini, saya perlu keluar demi untuk menyedarkan rakyat supaya jangan lagi tertipu dengan mainan politik kotor Anwar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor; bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip dan bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari.

Menurut Lum Yong, bersamanya adalah lebih 1,000 ahli PKR yang berbangsa Tionghua akan turut meninggalkan parti bagi menyertai MCA pada bulan Mac nanti atas alasan yang sama iaitu hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

Dalam pada itu, Ezam berkata, rakyat negara ini jangan sesekali terpedaya dengan 'mulut manis' Anwar kerana dakwanya, ketua pembangkang itu tiada kredibiliti untuk mentadbir sebuah negara seperti Malaysia memandangkan untuk menguruskan sebuah parti pun beliau gagal.

Katanya, belum ada dalam sejarah politik Malaysia mahu pun dunia, lebih 90 peratus pengasas dan seramai 13 wakil rakyat memilih untuk meninggalkan parti atas alasan yang sama selain sudah tersedar siapa sebenarnya Anwar.

"Saya meminta kepada rakyat supaya jangan sesekali percaya kepada Anwar kerana kalau kami yang pernah begitu rapat dengannya pun boleh ditipu, anda yang jauh dan hanya melihat dia melalui media apatah lagi, tindakan Lum Yong ini satu lagi bukti jelas.

"Anwar ini kaki putar alam yang cukup handal, dia sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu politiknya termasuk mengadaikan agama, bangsa dan negara. Adakah orang sebegini layak jadi pemimpin," soalnya.

Sementara itu, Soi Lek ketika ditanya mengenai kemasukkan Lum Yong ke dalam MCA berkata, parti itu terbuka dalam menerima keahlian baru termasuk daripada bekas ahli parti lawan meskipun sebelum ini pernah menentang wakil MCA pada pilihan umum lalu.

Katanya permohonan Lum Yong untuk menyertai MCA membuktikan bahawa parti tersebut sentiasa relevan kepada masyarakat Cina walaupun pernah mencatat prestasi terburuk pada tahun 2008

"Dia (Lum Yong) akan jadi biasa dan jika mahu jawatan perlu bertanding mengikut perlembagaan parti dan kemasukan bekas pemimpin PKR ini membuktikan bahawa MCA tetap menjadi pilihan kepada masyarakat Cina," jelasnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.