Pages

Subscribe:

10 Jun, 2011

[hang nadim] Kelab Isteri Taat 'menyimpang'.........



Oleh SOPI SAMAILE
sopi.samaile@utusan.com.my
KUCHING 9 Jun - Penubuhan Kelab Isteri Taat jelas 'bertentangan' dan menyimpang jauh daripada perjuangan Dasar Keluarga Negara, kata Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, kelab itu mempunyai pandangan dan pendekatan yang sangat sempit dalam menentukan faktor kebahagiaan serta kesejahteraan institusi keluarga.

Menurutnya, dakwaan menyatakan hubungan kelamin merupakan unsur penting menentukan keharmonian rumah tangga membuktikan kelab berkenaan mengetepikan elemen-elemen lain yang lebih mustahak dalam memastikan keutuhan sesebuah institusi keluarga.

''Hubungan kelamin itu penting bagi suami isteri tetapi itu hanya sebahagian daripada penentu kebahagiaan dan kesejahteraan sesebuah institusi keluarga kerana ada banyak aspek lain yang harus lebih penting diambil kira.

''Statistik perceraian tidak hanya menunjukkan perceraian berlaku kerana hadirnya 'orang ketiga' atau hubungan kelamin tetapi hakikatnya disebabkan faktor-faktor lain," katanya di sini semalam.

Fatimah menambah, antara faktor-faktor lain adalah ketidakcekapan mengurus hal kewangan, komunikasi dalam keluarga serta pengurusan kebajikan anak-anak.

Beliau mengulas kenyataan Kelab Isteri Taat yang menyatakan isteri harus melayan suami dengan menjadi 'pelacur kelas pertama' bagi mengelak mereka daripada berlaku curang atau mencari pelacur di luar.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, kelab seumpama itu tidak perlu diwujudkan memandangkan isteri sememangnya perlu setia kepada suami, manakala suami pula seharusnya jujur dengan isteri.

"Faktor hubungan seks bukan penentu kepada sesebuah rumah tangga itu tetapi banyak lagi faktor lain," katanya.

Puteri UMNO kecam Kelab Isteri Taat isteri

KUALA LUMPUR 9 Jun – Pergerakan Puteri UMNO mengecam sekeras-kerasnya penubuhan Kelab Isteri Taat oleh Global Ikhwan Sdn. Bhd. kerana ia tidak sejajar dengan tuntutan agama Islam, selain merendahkan peranan golongan isteri.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, isteri bukanlah sekadar menjadi objek seks kepada suami semata-mata, sebaliknya golongan itu mempunyai peranan lain dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Katanya, penubuhan kelab itu hanya berorientasikan kepada nafsu semata-mata dalam usaha mengekalkan keharmonian pasangan sedangkan terdapat pelbagai faktor lain yang menjadi penyebab kepada keretakan atau kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

“Adakah dengan hanya pandai melayan suami di atas katil menjadikan rumah tangga bahagia? Adakah hanya isteri sahaja yang mesti pandai melayan suami? Bagaimana pula dengan peranan suami di atas katil?

“Global Ikhwan sepatutnya memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah rumah tangga di negara ini dan bukannya mengelirukan masyarakat dengan gesaan yang karut-marut sehingga boleh menyebabkan penganut agama lain memandang umat Islam sebagai golongan yang mementingkan seks semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rosnah turut mengecam kenyataan jurucakap kelab tersebut, Maznah Taufik bahawa kebanyakan masalah dalam rumah tangga berlaku disebabkan sikap isteri yang tidak setia dan tidak memberi kebahagiaan kepada suami.

Katanya, setiap masalah rumah tangga yang berlaku mempunyai punca serta faktor tersendiri dan bukannya disebabkan oleh kaum wanita sahaja.

Selain itu, Rosnah juga menyanggah kenyataan Maznah kononnya suami yang mendapat layanan memuaskan tidak akan bertindak kejam atau mendera isteri.

“Ia tidak benar kerana banyak kes penderaan rumah tangga adalah berpunca daripada sikap panas baran suami sehingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rumah tangga.

“Jadi kami beranggapan bahawa penubuhan kelab ini adalah sia-sia serta tidak sejajar dengan tuntutan Islam yang menuntut golongan suami menghormati isteri dan bukannya menjadikannya sebagai objek seks semata-mata,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.