Pages

Subscribe:

20 April, 2013

[ hang nadim ] Melayu Sri Langka.....இலங்கை Malays .....




Oleh Mohd Raman Daud

BERSEMBANG dengan Dr B.A. Hussainmiya, Profesor Madya Sejarah di Universiti Brunei Darussalam seolah-olah menemui 'sepupu yang hilang' dari Sri Lanka.

Karya besarnya, Orang Rejimen: The Malays of The Ceylon Rifle Regiment, yang berdasarkan tesis doktoratnya merupakan sumber penting untuk memahami 60,000 keturunan Melayu yang kini menghuni bumi Sri Lanka.

Beliau berada Singapura baru-baru ini atas undangan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Menurut ketua jabatan itu, Profesor Madya Dr Farid Alatas, pihaknya kini bercadang mengadakan seminar mengenai Diaspora Melayu seperti di Sri Lanka, Cape Town dan mungkin sejauh Surinam.

'Melayu Sri Lanka memang kecil bilangannya dan hampir saja dilupakan. Daripada 21 juta penduduk Sri Lanka, kaum Melayu pernah dikategorikan dalam masyarakat Muslim atau Sri Lankan Moors iaitu sekitar 7.2 peratus penduduk negara itu,' katanya di ruang studi Masjid Ba'alwie, petang Jumaat lalu.

Katanya, kehadiran Melayu Sri Lanka mula ketara akhir-akhir ini sehingga disebut dalam ucapan Presiden Mahinda Rajapakse tidak lama dulu.

'Ini menunjukkan sumbangan Melayu Sri Lanka cukup bererti sejak zaman Belanda sehingga zaman British,' tambah ilmiawan berusia 62 tahun yang mempunyai dua anak dewasa (lelaki dan perempuan) itu.

Terdapat pelbagai teori mengenai kehadiran orang Melayu di Sri Lanka.

Satu teori ialah usaha penaklukan yang gagal oleh seorang raja Melayu, Chandrabhanu, dari kerajaan Trambalinga (di pesisir barat Thailand) dalam awal abad ke-13 Masihi, ke atas Sri Lanka, termasuk kota pelabuhan Trincomalee.

Sri Lanka pernah dijajah Portugis mulai 1498 sehinggalah Belanda pula berkuasa (1658-1796). Belanda yang juga menjajah Indonesia (Hindia Timur) telah membawa banyak keluarga diraja yang memberontak dan ditawan untuk dibuang ke sana.

Bahkan Belanda telah membawa sesetengah tokoh diraja Melayu untuk dibuang ke Afrika Selatan dan sekali gus mewujudkan diaspora Melayu di sana.

Namun kajian Dr Hussainmiya lebih menjurus pada tindakan British yang membawa orang Melayu (rakyat biasa) untuk menjadi askar di Sri Lanka. Askar Melayu terkenal gagah berani sehingga dapat menakluk tempat-tempat yang sukar ditembusi British seperti Kandy.

Menurutnya, calon Orang Rejimen direkrut di Pulau Pinang dan kemudian di Singapura. Kebanyakan mereka datang 'membujang' ke Sri Lanka dan berkahwin dengan wanita tempatan yang beragama Islam.

Oleh itu, terdapat dua lapisan orang Melayu di Sri Lanka - yang berketurunan diraja yang awal dan golongan askar. Selain bidang pasukan keselamatan, orang Melayu juga terkenal sebagai pedagang.

Antara sumbangan penting orang Melayu Sri Lanka terpapar dalam bidang persuratan seperti penerbitan akhbar pertama di Dunia Melayu, Alamat Langkapuri (1869-1870), yang diasuh Baba Ounos (sebut 'Yunus') Saldin (1838-1906) - enam tahun lebih awal daripada Jawi Peranakan yang diterbitkan di Singapura.

'Namun orang Melayu Sri Lanka hari ini sudah jauh tertinggal. Jadi tujuan saya ialah menonjolkan kehadiran saudara kita dan cuba menolong mereka,' kata Dr Hussainmiya yang pernah menganjurkan Simposium Dunia Melayu pada 1985 yang dirasmikan oleh Presiden Jayawardene.

Beliau pernah mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Oleh itu, beliau akrab dengan para tokoh gerakan Dunia Melayu yang diasaskan di Malaysia seperti Tan Sri Profesor Emeritus Dr Ismail Hussein, Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).

Pertemuan Dunia Melayu pertama diadakan di Melaka pada Disember 1982 dan dirasmikan oleh Dr Mahathir Mohamad yang baru setahun menjadi perdana menteri Malaysia. Ketika inilah Dr Hussainmiya memperkenalkan orang Melayu Sri Lanka.

Sejak itu, berlangsung beberapa pertemuan Dunia Melayu termasuk di Cape Town, Afrika Selatan, dan Malagasy.

Orang Melayu yang bertebaran jauh telah tampil untuk menceritakan pengalaman dan harapan mereka.

Sayangnya, Sekretariat Dunia Melayu yang pernah dibentuk di Shah Alam kini kelam begitu saja, terutama selepas ketiadaan naungan Menteri Besar Selangor, Muhammad bin Muhammad Taib.

Berbeza pula diaspora bangsa-bangsa lain seperti Jepun, Yahudi, India dan China, kegiatan mereka masih utuh dan bahkan berkembang.

Baru-baru ini Menteri Luar Singapura, Encik George Yeo, menyambut ketetapan bagi pertemuan Dunia Usahawan Cina untuk mengadakan sidangnya di Singapura tahun depan. Kekuatan rangkaian usahawan Cina yang dikaitkan dengan amalan guanxi (keterjalinan) merupakan sebab jalinan diaspora ini masih bertahan makmur sejak dilancarkan dalam awal 1990-an di Singapura.

Sebaliknya, rangkaian Dunia Melayu lebih bersifat pertemuan kerinduan budaya tanpa kekuatan usahawanan. Saya pernah menyarankan Tan Sri Ismail Hussein agar mewujudkan kad keanggotaan bersifat kad kredit dari sebuah bank Malaysia untuk menjadi antara cara mewujudkan dana khas Pertemuan Dunia Melayu bagi mengeluarkan biasiswa dan sebagainya. Namun saranan ini tidak kesampaian.

Jadi, bagaimana dengan nasib Melayu Sri Lanka?

'Kita cuba menyelamatkan jati diri Melayu dengan mengadakan kelas bahasa dan kebudayaan Melayu kecil-kecilan di Sri Lanka. Sambutannya agak memuaskan.

'Namun bahasa Melayu jarang digunakan kecuali di rumah, itu pun dalam kalangan generasi lama,' hujah Dr Hussainmiya yang sedang mengkaji peranan kaum Chulia dari India dalam penyebaran Islam termasuk ke rantau ini.'

Tambahnya, Melayu Sri Lanka masih lagi boleh bertutur bahasa Melayu pasar berbanding Melayu Cape Town. Namun yang jelas, tanpa sokongan dana dan kepakaran serta pemupukan semangat, penanda jati diri seperti bahasa dan budaya pun boleh terhakis pada generasi muda


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.