Pages

Subscribe:

14 Oktober, 2013

[hang nadim]Worship ignite welcome adha.....

PADA setiap 10 Zulhijjah iaitu hari ini, umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha iaitu satu lagi hari kebesaran dalam Islam selain Hari Raya Aidilfitri.
Alhamdulillah, kita dapat menyambut perayaan ini dalam keadaan aman damai serta rezeki yang melimpah ruah dalam negara yang tercinta ini. Semoga Allah memelihara nikmat dan keamanan yang kita kecapi ini.
Dalam masa yang sama iaitu pada 9 Zulhijjah, jutaan jemaah haji akan berada di Arafah untuk berwukuf bagi menyempurnakan rukun haji. Wukuf bermaksud berhenti atau berada di Padang Arafah pada masa yang ditetapkan.
Wukuf sangat penting kerana Nabi SAW bersabda: “Haji itu mesti berwukuf di Arafah". (riwayat Nasai dan Tirmidzi)
Malangnya, masih ramai dalam kalangan kita yang tidak memberi perhatian kepada beberapa amalan sunat lain yang terkandung dalam Aidiladha.
Walhal Aidiladha menyediakan banyak peluang untuk kita melakukan pelbagai ibadat sunat dalam usaha mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada sepuluh Zulhijjah". (riwayat Abu Hurairah).
Apabila tiba 10 Zulhijjah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Korban, maka hendaklah menggandakan usaha melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.
Dari segi bahasa korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya". (riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).
Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah iaitu pada hari nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah).
Dalam kemeriahan melakukan ibadat korban, mari kita memperbaiki ibadat sunat muakkad di dalamnya. Di Malaysia, kebanyakan penduduk taman perumahan di kampung atau di bandar menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah.
Apa yang perlu diperhalusi adalah dalam segi sifat ihsan kita semasa menyembelih haiwan sama ada lembu, kambing mahu pun unta. Janganlah kita melakukan ‘penyeksaan’ tanpa disedari. Antaranya duduk di atas haiwan tersebut, menindih badannya dengan pelbagai jenis kayu, menjatuhkannya dengan kasar dan lebih kejam lagi melapahnya sebelum ia benar-benar mati.
Begitu juga dengan petugas dan penerima daging korban. Jangan hendaknya belum pun selesai kerja-kerja memotong daging korban, ekor lembu sudah hilang atau ada yang mengambil daging melebihi daripada yang sepatutnya.
Berhati-hatilah supaya usaha kita membantu kerja-kerja menyembelih haiwan korban yang sepatutnya mendapat ganjaran pahala bertukar kepada beroleh dosa gara-gara mengambil hak orang lain.
Selain itu, marilah kita mengamalkan lain-lain perkara sunat semasa Hari Raya Aidiladha seperti berikut:-

* Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
* Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
* Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
* Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
* Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat hari raya.
* Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.
* Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
* Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
* Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
* Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
* Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
* Elakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah syarak.

Kita juga digalakkan banyak membaca doa Nabi Yunus iaitu Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.
Ketika ditelan oleh ikan nun, dalam kegelapan malam dan kegelapan lautan, Nabi Yunus berdoa dengan doa ini. Lalu, Allah menyelamatkannya dan ikan itu memuntahkannya.
Selain itu, kita disunatkan memperbanyakkan bertakbir sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hiasilah hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)". (riwayat al-Tabrani).
Aidiladha adalah bagi mengikis kelekaan terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau sanggup mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.
Namun, bukanlah wang ringgit yang dibelanjakan untuk membeli lembu dan kambing korban itu yang menjadi ukuran. Sebaliknya, keikhlasan pada mereka yang mengerjakan ibadat itu menjadi penentu diterima atau tidak amalan tersebut.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Daging-daging korban serta darahnya sekali-kali tidak akan dapat mencapai (keredaan Allah SWT, tetapi ketakwaan (orang yang menunaikan ibadah korban) itulah yang dapat mencapainya, demikianlah Allah SWT telah menunjukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah kerana (memberi) hidayahnya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang berbuat baik. (al-Hajj: 37).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131015/re_02/Semarakkan-ibadat-sambut-Aidiladha#ixzz2hkzLbOdL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.