Pages

Subscribe:

03 Ogos, 2011

[hang nadim] Hukum: Ulama dinasihat tidak berpihak kepada parti politik .....

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Golongan ulama dinasihatkan agar tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dalam menjatuhkan hukum terhadap sesuatu isu berbangkit.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, golongan itu juga perlu seimbang dalam memberikan pendapat selaras dengan syariat Islam sebenar.

''Berilah nasihat tanpa kira kumpulan atau parti politik tertentu. Bukannya jika sesuatu parti itu membuat maksiat, ulama yang memihak kepada parti itu membiarkannya tetapi bertindak sebaliknya jika parti lain membuat perkara sama.

''Oleh itu, jangan memihak jika berhadapan dengan sesuatu isu,'' katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa sempena program Nur Ramadan anjuran UMNO Bahagian Seputeh di rumah pangsa KEP, Jalan Kuchai Lama di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, golongan ulama juga dinasihat agar tidak menyalahguna kedudukan dengan memberikan nasihat yang salah.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan bantuan kebajikan kepada 200 golongan miskin, ibu tunggal dan warga emas termasuk tiga penerima kerusi roda.

Bantuan yang diusahakan UMNO Bahagian Seputeh itu turut merangkumi bantuan kewangan kepada 14 buah surau yang terdapat dalam Parlimen Seputeh serta Sekolah Anak Yatim Sungai Besi dan Sekolah Tunas Bakti.

Bantuan berupa pemberian lesen perniagaan turut diberikan kepada 59 orang penjaja manakala 30 buah keluarga pula menerima tawaran menduduki rumah melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Pas dan PKR akan tenggelam

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan 'tenggelam' dengan tindakan DAP untuk bertanding di kerusi yang majoriti pengundinya ialah Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama, mereka harus sedar bahawa kepentingan tiga gabungan parti itu sebenarnya diambil alih oleh DAP.

''Saya fikir, DAP harus disedarkan oleh Pas dan PKR yang mewakili kawasan Melayu bahawa DAP telah melangkaui batas-batas yang sepatutnya menjadi kawasan tanggungjawab kepada kedua parti itu.

''Justeru, saya minta Pas dan PKR sedar akan permainan yang sedang dibawa DAP ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berasakan sudah tiba masanya bagi parti itu meluaskan pengaruh dengan menjangkau seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Kit Siang dalam wawancara eksklusif bersama portal pembangkang MalaysiaKini itu turut menambah, ia adalah sesuatu yang baik untuk pembangkang meskipun mengakui mungkin terpaksa membuat 'keputusan yang sukar'.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, DAP dipercayai akan meletakkan wakil daripada keturunan Melayu bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri dalam melaksanakan agenda besar parti itu.

Katanya, Undang-Undang tubuh Negeri itu akan mengusulkan wakil DAP dari keturunan Melayu untuk menjadi Menteri Besar sekiranya parti itu memenangi pilihan raya yang akan datang.

''Saya harap orang Melayu akan sedar bahawa DAP akan menguasai golongan majoriti hanya kerana kumpulan itu berpecah.

''Pada masa sama saya berharap mereka menggunakan 'majoriti senyap' untuk mengatasi pengaruh dan usaha yang dibawa oleh DAP ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, telahan pihak yang mengatakan Barisan Nasional (BN) tidak dapat mempertahankan Perak dan Negeri Sembilan daripada pihak pembangkang hanya akan dibuktikan pada pilihan raya yang akan datang.

Namun katanya, pertambahan sokongan daripada masyarakat Melayu dan India akan mengatasi prestasi BN pada 2008 yang juga merupakan peristiwa malang kepada parti.

Punca DAP mahu tarik sokongan Melayu

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Strategi DAP yang mahu meningkatkan pengaruh di kalangan orang Melayu adalah terbit daripada sikap paranoid dan kurang yakin kepada sokongan anggota daripada parti pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Penganalisis politik, Mohd. Roslan Saludin berkata, selama ini DAP memendam rasa terutama di negeri yang diperintah oleh Pas dan PKR apabila merasakan diri mereka tidak begitu berkesan dalam mengenengahkan agenda sebenar perjuangan parti berkenaan.

"Oleh itu DAP merasakan mereka perlu melakukan sesuatu bagi mengenengahkan calon Melayu daripada parti itu sendiri bagi memenuhi keperluan teknikal pelantikan orang Melayu sebagai ketua negeri khususnya di negeri yang mempunyai Raja atau Sultan.

"Ini menyerlah sikap angkuh DAP terhadap kemampuannya meraih sokongan orang Melayu untuk dijadikan pemimpin boneka dan alat semata-semata bagi mencapai matlamat perjuangan politiknya sekali gus memperlekeh kemampuan orang Melayu dalam memelihara maruah mereka dan menjadikan mereka ibarat kuda tunggangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berasakan sudah tiba masanya bagi parti itu meluaskan pengaruh dengan menjangkau seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Kit Siang dalam wawancara bersama portal pembangkang MalaysiaKini itu turut menambah, ia adalah sesuatu yang baik untuk pembangkang meskipun mengakui mungkin terpaksa membuat 'keputusan yang sukar'.

Bagaimanapun, Mohd. Roslan berkata, sama ada strategi DAP itu berhasil atau tidak adalah bergantung kepada sejauhmana orang Melayu sanggup dijadikan alat atau tunggangan bagi memuaskan nafsu DAP memerintah negara ini.

Menurut beliau, Sejarah Melayu dan Nusantara telah banyak memberikan contoh pemerintahan boneka yang pernah berlaku khususnya apabila British melantik Residen menjadi penasihat di istana beberapa buah negeri di Tanah Melayu.

Justeru, kata beliau, orang Melayu harus sedar, sekiranya mereka terjebak dengan perangkap politik DAP itu maka bukan sahaja maruah mereka sebagai orang Melayu akan tergadai malah kemerdekaan yang dibanggakan selama ini akan menjadi sia-sia.

Katanya, ini kerana negara akan kembali menjadi bangsa yang terjajah seperti mana pada zaman penjajahan British dahulu, cuma pada kali ini bukan British yang memerintah dan menjajah tetapi DAP.

Beliau berkata, seperti mana British pada satu ketika dahulu yang tidak yakin dengan kemampuan untuk memerintah Tanah Melayu tanpa sokongan Raja-Raja Melayu pada ketika itu, sehingga terpaksa mencari helah menyokong pihak yang bertelagah di kalangan kerabat diraja dan menyokong pihak yang sanggup jadi boneka dan menerima residen British.

Ia, ujarnya, sama seperti DAP yang juga akan sentiasa mencari ruang untuk memecah belahkan orang-orang Melayu dan akan berusaha mencari boneka di kalangan orang Melayu yang mereka boleh tunggang kerana cubaan berpakat dengan PAS dan PKR telah terbukti bermasalah dan tidak mampu memenuhi kerakusan nafsu serakah politik DAP.

Bagaimanapun, tegas beliau, pakatan yang cuba mereka gunakan bagi menjayakan hasrat memerintah negara ini dilihat begitu rapuh dan goyah.

"Selain dari banyak masalah dalaman yang melanda setiap daripada parti dalam pakatan, DAP sedar ia bakal turut menjadi korban sekiranya pakatan pembangkang gagal menunaikan janji mereka kepada rakyat seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Kini Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir dan DAP terdesak dan harus bersedia dengan alasan, strategi atau jalan keluar yang bakal mereka gunakan bagi menghadapi pilihan raya dan pengundi yang kecewa dengan prestasi pakatan pembangkang.

"Oleh itu, strategi yang terbaik ialah mencari boneka di kalangan orang Melayu. Kalau British boleh, tidak mustahil DAP juga boleh mencari boneka di kalangan orang Melayu," katanya lagi.

Rosti letak jawatan NC Unisel

Oleh HELMI MOHD. FOAD dan ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 2 Ogos - Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dengan notis 24 jam berkuat kuasa esok dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Rosti yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat berikutan beliau tidak sanggup melaksanakan tindakan terhadap tiga pegawai Unisel yang diarahkan dilucut jawatan.

"Sah saya letak jawatan berkuat kuasa 3 Ogos (esok). Ada keputusan yang tidak sanggup saya laksanakan iaitu melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa memberi sebab dan tanpa mengikut proses. Selamat berpuasa," katanya kepada Utusan Malaysia melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Rosti yang berasal dari Klang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Beliau dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac 2009 bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.

Semasa baru dilantik, Rosti berkata, beliau tidak akan menjadi "pak turut" kepada mana-mana pihak dan ingin memastikan institusi pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri itu tidak dijadikan medan berpolitik.

Unisel ditubuhkan pada 23 Ogos 1999 dan kini mempunyai lapan fakulti yang menawarkan pelbagai bidang pengkhususan antaranya kejuruteraan, teknologi maklumat, industri, bioteknologi, komunikasi dan media serta pengurusan perniagaan yang dikendalikan lebih 1,000 tenaga pengajar.

Difahamkan tindakan Rosti itu sebagai 'membantah' keputusan pelucutan jawatan tiga orang pegawai iaitu Pendaftar, Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah yang dicadangkan dalam satu rumusan memorandum yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan Negeri.

Memorandum itu disediakan dan ditandatangani oleh empat pegawai tertinggi lain di Unisel pada 16 Mei lalu terhadap tiga pegawai Unisel berkenaan atas tuduhan tertentu yang dipercayai membabitkan salah tadbir urus universiti itu.

Tuduhan yang disertakan dalam memorandum berkenaan turut melibatkan Rosti yang dicadangkan meletak jawatan dan digantikan dengan serta-merta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada Naib Canselor itu untuk memecat tiga pegawai berkenaan.

Namun, keputusan Abdul Khalid itu difahamkan tidak diterima oleh Rosti atas alasan tidak mengikut tatacara perundangan dan tatatertib Unisel.

Menurut sumber Utusan Malaysia, ketiga-tiga pegawai berkenaan tidak pernah diberikan surat tunjuk sebab dan tidak diberi peluang untuk membela diri.

Bagaimanapun, sehingga petang ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Unisel dan pejabat Menteri Besar berhubung peletakan jawatan Rosti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.