23 Julai, 2011
[hang nadim] Qari, qariah Malaysia muncul johan
AMIRRAHMAN dan Suraya bersama piala serta hadiah kemenangan masing-masing selepas diumumkan johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi. - Foto Effendy Rashid
Amirrahman peroleh 89.26 peratus, Suraya 88.33 masing-masing bawa pulang RM32,200
oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 23 Julai - Qari dan qariah Malaysia, Amirahman Abas dan Suraya Abu Hassan muncul johan kategori masing-masing pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.
Amirahman yang membacakan surah Nahl bermula ayat 65 meraih markah 89.26 peratus manakala Suraya yang memperdengarkan surah Al-Zahraa bermula ayat ke-57 pula mendapat 88.67 peratus.
Kedua-duanya menyampaikan bacaan mereka pada malam ini, iaitu malam terakhir majlis tilawah tersebut yang dihadiri kira-kira 5,000 hadirin dan disiarkan secara langsung menerusi TV1.
Kemenangan itu membolehkan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM32,200 bersama trofi dan sijil.
Hadiah-hadiah disampaikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Turut berangkat Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Dalam pada itu, qari Filipina, Saudi M. Gandisa muncul naib johan apabila mengumpul markah 88.67 peratus dan tempat ketiga, Abdel Bast Mohamed dari Mesir dengan 87.88 peratus.
Bagi kategori qariah, tempat kedua dimenangi peserta Indonesia, Noor Khalidah Kapsul Anwar yang memperoleh markah 88.30 peratus dan ketiga, Nur Azizah Sholichin dari Singapura dengan 86.17 peratus.
Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai RM22,400 dan RM13,600 beserta sijil.
Peserta-peserta lain menerima sagu hati berupa hadiah wang tunai RM4,800 beserta sijil.
Bagi kategori qari, tempat keempat dimenangi qari Iran, Hamidreza Abbasi dan kelima, qari Brunei, Awang Ismail Sulaiman.
Qariah dari Brunei, Dayang Nuurfaezah Emran pula menduduki tempat keempat manakala kelima, Rahima M. Panondiongan dari Filipina.
Majlis tilawah yang berlangsung sejak 16 Julai lalu bertema 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah' menyaksikan 81 peserta (50 qari dan 31 qariah) dari 50 negara mengambil bahagian.
Penghakiman tilawah tahun ini dilakukan 16 hakim dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.