Pages

Subscribe:

20 Disember, 2010

[hang nadim] 300 penduduk bantah pemaju....

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusan.com.my














SEBAHAGIAN daripada penduduk di sekitar kawasan Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam berkumpul di tapak pembinaan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemaju projek perumahan berdekatan kediaman mereka yang didakwa tidak mengikut peraturan ditetapkan PBT. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 19 Dis. - Kira-kira 300 penghuni kawasan perumahan di Jalan Kristal, Seksyen 7, di sini mengadakan bantahan terhadap sebuah syarikat pemaju projek kediaman mewah yang mereka dakwa gagal mematuhi peraturan pembangunan yang ditetapkan.

Menurut mereka, pemaju projek berkenaan bukan sahaja tidak membina penghadang dan papan tanda projek, tetapi juga tidak menghiraukan sensitiviti serta keselamatan penduduk apabila membiarkan kenderaan berat melalui jalan perumahan secara berleluasa.

Wakil penduduk perumahan berkenaan, Razak Desa memberitahu, pihaknya telah mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenai masalah itu sebelum ini.

Katanya, difahamkan pihak pemaju terlibat telah dikompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu beberapa kali sebelum ini namun terus berdegil dengan melakukan aktiviti mereka seperti biasa.

"Jarak projek itu dengan rumah kami hanya lapan meter. Mereka bukan sekadar tidak menaikkan pakan tanda projek pembinaan, pagar yang memisahkan kawasan perumahan kami dengan tapak projek itu pun dirobohkan untuk laluan lori dan kenderaan berat lain.

"Kami khuatir anak-anak yang sering bermain di luar mungkin berhadapan dengan risiko kemalangan," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, seorang lagi wakil penduduk, Yusof Ahmad berkata, sejak pemaju berkenaan menggunakan laluan kawasan perumahan sebagai pintu masuk ke tapak projek itu, ia telah menyebabkan persekitaran kediamannya kotor lebih-lebih lagi selepas hujan lebat.

Malah katanya, ketika cuaca panas dan kering para penduduk kawasan itu terpaksa berhadapan dengan masalah debu.

"Pemaju hanya mengambil jalan singkat menggunakan laluan ini untuk ke tapak projek sedangkan ada laluan lain yang boleh digunakan.

"Kenapa mereka gunakan laluan di kawasan perumahan ini, siap robohkan pagar di kawasan ini. Setahu saya, projek pembinaan berhampiran kawasan perumahan perlu dibina penghadang," ujarnya.

Tambahnya, selain sikap tidak bertanggungjawab pemaju, penduduk di kawasan itu turut kesal dengan pemilik tanah berkenaan yang dikatakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana tidak menjalankan pemantauan terhadap projek dan pemaju yang dilantik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.