Pages

Subscribe:

19 April, 2013

[hang nadim] Anak saudara Jamalul Kiram didakwa.....


Keratan gambar Amirbahar Hushin Kiram ketika ditahan 23 Mac 2013 di Semporna, Sabah.
LAHAD DATU 19 April - Anak saudara kepada Jamalul Kiram III, Datu Amirbahar Hushin Kiram hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.
Komander tentera kumpulan pengganas Kiram itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Kampung Tanduo di antara 9 Februari lalu dan 23 Mac lalu.
Tertuduh yang ditangkap pada 23 Mac lalu di kawasan paya bakau di Kampung Sri Melor Bugaya, Semporna disahkan identitinya oleh pasukan keselamatan sebagai komander tentera berpangkat jeneral.
Dia yang berasal dari Jolo, Selatan Filipina dikatakan berjawatan 'Menteri Pertahanan Kerajaan Sulu' dan bertindak memberi arahan bagi melancarkan pencerobohan di Lahad Datu sejak 12 Februari lalu.
Jika sabit kesalahan, dia yang merupakan anak kepada Esmail Kiram II bakal berdepan hukuman mati mandatori bagi kesalahan melancarkan perang di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
Amirbahar, 49, turut berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda atas kesalahan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan dibantu oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar dan Shukor Abu Bakar.
Prosiding bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang diisytiharkan sebagai mahkamah terbuka di bawah Seksyen 7 Kanun Tatacara Jenayah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan asal dalam bahasa Melayu yang diterjemahkan ke dalam bahasa Suluk dibacakan kepadanya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rajalingam S.S. Mniam yang bersidang sebagai Majistret membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau di bawah Seksyen 177A(1) CPC untuk perbicaraan.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 14 Mei depan. Amirbahar tidak diwakili peguam bela.
Setakat ini, seramai 20 warganegara Filipina serta seorang anggota polis tempatan didakwa atas pelbagai kesalahan yang berkaitan insiden pencerobohan di Lahad Datu.











Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130420/dn_04/Anak-saudara-Jamalul-Kiram-didakwa#ixzz2QxP6xCd2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.