Pages

Subscribe:

17 September, 2010

[ hang nadim ] Pelakon veteran M. Rajoli meninggal dunia 17/09/2010 11:44pm M. Rajoli, 65





KUALA LUMPUR 17 Sept. – Pelakon veteran, M. Rajoli, 65, meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam ini di Hospital Ampang di sini selepas dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami tekanan darah rendah dan masalah jantung sejak semalam.

Sewaktu dimasukkan ke hospital tersebut, pelakon itu sudah didapati semakin tenat dan diberi alat bantuan pernafasan kerana masalah yang dihadapinya itu.

Menurut anak bongsu pelakon itu, Mohd. Arif Rajoli, 23, berkata, keadaan bapanya semakin kritikal awal malam ini sehingga diletakkan di bawah pemerhatian rapi doktor.

“Bagaimanapun bapa saya telah meninggal dunia pada pukul 11 malam kerana masalah kesihatan yang dihadapinya itu.

‘‘Sebelum ini bapa saya kurang sihat dan terlantar di rumah sejak menjalani pembedahan di bahagian kepala kerana menghidap penyakit tumor. Dia menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala.

“Dia pernah menjalani rawatan susulan kimoterapi kerana penyakit itu,” katanya kepada Utusan Malaysia malam ini.

M. Rajoli ampunkan isteri, anak-anaknya



HASHIMAH Md. Din menyiram air ke pusara M. Rajoli di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Pelakon veteran, M. Rajoli sempat memaafkan dua isteri dan empat anaknya sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang di sini, malam tadi.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Muhammad Ariff, 23, dia sempat berbisik ke telinga M. Rajoli memohon maaf bagi pihaknya dan ahli keluarga yang lain jika pernah melakukan kesalahan dan menyinggung perasaan bapanya itu.

"Arwah bapa saya koma dua jam sebelum meninggal dunia. Saya sempat berbisik ke telinganya memohon maaf semasa dia dalam keadaan itu. Dia mengerdipkan matanya dan menganggukkan sedikit kepala selepas itu.

"Saya faham isyarat arwah bapa saya itu," katanya sewaktu ditemui pemberita selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Aqram Jalan Datuk Keramat pada pukul 9.30 pagi dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu pada pukul 10.30 pagi.

Hadir sama isteri pertama Allahyarham, Hashimah Md. Din dan anak-anaknya. Kelibat isteri keduanya yang merupakan bekas pembaca berita RTM, Wan Chik Daud tidak kelihatan.

Ketika ditanya, Muhammad Ariff menjelaskan, dia menjemput ibu tirinya hadir ke upacara itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi Wan Chik membalas dengan mengatakan dia tidak dapat hadir.

"Dia (Wan Chik) kata walaupun tidak dapat hadir tetapi dia yakin akan berjumpa juga dengan arwah bapa di akhirat kelak," jelas Muhammad Arif yang turut membacakan talkin untuk Allahyarham.

Sementara itu, pemergian Allahyarham ke rahmatullah bukan sahaja dirasai oleh isteri dan anak-anaknya tetapi juga rakan-rakan seperjuangan Allahyarham dalam bidang lakonan yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Pengarah Yusof Kelana menyifatkan Allahyarham yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan sebagai pelakon versatil dan komited dalam kerjayanya sejak bergelar pelakon pada 1964 melalui filem Ibu Ayam arahan Salleh Ghani.

"Saya pernah mengarahkan filem berjudul Juara pada 1991 yang dilakonkan oleh Allahyarham. Dalam filem itu Allahyarham melakonkan watak komedi. Saya tidak sangka dia juga sebenarnya pelakon komedi.

"Ini kerana, selama ini ramai yang beranggapan Allahyarham hanya sesuai melakonkan watak orang alim sahaja. Beliau mampu melakonkan pelbagai watak dan komited sewaktu di lokasi penggambaran," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.