Pages

Subscribe:

13 Julai, 2011

[hang nadim] Peguam veteran Raja Aziz Addruse meninggal dunia.....

AL FATIHAH.....


KUALA LUMPUR 12 Julai — Raja Aziz Addruse, antara peguam terkemuka dan paling disegani di Malaysia, meninggal dunia pada kira-kira pukul 1 tengah hari ini di kediamannya di Bukit Tunku di sini. Beliau berusia 75 tahun.

Baru-baru ini, Raja Aziz, yang berasal dari Chemor, Perak, mendapatkan rawatan di Singapura kerana penyakit berkaitan kanser dan dilaporkan beransur pulih.

Rakan rapat beliau Datuk Param Cumaraswamy yang dihubungi berkata keadaan kesihatan Raja Aziz tiba-tiba merosot beberapa hari lepas dan beliau mengunjungi peguam terkenal itu dua hari lepas.

“Walaupun berkeadaan lemah, tapi beliau tetap bersemangat dan kami sempat berjenaka,” kata Param.

Beliau berkata jenazah Raja Aziz akan disembahyangkan di Masjid Bukit Kiara sebelum waktu Zuhur esok dan akan disemadikan di tanah perkuburan berhampiran.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang dihubungi hari ini berkata, Raja Aziz adalah seorang insan yang berintegriti tinggi dan lelaki budiman yang sentiasa menghormati lawannya.

“Ada beberapa kali, beliau merujuk undang-undang kes yang tidak menggembirakan anak guamannya sendiri, tapi ia semata-mata bertujuan untuk membantu mahkamah membuat
keputusan yang tepat,” kata Mohamad Yusof.

Beliau berkata Raja Aziz dipandang tinggi dalam dunia guaman, terutama kerana sikap beliau yang amat bersopan-santun dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap lawan beliau.

Peguam tersohor ini diberi kepercayaan menjadi Presiden Majlis Peguam sebanyak tiga kali iaitu bagi penggal 1976-78, 1988-89 dan 1992-93.

Beliau juga pernah dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) yang berpejabat di Geneva pada 2006. Rakyat Malaysia lain yang pernah menyandang jawatan itu sebelum beliau ialah Param dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Suffian Hashim.

Raja Aziz adalah peguam utama dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.