31 Julai, 2011
[hang nadim] Selamat Hari Pahlawan.....
Tingkat semangat setia negara
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
TUANKU Mizan Zainal Abidin melakukan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormat utama pada Istiadat Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 31 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat berbilang kaum supaya meningkatkan semangat kepahlawanan, patriotisme, kesetiaan, kecintaan dan sanggup berkorban untuk negara.
Seri Paduka bertitah, semangat sedemikian perlu dipupuk dan disemarakkan sepanjang masa sebagai mengenang jasa para pejuang dan pahlawan negara.
"Sesungguhnya negara dan rakyat amat terhutang budi kepada mereka yang telah sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara tercinta iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
"Hakikatnya, keamanan kestabilan dan kesejahteraan yang negara nikmati hari ini tidak adakan dapat kita capai tanpa pengorbanan yang mereka lakukan.
"Justeru, bersempena sambutan Hari Pahlawan ini, beta menyeru semua peringkat lapisan rakyat agar meningkatkan lagi semangat patriotisme dan ia perlu dipupuk serta disemarakkan sepanjang masa,'' titah Seri Paduka sempena Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2011 di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Seri Paduka bertitah, selain meningkat semangat patriotisme dan cintakan negara, rakyat tanpa mengira keturunan dan kepercayaan juga diseru supaya bersama memberi penghargaan yang sewajarnya kepada pahlawan negara yang masih ada atau untuk balu, keluarga serta waris mereka.
"Beta bersyukur kerana kerajaan beta tidak pernah melupakan pengorbanan dan kesetiaan pahlawan tersebut. Sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka, pelbagai penghargaan dan pingat kebesaran serta keberanian telah dianugerahkan.
"Pada waktu sama, kerajaan sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada ahli keluarga mereka termasuk anak dan isteri. Dalam erti kata lain, kebajikan para pahlawan negara dan keluarga mereka sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan,'' titah Tuanku Mizan.
Dalam perkembangan lain, Tuanku Mizan berharap golongan pahlawan yang telah hilang upaya serta sanak saudara mereka yang kehilangan tempat bergantung agar dapat menempuh ujian serta dugaan hidup dengan penuh ketabahan.
"Bagi yang masih berkhidmat, teruskan khidmat bakti murni ini. Ingatlah bahawa harapan masyarakat cukup tinggi. Sebagai perisai dan pedang negara, jalankan amanah dan tanggungjawab secara terbaik.
"Beta juga berharap setiap pasukan keselamatan tetap meneruskan perjuangan memelihara keamanan dunia yang menjadi pra syarat utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
"Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang unik dengan sifatnya yang berbilang kaum akan mampu menunjukkan jalan ke hadapan serta memainkan peranan sebagai pemangkin kepada keamanan dunia,'' titah Seri Paduka.
Terdahulu pada istiadat sambutan berkenaan, Tuanku Mizan berkenan melakukan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormat utama dan menyaksikan persembahan pantomin mengenai sejarah pejuang negara termasuk Peristiwa Bukit Kepong.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan titah Tuanku Mizan dan serentak dengan itu laungan 'Daulat Tuanku' tiga kali sebelum sambutan diakhiri dengan bacaan doa.
Istiadat tahun ini merupakan kali kedua diadakan di Dataran Merdeka selepas berpindah dari Tugu Negara, tahun lalu.
Jadilah pahlawan
Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my
2011/08/01
Tingkat semangat setia negara
Seri Paduka titah rakyat tingkat kesetiaan, sedia berkorban demi negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam mengajak rakyat bersama-sama dalam semangat 1Malaysia, meningkatkan lagi semangat kepahlawanan, patriotisme, kesetiaan, kecintaan dan kesediaan untuk berkorban demi negara.
Berucap pada sambutan Hari Pahlawan 2011 di Dataran Merdeka, di sini baginda bertitah, semangat sanggup berkorban demi negara di kalangan rakyat perlu dipupuk dan disemarakkan sepanjang masa untuk kesejahteraan rakyat.
“Keamanan, kestabilan dan kesejahteraan yang negara nikmati hari ini, tidak dapat kita capai tanpa pengorbanan pejuang dan pahlawan negara. Rakyat dan negara amat terhutang budi kepada mereka yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara tercinta, iaitu pengorbanan jiwa dan raga,” katanya.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Tuanku Mizan juga meminta rakyat tanpa mengira keturunan dan agama bersatu dan bersama-sama memberi penghargaan, sokongan dan bantuan sewajarnya kepada wira negara serta waris mereka.
“Beta bersyukur kerana kerajaan tidak pernah melupakan pengorbanan dan kesetiaan pahlawan. Sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan pahlawan negara, pelbagai penghargaan dan pingat kebesaran serta keberanian dianugerah kepada mereka,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong juga berharap wira dan pahlawan yang masih menjalankan tugas meneruskan khidmat bakti murni kerana harapan masyarakat terhadap mereka amat tinggi.
"Sebagai perisai dan pedang negara, tunaikan amanah dan tanggungjawab terbaik, sesuai dengan semangat sumpah ikrar saudara dan saudari sekalian.
“Beta juga berharap anggota keselamatan dapat meneruskan perjuangan memelihara keamanan dunia yang menjadi prasyarat utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara. Malaysia sebagai negara Islam unik dengan sifatnya berbilang kaum, mampu memainkan peranan sebagai pemangkin keamanan dunia," katanya.
Sambutan Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun dan istiadat bermula dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormat membabitkan anggota semua cabang pasukan keselamatan serta bekas anggota oleh Tuanku Mizan selaku Ketua Turus pasukan keselamatan negara. Acara diteruskan dengan deklamasi sajak, persembahan pantomin oleh 200 anggota polis, koir dan Paluan Fajar.
Nukilan hati hang nadim
Betapa hebatnya Bangsaku mempertahankan negara hingga terkorban tetapi bangsaku kini sanggup mengadai maruah bangsa,menghina negara dan pemimpin,betapa hebatnya bangsaku di zaman dahulu.....budi dan pengorbanan mereka tidak dapat di balas.....hanya ku pohon restu semoga Allah menempatkan mereka yang beriman di syorga bersama syuhada syuhada yang lain dan kelukanlah lidah mereka yang sentiasa menghina negara dan lumpuhkan tangan-tangan mereka yang menulis perkara-perkara fitnah dan menghina negara ya Allah selamatkanlah pemimpin-pemimpin kami yang membina kebajikan dan keamanan negara.....Ya Allah panjangkan umur seluroh Anggota Polis dan tentera kami jauhkan mereka dari apa jua bencana.....dan hapuskan petualang negara.....Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.