Pages

Subscribe:

25 Jun, 2013

[hang nadim] Titah Seri Paduka diperlekeh.....Fikirlah Bangsaku MELAYU...

Oleh HUSSAINI AMRAN, MAISARAH SHEIKH RAHIM, ASSIM HASSAN dan KASTHURI JEEVENDRAN
Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seolah-olah memperlekehkan titah Seri Paduka dengan menyifatkannya sebagai 'skrip' yang telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dakwa Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang, titah Seri Paduka sebenarnya telah disediakan oleh BN, tidak melibatkan kepentingan rakyat, malah, terdapat banyak kepincangan kerajaan yang cuba disorokkan.
"Titah Seri Paduka telah disediakan oleh kerajaan BN. Mengapa hendak 'mengheret' Seri Paduka dalam perkara ini?.
"BN harus sedar mereka cuma kerajaan minoriti kerana kami adalah kerajaan yang telah menang dengan undi popular sebanyak 51 peratus.
"Kamu (media arus perdana) terima hakikat ini dahulu, kemudian baharu dapatkan komen kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.
Pada 6 Mei lalu, DAP khususnya Guan Eng terus mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah 'yang paling kotor' dalam sejarah negara dan mereka seharusnya layak membentuk kerajaan baharu berdasarkan undi popular.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun memberikan reaksi berbeza apabila menyifatkan titah Seri Paduka itu perlu diterima semua Ahli Parlimen dan mereka harus bekerjasama dalam membangunkan negara.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat itu turut berharap agar masing-masing dapat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13, sekali gus memainkan peranan sebenar sebagai wakil rakyat.
"Semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang perlu bertindak sedemikian, kami di pihak Pas akan terus komited untuk memperkasakan Islam dan negara, selari dengan agenda perjuangan.
"Kami menerima baik titah Seri Paduka dan semestinya Ahli Parlimen bekerjasama untuk melaksanakan. Saya juga mengharapkan Malaysia bertambah maju dan stabil,'' katanya.
Anwar berhasrat bunuh karier politik Najib
KUALA LUMPUR 25 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menjadi perancang utama dalam konspirasi menggunakan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu untuk membunuh karier politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, Anwar sering mengaitkan Najib dengan kes itu dalam siri ceramah politiknya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Menurut beliau, konspirasi tersebut masih diteruskan selepas PRU-13 dan dilakukan secara sistematik termasuk menerusi bantuan media propembangkang.
"Mereka melakukannya secara berperingkat dan setiap tahun kes pembunuhan Altantuya akan dibangkitkan sekurang-kurangnya tiga kali.
"Saya tidak hairan apabila timbul dakwaan pembangkang cuba menyogok keluarga Koperal Sirul Azhar kerana perbuatan itu merupakan salah satu taktik mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Lum Yong mengulas kenyataan bekas peguam bela Anwar, Datuk Zulkifli Noordin semalam, yang tidak terkejut dengan pendedahan cubaan menyogok keluarga Sirul dengan wang RM3 juta kerana memang terdapat usaha terancang bagi memfitnah Perdana Menteri sewaktu mengendalikan kes Ketua Pembangkang itu dahulu.
Minggu lalu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman membuat pendedahan melalui TV3 bahawa terdapat usaha daripada pembangkang untuk menyogok keluarga Sirul agar bersetuju membuat kenyataan palsu terhadap Najib.
Namun, Lum Yong yakin rakyat tidak termakan fitnah yang ditaburkan ke atas Perdana Menteri oleh Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain.
"Usaha mereka memfitnah Najib tidak berkesan kerana rakyat memahami kedudukan sebenar kes pembunuhan Altantuya," ujarnya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari memberitahu, pendedahan Rahimi itu menunjukkan pihak pembangkang semakin terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Najib.
Beliau juga meminta pihak berkuasa segera menjalankan siasatan memandangkan pendedahan tersebut melibatkan individu berprofil tinggi.
"Perlu ada tindakan proaktif daripada pihak berkuasa, tidak perlu tunggu sehingga orang ramai membuat aduan," jelasnya

Anwar hipokrit terhadap penyokong

KOTA BHARU 25 Jun - Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak menyatakan prinsip sebenar perjuangan parti pembangkang kepada umum terutama dalam kalangan penyokongnya sendiri.
Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, desakan itu memandangkan wujud kekeliruan mengenai pendirian pembangkang berhubung keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang didakwa tidak adil dan berlaku penipuan.
Tambah beliau, dakwaan Anwar serta wakil rakyat pembangkang lain itu tidak selari dengan tindakan mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat sekali gus mengiktiraf keputusan pilihan raya umum lalu.
"Jika mereka benar-benar telus dan ikhlas dalam perjuangan, mereka tidak akan menggadai prinsip selama ini apatah lagi selepas mencanang kepada rakyat kononnya Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak telus, tidak adil dan menipu.
"Mereka hasut dan heret rakyat supaya membantah, menentang kerajaan dengan cara tidak sah sehingga mencetuskan huru-hara dan menyebabkan berlakunya kecederaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kesemua 89 Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat .
Tindakan itu sekali gus membuktikan mereka bersetuju dan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang melayakkan mereka menjadi Ahli Dewan Rakyat sedangkan sebelum ini menghasut rakyat menyertai perhimpunan haram membantah keputusan pilihan raya umum.
Mohd. Syamsul berkata, tindakan pemimpin pembangkang mengangkat sumpah itu merupakan pengkhianatan terhadap penyokong setia mereka yang sanggup tidur di jalan raya kerana akur dan taat terhadap pemimpin mereka.
Katanya, wakil rakyat pembangkang sepatutnya tidak hadir mengangkat sumpah mengambil kira tuduhan yang dibuat.
Malah, tambah beliau, agama Islam juga melarang pemimpin menggunakan rakyat untuk meraih sokongan dengan menyebar fitnah sehingga meretakkan ukhuwah dalam kalangan rakyat dan mengancam kerajaan yang dilantik secara sah.
Serlah sikap hipokrit pembangkang






KUALA LUMPUR 23 Jun - Sikap hipokrit pakatan pembangkang akan terserlah jika kesemua 89 Ahli Parlimennya hadir mengangkat sumpah di Dewan Rakyat esok sebagai mengiktiraf mereka sebagai wakil rakyat.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, mereka sepatutnya berasa malu untuk hadir dalam majlis tersebut sedangkan terus-menerus menganjurkan perhimpunan haram demi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dituduh satu penipuan.
Jelas beliau, mereka perlu bersikap konsisten apabila bersetuju untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat, maka segala bentuk perancangan untuk menggulingkan kerajaan wajar dihentikan.
"Apabila mereka bersetuju mengangkat sumpah esok, maka jadilah Ahli Parlimen yang bertanggungjawab. Suarakan apa yang tidak puas hati di Dewan Rakyat yang memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada mereka.
"Itu sebenarnya lebih baik daripada terpekik-terlolong di jalan raya kerana langsung tidak membawa apa-apa faedah. Dalam konteks kita mengamalkan demokrasi tanpa putus-putus sejak merdeka, sepatutnya Ahli Parlimen tunjukkan kematangan dalam menguruskan demokrasi itu," katanya kepada Utusan Malaysiadi sini hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kesemua Ahli Parlimen parti itu akan mengangkat sumpah di Parlimen esok, sekali gus menafikan dakwaan bahawa mereka akan memboikot majlis itu.
Kenyataan itu sekali gus diselar banyak pihak kerana Anwar tetap meneruskan perhimpunan haram bagi membantah keputusan PRU-13.
Dalam pada itu, Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, tindakan pembangkang itu seperti serampang dua mata dalam keadaan mereka membantah tetapi bersetuju untuk menjadi Ahli Parlimen.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat perlu sedar bahawa tindakan mereka itu hanya untuk memuaskan hati bagi menafikan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
"Kalau mereka angkat sumpah, tiada apa lagi yang perlu dipertikai. Jika mahu membantah keputusan pilihan raya, kemuka petisyen di mahkamah tidak perlu mengadakan tunjuk perasaan.
"Kita tidak faham apa rasional golongan itu berbuat demikian, adakah bertujuan untuk mengelirukan rakyat atau sekadar hobi mengganggu-gugat keamanan negara bagi memberikan tekanan kepada kerajaan agar tunduk kepada mereka, walhal itu tidak mungkin akan berlaku," katanya.
Tambah beliau, Ahli Parlimen pembangkang diingatkan untuk meneruskan agenda pembangunan negara dan menunaikan amanah rakyat sekiranya telah menerima hakikat dengan mengangkat sumpah esok.
"Rakyat boleh pertikaikan apa tujuan mereka menganjurkan perhimpunan tetapi bersetuju menjadi Ahli Parlimen.
"Keamanan dan kemajuan negara perlu diteruskan, jalankan tugas dan amanah yang telah diberikan rakyat," katanya.

Jangan musnah negara


Jangan musnah negara
 Seri Paduka mahu wakil rakyat rapatkan saf, berganding bahu

Peringatan Yang di Pertuan Agong Kepada Ahli Parleman yang mengangkat sumpah  jawatan kelmarin dan mula menjalankan tugas secara rasmi sebagai wakil rakyat. 

Janganlah berbuat sesuatu perkara yang boleh memusnahkan negara. Sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan ekonomi belum tentu dapat bangkit semula dalam tempoh singkat,” titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah

Bersatu bangunkan negara 

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebaliknya bertitah, tanggung jawab wakil rakyat ialah merapatkan saf serta berganding bahu untuk membangunkan dan memajukan negara.

“Ahli Parlimen juga perlu menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Ahli Parlimen diminta dedikasi laksana tugas 
“Janganlah berbuat sesuatu perkara yang boleh memusnahkan negara. Sebuah negara yang musnah akibat persengketaan atau mengalami kejatuhan ekonomi belum tentu dapat bangkit semula dalam tempoh singkat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13, di Bangunan Parlimen semalam.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. Upacara berkenaan secara rasminya menandakan bermula sesi persidangan Dewan Rakyat selama 16 hari, mulai 24 Jun hingga 18 Julai, manakala Dewan Negara selama sembilan hari bermula 22 Julai hingga 1 Ogos ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Ahli Dewan Negara serta perwakilan asing.

Tunjukkan akhlak terpuji

Baginda yang mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Rakyat, berharap mereka berkhidmat dengan dedikasi, integriti dan sentiasa menunjukkan akhlak terpuji demi agama, maruah diri, institusi Parlimen yang mulia dan negara tercinta.

“Sematkan dalam sanubari bahawa kehadiran Ahli Yang Berhormat ke Dewan yang mulia ini adalah satu tanggungjawab bagi menunaikan janji kepada rakyat,” titah baginda.

Seri Paduka juga berharap wakil rakyat bersama-sama memikul amanah rakyat yang inginkan kestabilan dan kemakmuran negara berkekalan, kesejahteraan hidup terus meningkat serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang kukuh.

Cari titik persefahaman

Baginda juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri kerana berjaya membentuk kerajaan dan yakin kerajaan akan terus berusaha gigih membangunkan negara bagi mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Yang di-Pertuan Agong juga bersyukur kerana PRU-13 dilaksanakan dalam suasana aman dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan dan penjawat awam, selain rakyat yang menggunakan hak dan menunaikan kewajipan untuk memilih kerajaan.

Selain itu, baginda menyeru rakyat membuang sifat yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan mereka, sebaliknya mencari titik persefahaman untuk memupuk dan mengeratkan perpaduan.

Baginda juga berharap kedudukan agama Islam tidak dipersoal dan diselewengkan untuk kepentingan mana-mana pihak sehingga memesongkan akidah umat Islam.

“Kerajaan beta komited untuk memartabatkan Islam berteraskan Maqasid Syariah dan akan terus memelihara kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan,” titah baginda.

Seri Paduka juga menyatakan penghargaan terhadap komitmen kerajaan dan rakyat yang sentiasa memberi bantuan kemanusiaan sokongan sokongan kepada rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali hak mereka sebagai bangsa merdeka dan berdaulat.

“Beta berharap melalui Gerakan Kesederhanaan Global, Malaysia terus memainkan peranan dalam mengeratkan kerjasama ASEAN dan membantu mewujudkan keamanan serta dan kesejahteraan global terutama di rantau ini dan dunia,” titah baginda.

Seri Paduka juga merakamkan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban mempertahankan negara dalam insiden serangan kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, pada Mac lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.