Pages

Subscribe:

07 Mei, 2011

[hang nadim] KDN pandang serius.....Mana Pok Nik.....PAS?????











Hishammuddin Tun Hussein bersama ahli MCA Besut menunjukkan tanda 1Malaysia di Besut, semalam.

Oleh Radhuan Hussain
pengarang@utusan.com.my

BESUT 7 Mei – Kementerian Dalam Negeri memandang serius pendedahan mengenai pihak tertentu yang mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara selain melantik Perdana Menteri di kalangan penganut agama itu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau turut terkejut dan sedih dengan pendedahan terbabit kerana dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan serta perbalahan antara kaum khususnya penganut Kristian di negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut menasihatkan pihak-pihak yang menganjurkan majlis pertemuan itu supaya jangan sekali-kali mempolitikkan sebarang isu berkaitan agama.

“Saya sedih, kerana ada pihak pembangkang yang mempolitikkan agama lain dan mahu menimbulkan kemarahan kalangan penganut Kristian. Sebelum ini tak ada langsung,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang semalam yang antara lain membawa agenda menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Perkara itu didedahkan dalam dua laman blog iaitu bigdog di http://bigdogdotcom.wordpress.com menerusi entri bertajuk Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com.

Beliau berkata, pihak polis perlu menyiasat perkara berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya jika apa yang didakwa benar-benar berlaku.

‘‘Ia kerana pergerakan seumpama itu adalah bersifat hasutan dan boleh meletakkan seluruh negara dalam bahaya,’’ katanya.

Hishammuddin turut menegaskan, semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

‘‘Oleh itu, mana-mana pihak sama sekali tidak boleh mempertikaikan perkara ini,’’ tegasnya.

Beliau memberi jaminan pihaknya akan memantau perkara tersebut dari aspek keselamatan bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Jelasnya, perbincangan serta rundingan akan diadakan secara diplomasi dan berhemah, tanpa menggunakan kekerasan kerana pendekatan sebegitu mampu menangani masalah tersebut dengan berkesan.

“Apa yang penting, yang salah tetap salah dan yang lebih penting adalah soal keselamatan. Kita akan pantau bersandarkan keselamatan tanpa pilih bulu, tak kira warna kulit dan apa agama yang dianuti,” ujarnya.

Boleh cetuskan kebimbangan rakyat, timbul huru-hara

KUALA LUMPUR 7 Mei - ''Jangan curah minyak ke dalam api jika mahu sentuh sensitiviti umat Islam dan Perlembagaan negara.''

Itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung laporan tentang pihak tertentu dikatakan mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan Perdana Menteri daripada penganut agama itu.

Katanya, perbuatan itu jika benar merupakan satu perkara luar biasa dalam amalan politik negara kerana pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi negara telah termaktub dalam Perlembagaan.

''Hal tersebut telah menjadi sumpah Yang Dipertuan Agong untuk mempertahankan agama Persekutuan ini dan raja-raja sebagai penaung dan penjaga agama.

''Jika benar ini berlaku, ia bakal mencetuskan kebimbangan seluruh rakyat Malaysia beragama Islam dan boleh mencetuskan huru-hara yang tidak pernah diganggu-gugat keamanan berhubung perkara itu,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata, pihak berkuasa keselamatan harus meneliti secara mendalam kebenaran dakwaan itu sebelum tindakan lanjut diambil.

''Perkara ini perlu disiasat terlebih dahulu kerana ia membawa satu kejutan besar kepada negara. Kita tidak mahu menuduh sesiapa termasuk pihak DAP yang didakwa menganjurkan majlis pertemuan paderi itu,'' katanya.

Rampas kedudukan Islam wujud

KUALA LUMPUR 7 Mei - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mendakwa memang wujud gerakan oleh pertubuhan agama lain untuk merampas kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Katanya, beliau menyedari kewujudan gerakan itu setahun yang lalu dan ia bergerak secara senyap dalam usaha cuba menghakis kedudukan agama Islam sedikit demi sedikit.

Katanya, perjuangan pergerakan itu berlandaskan kepada 14 tuntutan seperti yang dikemukakan oleh pihak pembangkang kepada Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

"Saya difahamkan antara perkara yang mereka perjuangkan ketika ini adalah untuk mengkategorikan golongan di bawah 18 tahun sebagai 'tidak beragama' dan mereka hanya boleh memilih agama apabila mencapai usia tersebut.

"Alasan yang digunakan adalah bagi menyelesaikan masalah penetapan agama anak yang sering menjadi perdebatan di negara ini apabila salah seorang daripada ibu atau bapanya bukan beragama Islam.

"Selain itu, saya juga difahamkan bahawa pergerakan ini sedang berusaha untuk membolehkan persatuan agama lain ditubuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah," katanya ketika ditemui pada perhimpunan pemimpin pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, tuntutan-tuntutan tersebut akan disuarakan menerusi ahli Parlimen yang mewakili pertubuhan agama tersebut.

"Jadi, saya harap kerajaan mengambil berat perkara ini. Kita tidak menafikan hak kaum lain untuk mengamalkan fahaman serta agama mereka, tetapi jangan sekali-kali cuba mencabar Islam," katanya.

"Saya juga menyeru semua umat Islam di negara ini supaya bersatu. Kita semakin lemah dan berpecah-belah sejak akhir-akhir ini, sebab itu golongan yang dengki dengan kita, dengki dengan Islam semakin berani mengambil kesempatan," jelasnya
Jangan sentuh perkara sensitif - Polis
KUALA LUMPUR 7 Mei - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada mana-mana pihak yang ingin menjadikan Kristian sebagai agama rasmi supaya tidak menyentuh perkara sensitif itu kerana boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

Beliau menegaskan, polis tidak akan membenarkan isu sebegini sengaja dimainkan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh menjadi ancaman kepada ketenteraman awam.

"Saya menasihati pihak berkenaan supaya berhati-hati dalam menimbulkan isu-isu sebegini, jika mereka terus memainkan isu-isu itu, kita akan ambil tindakan.

"Sekali lagi, saya memberi amaran mana-mana pihak jangan bermain dengan api kerana kelak akan terbakar tangan," katanya selepas merasmikan papan tanda Polis Diraja Malaysia di Wangsa Maju, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang memecahbelahkan masyarakat ataupun yang menyentuh soal hasutan.

"Saya akan mengutus apa-apa pandangan terus kepada Menteri Dalam Negeri untuk beliau melihat perkara ini dari sudut keselamatan negara. Kami dari sudut undang-undang siber manakala Menteri Dalam Negeri dari sudut undang-undang keselamatan," katanya.

Jangan sentuh perkara sensitif - Polis

KUALA LUMPUR 7 Mei - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada mana-mana pihak yang ingin menjadikan Kristian sebagai agama rasmi supaya tidak menyentuh perkara sensitif itu kerana boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

Beliau menegaskan, polis tidak akan membenarkan isu sebegini sengaja dimainkan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh menjadi ancaman kepada ketenteraman awam.

"Saya menasihati pihak berkenaan supaya berhati-hati dalam menimbulkan isu-isu sebegini, jika mereka terus memainkan isu-isu itu, kita akan ambil tindakan.

"Sekali lagi, saya memberi amaran mana-mana pihak jangan bermain dengan api kerana kelak akan terbakar tangan," katanya selepas merasmikan papan tanda Polis Diraja Malaysia di Wangsa Maju, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang memecahbelahkan masyarakat ataupun yang menyentuh soal hasutan.

"Saya akan mengutus apa-apa pandangan terus kepada Menteri Dalam Negeri untuk beliau melihat perkara ini dari sudut keselamatan negara. Kami dari sudut undang-undang siber manakala Menteri Dalam Negeri dari sudut undang-undang keselamatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.