09 Februari, 2011
[hang nadim] Zubaidah redha pemergian suami .....
TIKAM BATU – Isteri mangsa lemas Siti Zubaidah Khalid, 26, terkejut sejurus menerima berita penemuan mayat suaminya, Mohamed Rafas Mohd Yusoff, 27, pada jam 4 pagi semalam, ketika dimaklumkan oleh ibu saudaranya.
Menurutnya, dia tidak sangka dengan penemuan mayat suaminya itu yang dikhuatiri lemas di Sungai Muda sejak Ahad lalu, kerana sebelum ini dia masih berharap bahawa suaminya masih hidup.
“Sebelum ini, saya tidak merasakan sesuatu yang buruk menimpa suami saya, perasaan saya kuat mengatakan bahawa dia masih lagi bernyawa dan akan kembali ke pangkuan saya.
“Setelah saya melihat sendiri mayatnya pagi tadi (semalam), barulah saya sedar dan menerima hakikat bahawa dia telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam di rumahnya di Kampung Pulau Sepom di sini, selepas upacara pengebumian Mohamed Rafas.
Siti Zubaidah berkata, suaminya merupakan seorang yang pendiam dan selalu berkongsi masalah dengannya.
“Dia pernah berjanji tidak akan meninggalkan saya sehingga ke akhir hayat, tetapi apa boleh buat, Tuhan lebih menyayanginya.
“Saya akan terus bekerja untuk menyara hidup saya dan anak kami yang bakal lahir ini, saya akan menjaganya sebaik mungkin tanda kasih sayang saya kepada suami,” katanya yang kini hamil empat bulan.
Dalam perkembangan sama, Siti Zubaidah akan terus tinggal di rumah mereka yang terletak di Kampung Pulau Sepom dan ditemani adiknya.
Katanya, suaminya memang gemar ke pantai dan sungai untuk beristirehat dan pernah di suatu hari ketika mereka ke Batu Feringhi, Pulau Pinang, dia mengambil wuduk dan bersolat di situ.
“Mungkin dia mahu mengambil wuduk di Sungai Muda lalu tergelincir ke dalam sungai.
“Pernah sekali saya melarangnya kerana dia berdiri terlalu hampir dengan sungai,”katanya.
Sementara itu, semalam Sinar Harian melaporkan mengenai Mohamed Rafas yang dipercayai lemas di Sungai Muda setelah bapanya, Mohd Yusoff Badruddin, 59, menjumpai baju, kasut, dompet dan motosikal milik Mohamed Rafas di tebing Sungai Muda selepas keluar rumah, Ahad lepas.
Operasi mencari dan menyelamat oleh Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan Tikam Batu dimulakan sejak pagi kelmarin, namun mayat Mohamed Rafas dijumpai jam 3 pagi semalam dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pulau Sepom kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Nukilan hati hang nadim
Semoga Allah Cucuri Rahmat Keatas rohnya.....Amin
Mohd Yusoff Badruddin, 59 adalah bekas tentera dan Pernah mengikuti kursus Tenologi Bangunan di Pusat Giatmara (PERDA) Bukit Pancur Nibung Tebal ,bapa kepada Mohamed Rafas
Pengusaha bengkel hilang ditemui mati lemas
SUNGAI PETANI 8 Feb. - Seorang pengusaha bengkel motosikal yang dilaporkan hilang ketika keluar bersendirian berhampiran Sungai Muda di Tikam Batu, dekat sini, kelmarin ditemui mati lemas awal pagi ini.
Mayat Mohamed Rafas Mohd. Yusoff, 27, ditemui terapung pukul 3 pagi ini kira-kira
200 meter dari kawasan dia dilaporkan hilang oleh orang ramai yang membantu operasi mencari.
Ketua Operasi Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Mohd. Zaidi Md. Lazim berkata, mayat mangsa dijumpai tidak jauh dari tempat dia dipercayai terjatuh dari tebing sungai pada hari kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa masuk hari kedua semalam. Oleh kerana keadaan gelap di samping sungai yang dalam, operasi dihentikan pada waktu malam.
"Bagaimanapun, kami menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan penemuan tersebut awal pagi ini," katanya di sini, hari ini.
Mohamed Rafas dari Kampung Pulau Sepom dilaporkan hilang kelmarin ketika keluar seorang diri kira-kira pukul 11 pagi.
Menurut Mohd. Zaidi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk dibedah siasat.
Sementara itu isteri mangsa, Siti Zubaidah Khalid, 26, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan suaminya pagi kelmarin sebelum Mohamed Rafas keluar rumah dipercayai ke kedai membeli barang.
"Sebelum meninggalkan rumah dia memberitahu saya bahawa dia ingin pergi berehat. Dia ada berpesan supaya tidak perlu mencarinya kerana dia hanya mahu pergi berehat," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, semasa tidur pada pukul 4 petang kelmarin, dia dilanda mimpi aneh dengan melihat Mohamed Rafas pulang ke rumah dengan kain pelekat yang dipakai basah.
"Sejurus terjaga daripada tidur dan mendapati suami masih tidak pulang, saya mencarinya di rumah bapa mertua," katanya.
Jelasnya, dia bersama bapa mertua kemudian keluar mencari Mohamed Rafas dan menjumpai motosikal selain baju, dompet dan kasut ditinggalkan di tebing sungai.
"Kami sekeluarga membuat laporan polis dan operasi mencari dijalankan selepas itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.