Pages

Subscribe:

12 September, 2009

Umat Islam digalak ziarah, hulur bantuan ringankan beban orang sakit

Editor :PenaHalaqah
SETIAP penyakit yang didatangkan Allah kepada kita umat Islam semuanya adalah ujian terhadap keimanan kita kepada-Nya. Ujian itu sama ada besar atau kecil bertujuan menghapuskan dosa jika kita bersabar.

Semua penyakit yang didatangkan Allah mempunyai ubat kecuali penyakit tua dan mati atau sampai ajal seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Mereka bertanya: Ya Rasulullah, apakah kami berubat? Baginda menjawab; Ya Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah meletakkan penyakit dan diletakkan pula penyembuhannya, kecuali satu penyakit iaitu penyakit ketuaan."
(Riwayat Abu Sunnah)

Sementara itu, Allah juga memberi ganjaran kepada orang yang menziarahi orang sakit. Daripada Thauban, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Orang yang menziarahi orang sakit sentiasa berpeluang 'memungut' ganjaran dari syurga sehinggalah ia pulang." (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudaranya yang seagama, maka memanggil akan dia oleh malaikat: Baik engkau dan baik perjalanan engkau dan sesungguhnya engkau telah menempatkan dalam syurga suatu tempat yang baik."

Dalam keadaan pesakit terlantar di katil hospital atau rumah, mereka akan rasa dihormati jika ada saudaranya, kaum kerabatnya dan kawan serta kenalannya datang menziarah. Kunjungan itu akan mengurangkan bebanan perasaan serta mengurangkan rasa sakitnya.

Tetapi seandainya tidak ada keluarga dan kawan menziarahi, dia akan berasa terasing, sedih dan pilu. Ini akan menambahkan lagi bebanan rasa sakitnya. Oleh itu, menziarahi orang sakit sangat digalakkan oleh Islam.

Cegahlah segala penyakit, sebab itu lebih utama daripada mengubatinya. Dalam kehidupan umat Islam, sesudah nikmat iman, tidak ada pemberian Allah yang lebih baik daripada nikmat kesihatan.

Oleh itu, jika menghidap penyakit segeralah diubati supaya tidak melarat dan mendatangkan lebih banyak mudarat.

Jangan sesekali meminta kepada orang biasa atau dukun pengamal mistik yang mengaku mempunyai ilmu ghaib. Barang siapa mendatangi mereka maka Allah tidak akan menerima sembahyangnya selama 40 hari.

Sementara itu, jangan berubat dengan benda haram, misalnya alkohol, binatang atau benda lain yang diharamkan Allah kerana Allah yang menciptakan penyakit tidak menjadikan yang haram sebagai penyembuh.

Uthman bin Abu al-Ass mengadu kepada Rasulullah SAW akan kesakitan dirasai pada jasadnya sejak ia memeluk Islam, lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
"Letakkan tangan engkau pada bahagian jasad yang engkau merasai sakit dan katakanlah: Dengan nama Allah, sebanyak tiga kali, kemudian katakanlah sebanyak tujuh kali: Aku mohon berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya daripada keburukan yang aku dapat dan aku berwaspada." (Hadis riwayat Muslim)

Sementara itu, Rasulullah SAW juga mengajar doa menziarahi orang sakit. Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Orang yang menziarahi pesakit yang belum tiba saat kematiannya, lalu ia berkata di sisinya, sebanyak tujuh kali: Aku bermohon kepada Allah Yang Maha Besar, Tuhan 'Arasy yang Agung, agar menyembuhkan engkau. Nescaya Allah akan menyelamatkannya daripada penyakit itu." (Hadis riwayat Abu Daud)

Jelaslah sakit dan penyakit adalah ujian Tuhan kepada hambanya. Setiap orang akan merasa sakit sama ada sakit berat atau ringan. Setiap penyakit ada ubatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Allah menurunkan penyembuhan untuknya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Apabila anda sedang sakit, bersabar dan bertawakal sambil berikhtiar untuk berubat. Penyakit datang dengan tiba-tiba, sedangkan penyembuhannya memerlukan waktu yang lama. Harus diingat, doktor hanya mampu mengubati sedangkan yang menyembuhkan adalah Allah.

Bagi mengelakkan penyakit, selalu bersenam, jangan makan terlalu kenyang ini kerana terlalu banyak makan mengakibatkan timbulnya penyakit jantung, darah tinggi, hati dan paras kolesterol tinggi.

Umat Islam juga diingatkan mengelakkan penyakit yang mengaibkan dan berbahaya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan segala penyakit yang berbahaya."

Dan dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada mati sebab jatuh ke dalam telaga, mati akibat runtuhan, tenggelam, kebakaran dan aku berlindung daripada dibinasakan oleh syaitan ketika hendak mati, aku berlindung kepada-Mu, dan aku berlindung daripada mati kerana sengatan binatang yang bisa." (Hadis riwayat al-Nasai dan al-Hakim)

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul memang dipelihara Allah daripada sebarang penyakit jelik. Bahkan Baginda mengingatkan kepada umatnya supaya berusaha mengelakkan dan menjauhi penyakit yang mengaibkan dan perkara buruk lain.

Sakit adalah takdir Allah yang menimpa kepada sesiapa dikehendakinya. Tidak ada orang yang meminta untuk mendapat penyakit. Tetapi apabila penyakit menimpa, maka hendaklah kita bersabar menerima takdir Allah dan berusaha supaya disembuhkan daripada penyakit itu.


--------------------------------------------------------------------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.