DAP, rasis, Kuan Yew dan Anwar
Bisik-Bisik Mingguan AWANG SELAMAT
Beberapa pemimpin DAP melenting apabila Awang menyifatkan DAP adalah parti paling rasis di dunia dalam satu tulisan menerusi ruangan ini awal November lalu.
Mereka marah dan ada yang mencabar Awang agar tampil berdebat tetapi untuk apa dilayan.
Yang penting Awang tidak berganjak daripada pandangan itu. Tidak boleh disangkal lagi, DAP memang parti rasis walaupun cuba berselindung atas slogan demokrasi.
Hakikatnya, DAP lebih menumpukan perjuangan untuk kaum tertentu sahaja. Itulah agenda besar parti tersebut yang matlamat akhirnya untuk membawa Malaysia menuju negara republik. Laungan kononnya parti itu mengutamakan rakyat Malaysia dahulu, kaum kemudian - hanyalah sandiwara.
Bukan setakat agenda dan hala tuju, jawatan utama dalam DAP sejak dahulu lagi dikuasai oleh satu kaum walaupun mendakwa parti itu dianggotai pelbagai kaum.
Pemimpin-pemimpin kaum India dalam DAP misalnya tidak mendapat tempat sewajarnya meskipun peranan mereka cukup signifikan. Kegagalan Naib Pengerusi DAP Perak, M. Kulasegaran mempertahankan jawatannya baru-baru ini menjadi bukti. Beliau adalah mangsa muslihat politik kaum dalam DAP yang sebenarnya cukup tebal.
Terbaru, pelantikan Chow Kon Yeow sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang mencetuskan persoalan. Sepatutnya Jagdeep Singh dilantik kerana mendapat jumlah undi tertinggi dalam pemilihan anggota jawatankuasa negeri.
Begitu juga kedudukan Timbalan Ketua Menteri, Prof. Dr. P. Ramasamy, yang dilihat sekadar kosmetik. Ternyata, pemimpin India dalam DAP dipinggirkan secara sistematik. Lalu Awang ingin bertanya buat kesekian kalinya kepada Setiausaha Agung yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng, siapa yang sebenarnya rasis?
Itu belum menyentuh tentang nasib segelintir Melayu dalam DAP, lagi menyakitkan hati. Mereka hanya menjadi boneka untuk dipergunakan sebagaimana dilakukan pemimpin utama PAP Singapura, Lee Kuan Yew menjinakkan Melayu suatu masa dahulu. Berdasarkan sejarah, PAP dan DAP daripada benih perjuangan yang sama. Kini strategi PAP digunakan oleh DAP. Parti tersebut sedang memperhebatkan usaha menarik seramai mungkin Melayu menjadi ahli dan penyokongnya.
Cubalah kita renungkan kembali kepada dekad 1960an. Apakah beza pendekatan yang digunakan oleh PAP dahulu dan DAP sekarang, jawapannya - sama sahaja. Pada waktu itu, Kuan Yew dalam usaha mendapatkan sokongan Melayu melakukan apa sahaja yang menjadi harapan orang Melayu. Beliau banyak berinteraksi dan mendampingi orang Melayu. Malah aktif melawat masjid dan surau sambil memberi ucapan yang manis-manis bagi melegakan orang Melayu. Apabila Kuan Yew dan PAP semakin kukuh berkuasa, akhirnya Melayu tidak lagi diberi perhatian yang sama dan mula diabaikan. Di Singapura, azan dari masjid dan surau pun perlu diperlahankan walaupun dulu Kuan Yew tidak kisah dengan suara azan yang kuat berkumandang. Orang Melayu juga tidak berpeluang menyandang jawatan utama dalam agensi dan jabatan penting kerajaan termasuk pasukan keselamatan. Untuk menjadi juruterbang pesawat pejuang apatah lagi. Kuasa undi Melayu dilemahkan dengan pelbagai cara termasuk penempatan semula. Janji-janji untuk membantu Melayu tidak bertahan lama. Pernah termaktub dalam perlembagaan asal pembiayaan penuh kepada pelajar Melayu dari sekolah rendah hingga universiti. Bagaimanapun ia dihentikan pada tahun 1994. Biasiswa presiden juga pernah diwujudkan puluhan tahun lalu tetapi hanya dua pelajar Melayu yang dapat.
Cari pula jawapan berapa orang menteri Kabinet Melayu di republik itu ketika ini - tidak seperti peringkat awal. Dokumen sejarah turut ditulis semula mengikut aspirasi PAP agar Melayu tidak kelihatan dominan peranannya.
Yang nyata, di sebalik segala pengorbanan dan sokongan Melayu, kaum itu akhirnya dikhianati dan diragui. Dalam laporan National Geographic, Kuan Yew mengkritik orang Melayu dengan mendakwa kaum itu tidak prihatin untuk membantu kaum lain jika negara ditimpa kebuluran. Maknanya, Melayu tidak boleh diharapkan dan tidak boleh dipercayai sedangkan Melayu merupakan bangsa yang paling pemurah dan bertolak ansur. Banyak lagi penghinaan Kuan Yew kepada Melayu. Mesejnya, itulah juga risiko yang menanti Melayu apabila DAP berkuasa penuh nanti. Sekarang ini pun gerakan untuk melemahkan Melayu semakin menjadi-jadi. Tetapi malangnya ada pemimpin pembangkang Melayu seperti Anwar Ibrahim yang menjadi pengkhianat bangsa. Mursyidul Am Pas, Nik Aziz pula tidak sedar diri dan asyik mengikut rentak DAP. Malu rasanya ada pemimpin Islam dan Melayu yang seperti itu.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
PERLUKAH para pemimpin DAP termasuk ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah diminta memohon maaf kepada keluarga Teoh Beng Hock? Sekumpulan rakan Beng Hock mengatakan: Ya.
Rakan-rakannya berpendapat ADUN Seri Kembangan dan pemimpin DAP yang lain tidak pun membantunya ketika dia dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, sebelum kematiannya.
Yang pasti selepas Beng Hock yang ketika itu menjadi Setiausaha Politik kepada Ean Yong, ditemui mati, pemimpin-pemimpin DAP muncul di depan pejabat SPRM memasang lilin putih. Pada masa yang sama, mereka menuding jari kepada SPRM dan Awang berpandangan isu itu turut dimanipulasi untuk kepentingan politik DAP sendiri.
Kehadiran para pemimpin DAP pada masa Beng Hock dipanggil SPRM sudah pasti sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh saksi itu berkaitan dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan ADUN Seri Kembangan. Jika suasana itu berlaku, kebarangkalian sekali dia tidak mengambil jalan nekad.
Suruhanjaya Diraja yang dibentuk bagi menyiasat kematian Beng Hock dalam laporannya yang dikeluarkan minggu lepas mendapati Beng Hock membunuh diri akibat tertekan semasa sesi soal siasat.
Bagi Awang, pihak-pihak yang berkepentingan telah berjaya ‘melarikan’ isu sebenar yang disiasat SPRM dalam kes tersebut dengan mengetengahkan sepenuhnya kematian Beng Hock.
Apa pun, tiada sesiapa pun patut mengeksploitasi kematian Beng Hock dan kini SPRM sewajarnya meneruskan siasatan kepada kes asal yang telah lama tertangguh.
Awang – Bersimpati.
Apabila Melayu tidak mahu bela bangsanya
Oleh Sarana Salleh
“SAYA dan isteri ingin menghadiri majlis konvokesyen anak kami di United Kingdom, jadi kalau saudara ingin saya luluskan overdraf ini, kenalah saudara bagi bahagian perbelanjaan untuk dua orang ke London,” begitulah bunyi kata-kata seorang pengurus bank cawangan yang saya berurusan dulu.
Ketika itu saya perlu menghantar wang pengajian untuk anak saya di Amerika Syarikat yang tiada biasiswa. Tanpa segan silu pengurus bank itu melakukan rasuah. Begitulah keadaannya sekarang dengan rasuah.
Orang Melayu tidak lagi segan silu melakukan atau menerima rasuah. Ramai orang sedar rasuah di negara kita tetapi tidak mahu bercakap tentangnya.
Macam juga pelacuran yang berleluasa. Diserbu berpuluh kali sekali pun bapak-bapak ayam akan terus menjalankan urusan mereka. Sebelum diserbu mereka sudah tahu.
Kita melihat mereka yang dituduh melakukan rasuah kebanyakannya orang Melayu dan ada yang berpangkat tinggi dalam kerajaan.
Sikap ingin mencari jalan pintas kekayaan ini memang jelas kerana “kalau saya tak lakukan orang lain pun akan lakukan” menjadi sikap utama mereka ini. Kalau kos projek digandakan sudah menjadi lumrah.
Seperkara lagi yang kerap juga berlaku kepada mereka yang menghantar cadangan projek mereka ‘diculik’ oleh orang lain termasuk di peringkat atasan.Telan sajalah air liur.
Pada bulan Ramadan, kita tahu ketua-ketua industri akan menghilangkan diri kerana mereka akan dikepung untuk mendapatkan duit raya yang bukan sikit-sikit. Tengok pangkat orang yang meminta. Jadi ramailah kapten industri ini yang pergi melakukan umrah di bulan puasa.
Pada bulan Ramadan juga orang Melayu berpusu-pusu berbuka puasa di hotel-hotel yang tidak tentu halal haramnya. Diberitakan daripada 2,000 hotel di bandar raya Kuala Lumpur, hanya dua peratus (2%) saja yang diberi taraf halal oleh Jakim – bermakna hanya empat hotel saja yang halal.
Tapi orang Melayu tak kira itu semua. Janji seronok walaupun kena bayar berpuluh-puluh ringgit. Kedai mamak dan kopitiam pun tak dijamin halalnya.
Seperkara lagi pada Ramadan ini maka keluarlah kelulusan untuk berniaga gerai di merata tempat. Semua orang tahu ada yang dapat kebenaran menjalankan warung menjual permit berniaga kepada orang lain untuk membuat untung. Yang asal RM200 boleh jadi RM20,000 dan ramai yang juga sanggup kerana pendapatan satu bulan di bulan puasa boleh mengatasi pendapatan 11 bulan yang lain.
Begitulah juga keadaannya dengan lain-lain lesen yang diberikan kepada orang Melayu. Contohnya di pasar Chow Kit kita tahu yang mengendalikan gerai-gerai di situ semuanya orang asing sedangkan lesen dikeluarkan kepada orang Melayu sini.
Kalau ada pemeriksaan, tuan punya akan mengaku yang berjual itu pekerja mereka. Semuanya hendak mencari jalan pintas untuk kaya cepat.
Terbaru, Timbalan Perdana Menteri mengatakan pasar tersebut akan dibangunkan semula. Patut pun selepas lebih 50 tahun keadaan kotor dan serabut pasar tersebut dibersihkan.
Tahun 1994 dulu, 100 lesen untuk pengurusan aset dikeluarkan. Modal berbayar diperlukan ialah RM2 juta. Ramai yang belum mula operasi pun sudah hendak menjual lesen mereka dengan syarikat sekali berkali ganda pula walaupun sehari pun belum beroperasi.
Sejak kejayaan Dasar Ekonomi Baru menaikkan taraf orang Melayu kepada kelas menengah, maka ramailah anak Melayu yang berpeluang mendapat pengajian tinggi di luar negara dan ramailah yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan dan dalam swasta.
Yang peliknya ada sesetengah daripada mereka ini sudah menganggap membela orang Melayu sudah tidak lagi fashionable baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta.
Rata-rata apabila ada perjumpaan atau majlis makan malam di kalangan orang bukan Melayu dan orang asing, mereka akan mengatakan penghalang kepada usaha pentadbiran Najib untuk melakukan transformasi ialah tuntutan orang Melayu oleh kumpulan tertentu.
Mereka lupa kalau dikira perbelanjaan untuk Rancangan Malaysia Pertama sehingga Kesembilan tiap-tiap satu sebanyak RM200 juta darab untuk 9 kali maka berjumlah RM1.8 trilion. Siapa yang meraih keuntungan daripada jumlah tersebut, tentu sekali bukan orang Melayu. Hak milik saham pun setakat 21.8 peratus saja.
Sedar tak sedar tanah milik Melayu pun berkurangan. Di pihak kerajaan negeri misalnya banyak usahasama dengan bukan Melayu dilakukan untuk memajukan sesuatu kawasan yang bernilai tinggi.
Apabila perumahan siap, yang membeli dan menduduki pangsapuri atau rumah tersebut bukannya orang Melayu kerana orang Melayu tidak mampu membeli rumah tersebut kerana mahal. Jadi tanah yang dulunya milik kerajaan kini dimiliki oleh individu bukan Melayu.
Tanah milik Melayu diberikan status tanah rizab Melayu dan nilainya lebih rendah daripada tanah bukan Melayu. Kalau dimajukan orang Melayu akan mendapat nilai yang lebih rendah.
Tetapi jangan hairanlah kalau tanah rizab Melayu atau tanah khas untuk orang Melayu boleh jatuh ke tangan orang bukan Melayu seperti di Kelantan yang dulunya ketat dengan undang-undang menjual tanah kepada bukan Melayu.
Di mana-mana kawasan yang telah digariskan sebagai kawasan pembangunan ekonomi serantau, nilai tanah sekeliling kawasan pembangunan tersebut seperti Iskandar dengan sendirinya akan naik. Maka orang Melayu yang milik tanah di kawasan tersebut akan menjual tanah mereka. Inilah keadaan yang berlaku sekarang.
Sepatutnya suatu pangkalan maklumat yang kerap dikemaskinikan tentang tanah milik Melayu seluruh negara ini perlu diwujudkan supaya jangan sampai tergadai tanah Melayu. Kalau orang Melayu hendak menjual tanah mereka, biarlah yang membelinya orang Melayu.
Orang Melayu yang kaya raya patut mempertahankan tanah orang Melayu ini. Jangan pula orang bukan Melayu guna orang Melayu. Itu namanya tidak bermaruah.
DATUK SALLEH MAJID ialah bekas
Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia)
MEMERANGI RASUAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Oleh Muhamad Razak Idris
Disiarkan Berita Harian, 30 Disember 2010, Khamis.
Banyak persoalan dakwah yang telah dilontarkan oleh Haji Zaid Kamaruddin, Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) semasa menyampaikan ucapan dasar semasa Perhimpunan Perwakilan Nasional ke 20 baru-baru ini. Salah satu persoalan dari ucapan beliau yang menarik perhatian saya ialah ulasannya berkaitan bahaya gejala rasuah dan tuntutan untuk kita semua, terutama para pendakwah untuk memeranginya.
Di dalam ucapannya, beliau mengutip anggaran Bank Dunia berkaitan rasuah. Menurut Bank Dunia, sebanyak US$1 trillion telah dibayar sebagai rasuah daripada keseluruhan untung kasar hasil dalaman dunia iaitu US$2.6 trillion. Rasuah juga telah mengakibatkan peningkatan 10 peratus kos menjalankan perniagaan di seluruh dunia dan setinggi 25 peratus kos mendapatkan kontrak di negara-negara membangun. Di dalam anggaran ini juga dinyatakan iaitu ada negara yang kehilangan sehingga 20 peratus pendapatan dalam negara disebabkan rasuah. Begitulah besarnya bahaya menimpa masyarakat dunia disebabkan oleh kegiatan rasuah.
Ternyata ia telah membebankan daya saing ekonomi dan membawa sesebuah negara berada di dalam kerugiaan secara berleluasa. Kesan bahaya rasuah terhadap pembangunan sesebuah negara dapat juga ditinjau menerusi laporan oleh UNODC (United Nations Office on Drugs and Crime) 2010. Laporan ini menyebut iaitu rasuah adalah halangan terbesar kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Rasuah telah membantutkan pertumbuhan ekonomi dan melesapkan dana untuk perkhidmatan masyarakat. Apabila wang kerajaan dan rakyat disedut ke dalam akaun persendirian, sumber akan berkurangan untuk membina sekolah, hospital atau jalanraya. Apabila bantuan asing lesap ke dalam kantung peribadi, projek infrastruktur yang besar tergendala.
Di samping kesan rasuah terhadap pertumbuhan ekonomi dan sosial, rasuah juga memberi akibat terhadap sistem demokrasi. Ini kerana rasuah menyekat kemampuan kerajaan untuk berfungsi secara berkesan untuk menyediakan perkhidmatan yang kritikal untuk rakyat. Ini boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan. Kesan lain rasuah ialah terhadap keluhuran undang-undang. Rasuah membawa kepada kepesatan kewujudan kumpulan jenayah terancang termasuk pengedar dadah dan senjata. Ini secara langsung menjejaskan keselamatan dan memudahkan jaringan pengganas berkembang.
Apakah kita mempunyai kemampuan menghalang rasuah? Menurut Haji Zaid, tentu sekali kita mampu. Ini kerana, “rasuah bermula dengan keputusan peribadi, selalunya digerakkan oleh ketamakan dan kemiskinan”. Oleh itu, untuk menyekat rasuah, kita perlu membina budaya integriti dan keluhuran undang-undang. Tugas ini adalah tanggungjawab kerajaan dan semua anggota masyarakat. Dalam hal ini, agenda memerangi rasuah nampaknya harus bermula menerusi proses pembudayaan. Ia bermaksud, tuntutan untuk kita mendidik dan menanam satu kefahaman di dalam fikiran masyarakat terhadap bahaya rasuah kepada pertumbuhan diri dan pembangunan negara secara keseluruhan.
Ia juga berkaitan dengan usaha untuk mewujudkan rasa benci terhadap perbuatan rasuah dan berasa hina apabila diri digelar sebagai perasuah. Usaha memerangi rasuah memerlukan pendekatan yang menyeluruh. Ini meliputi peranan untuk kita membina budaya beramanah di dalam segala urusan kehidupan samada di peringkat kerajaan, perniagaan, media, masyarakat madani dan seluruh anggota masyarakat.
Langkah lain ialah memastikan urus tadbir kerajaan dikendali dengan tatakelola yang baik. Antara aspek penting dalam sebuah tatakelola kerajaan yang baik ialah menerusi langkah mempertahankan keutuhan perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang dan mengamalkan pengasingan kuasa dalam pentadbiran. Menerusi langkah ini, proses pertumbuhan negara terjadi secara seimbang dan telus berdasarkan sandaran perundangan yang berdaulat.
Proses pengukuhan tatakelola kerajaan yang baik juga memerlukan beberapa elemen sokongan lain seperti kumpulan pembangkang yang berwibawa, sistem kehakiman yang bebas dan perkhidmatan awam yang tidak memihak. Ini adalah antara tiga elemen yang akan menyumbang kepada kewujudan sebuah persekitaran yang sihat dan seimbang yang secara langsung akan mengekang terjadinya perbuatan rasuah di dalam sesebuah masyarakat dan negara.
Proses memerangi rasuah juga menuntut peranan agama diperkukuhkan. Agama menunjukkan sempadan nilai dan menanamkan sikap rasa hina apabila terjebak di dalam perbuatan rasuah. Agama menekankan tentang balasan yang akan ditanggung pemberi dan penerima rasuah terutama di hari pembalasan kelak. Di samping itu, agama menanam sikap tangungjawab dan amanah di dalam diri individu. Kita yakin, semakin teguh pegangan agama, semakin jauh dirinya dari terjebak dengan perbuatan rasuah. Dalam kaitan ini, marilah kita sama-sama terlibat memerangi gejala rasuah.
Bagi kita, ia adalah keutamaan dakwah masa kini. Memandangkan rasuah ialah barah bagi segala kerosakan, tugas memeranginya harus dijayakan tanpa henti. Untuk itu, ia harus bermula dari dalam dri kita sendiri. Seterusnya kita memantau perbuatan ini dari kalangan kaum keluarga dan sahabat handai. Peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di dalam hal ini amat penting sekali. Kita berharap SPRM sebagai badan tertinggi yang dipertanggungjawabkan bagi memerarangi rasuah untuk terus meningkatkan kecekapannya bagi membebaskan masyarakat dan negara dari bahaya rasuah.
Nukilan hati hang nadim
Apakah kita mempunyai kemampuan menghalang rasuah? tentu sekali kita mampu. Ini kerana, “rasuah bermula dengan keputusan peribadi, selalunya digerakkan oleh ketamakan dan kemiskinan”. Oleh itu, untuk menyekat rasuah, kita perlu membina budaya integriti dan keluhuran undang-undang. Tugas ini adalah tanggungjawab kerajaan dan semua anggota masyarakat. Dalam hal ini, agenda memerangi rasuah nampaknya harus bermula menerusi proses pembudayaan. Ia bermaksud, tuntutan untuk kita mendidik dan menanam satu kefahaman di dalam fikiran masyarakat terhadap bahaya rasuah kepada pertumbuhan diri dan pembangunan negara secara keseluruhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.