Pages

Subscribe:

19 Februari, 2011

[ hang nadim] Pluralisme ancaman baru .....



Pluralisme: Media baru diawasi
YAN 19 Feb. - Kerajaan akan menggiatkan pemantauan dan pengintipan ke atas pelbagai media baru terutama Internet bagi mengekang penularan fahaman pluralisme yang bertentangan dengan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penularan fahaman itu melalui medium berkenaan didapati semakin terserlah dan perlu dibanteras segera demi menjaga akidah umat Islam.

Kata beliau, pihaknya juga akan mengenal pasti jika ada dalang di sebalik fahaman tersebut.

"Perkara ini dikhuatiri oleh banyak ulama iaitu tentang golongan tertentu yang menggunakan media baru seperti Internet sebagai medium menyebarkan fahaman ini.

"Kita juga percaya ada kelompok yang mempunyai hubungan besar dengan luar negara terlibat dalam perkara ini. Jadi kita akan membanterasnya dari peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Sungai Rotan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa fahaman pluralisme kini muncul sebagai ancaman terbaru di kalangan umat Islam di negara ini.

Menurut Jamil Khir, kefahaman tersebut dikhuatiri menular di kalangan semua anggota masyarakat di negara ini tanpa mengira batasan umur.

"Kefahaman ini menular tanpa mengira umur mahupun pangkat tetapi dalam diri mereka ada pemikiran 'moderate', pada mereka inilah golongan elit apabila memikirkan bahawa semuanya adalah sama termasuk agama.

"Sedangkan dalam Islam, Islam adalah betul dan kita wajib percaya agama Allah ini. Namun pluralisme yang membawa kepercayaan bahawa kepelbagaian agama adalah sama dan semua agama adalah sama, kefahaman ini harus ditolak," katanya

Pluralisme ancaman baru
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my










Najib Tun Razak (tengah) melaungkan '1Malaysia' ketika bergambar bersama 32 orang Tuai Rumah Panjang dari Belaga, Sarawak selepas melakukan perjumpaan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. - utusan/Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Fahaman pluralisme kini muncul sebagai ancaman terbaru di kalangan umat Islam di negara ini dan justeru mereka wajib menghindarkannya kerana ia jelas bertentangan dengan akidah serta syariat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi mengekang pengaruhnya beliau mahu para ulama, guru-guru agama, pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama bertanggungjawab menyedarkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman itu.

Beliau berkata, hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar di sisi Allah hanya Islam sahaja.

''Apatah lagi sekiranya ada umat Islam yang membawa fahaman pluralisme. Perkara-perkara seperti ini mesti kita betulkan. Kita boleh hormat agama lain kita jangan hina agama lain.

''Namun dari segi akidahnya dan dari segi kebenarannya di sisi Allah tidak boleh disamakan dengan agama Islam,'' katanya ketika berucap pada merasmikan Multaqa Guru Takmir seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib berkata, selain fahaman pluralisme umat Islam turut terdedah dengan pengaruh liberalisme serta hindonisme yang jika dibiarkan boleh menyebabkan mereka terpesong daripada syariat serta akidah Islam.

''Mahu tidak semua pihak termasuk ulama, guru-guru agama serta guru-guru takmir menegakkan kebenaran agama dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah,'' katanya.

Dalam sidang akhbarnya selepas itu Najib sekali lagi menegaskan, semua pihak perlu menghormati agama-agama lain sama ada dari segi haknya atau dari segi undang-undang menurut Perlembagaan Persekutuan.

''Namun begitu ia tidak boleh sama dari segi akidah. Jangan ada salah faham. Nanti ada orang akan salah faham bahawa saya merendahkan kedudukan agama lain, tidak.

''Saya cuma mahu bezakan dari segi akidah kerana fahaman pluralisme ini adalah salah dari segi agama Islam dan itu fakta yang saya hendak jelaskan,'' katanya.

Ketika ditanya sejauh mana seriusnya pengaruh fahaman itu di Malaysia, beliau berkata, fahaman itu perlu segera dibendung.

''Jika kita tidak berbuat sesuatu ia boleh merebak. Pada peringkat sekarang ia masih terbatas cuma di kalangan pihak tertentu sahaja. Sesuatu (tindakan) perlu dilakukan kerana fahaman ini boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.