Pages

Subscribe:

19 Disember, 2010

[hang nadim] Pulau Pinang oh Pulau Pinang....????





Kampung Teluk Kumbar tidak jadi roboh esok

PULAU PINANG 19 Dis. - Pemaju Kampung Teluk Kumbar, KL Metro Land Development Sdn. Bhd. (KL Metro) menafikan khabar angin bahawa kerja-kerja merobohkan rumah-rumah di kampung tersebut akan dijalankan esok.

Pengarah Projek KL Metro, Wong Fok Ten berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun tarikh tertentu kepada penduduk untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

Jelas beliau, tindakan untuk merobohkan rumah-rumah di kampung yang berusia lebih 100 tahun itu hanya akan dilaksanakan selepas keputusan mengenainya dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada tempoh terdekat.

''Selagi tiada keputusan dan arahan dikeluarkan daripada pihak mahkamah, selagi itulah kami tidak akan bertindak.

''Yang menjadi persoalannya, siapa yang pandai-pandai memaklumkan kepada penduduk di situ mengenai operasi meroboh yang akan dijalankan esok sedangkan kami tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya di sini hari ini.

Hari ini, timbul keluh kesah di kalangan penduduk yang mendengar khabar angin rumah mereka akan dirobohkan esok.

Dakwa mereka, perkara itu diketahui dua minggu lalu daripada salah seorang anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas pemaju membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Fok Ten enggan mengulas mengenai pampasan seunit rumah ganti yang diminta penduduk dan meminta mereka merujuk perkara tersebut terus kepada Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Teluk Kumbar, Mahathir Abd. Rahman, 36, memberitahu, pihaknya tetap akan membuat persiapan rapi walaupun pihak pemaju menafikan akan merobohkan rumah-rumah tersebut.

Ini kerana, katanya, pemaju hanya mahu menyembunyikan perkara sebenar sedangkan sebelum ini mereka mengeluarkan kenyataan yang sama tetapi kerja merobohkan rumah tetap diteruskan.

''Sehingga hari ini, pemaju masih tidak mengendah permintaan penduduk kampung berhubung permohonan pampasan seunit rumah ganti.

''Mereka tetap dengan keputusan memberi wang ganti rugi sebanyak RM30,000 ke bawah kepada setiap penduduk," katanya.

Pada 29 November lalu, lebih 60 penduduk kampung berkenaan berhimpun di pekarangan rumah masing-masing bagi membantah tindakan pemaju meroboh kediaman mereka bagi memberi laluan kepada projek pembinaan hotel.

Tindakan yang sama turut dibuat sebelum itu iaitu pada 12 November lalu, apabila kesemua penduduk telah mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah keputusan pemaju setelah Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis pengosongan kediaman tersebut berkuat kuasa 1 November.

Nilai kontrak: Guan Eng didakwa sengaja sembunyi fakta

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Sebuah laman blog mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sengaja menyembunyikan fakta berhubung nilai kontrak diperoleh kontraktor bumiputera di negeri itu.

Ia berikutan tindakan beliau pada Rabu lalu yang hanya mendedahkan nilai kontrak bagi dua jabatan yang diperoleh kontraktor bumiputera sepanjang pemerintahan kerajaan DAP Pulau Pinang itu.

Ia melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), bukannya keseluruhan projek seperti yang didesak pelbagai pihak sejak sebulan lalu.

Laman blog www.pisau.net dalam entri terbarunya berkata, nilai keseluruhan 34 tender bagi kedua-dua jabatan itu hanya RM61.3 juta.

''Ternyata Guan Eng cuba memperbodohkan rakyat dengan angka-angka.

''Mengapa beliau tidak dedahkan tender projek menambun tanah di Batu Kawan yang diberikan kepada hanya satu kontraktor Cina, Khor Ing Choon daripada ECK Sdn. Bhd. (ECK) melalui runding terus bernilai RM74 juta.

''Ini baru satu kontraktor. Ada banyak lagi projek bernilai puluhan juta yang diberikan secara runding terus kepada kontraktor Cina," kata blog itu.

Sebelum ini, blog berkenaan turut mendedahkan penipuan kerajaan DAP Pulau Pinang yang memberikan wang hasil judi kepada warga emas di negeri itu.

Guan Eng ketika membuat pengumuman itu berkata, kontraktor bumiputera mendapat 100 peratus nilai projek JPS negeri itu dan 98 peratus nilai projek JKR negeri di bawah peruntukan kerajaan Pulau Pinang.

Menurut blog berkenaan, kontraktor daripada ECK itu memperoleh kontrak berkenaan secara runding terus melalui Guan Eng yang mempengerusikan Lembaga Tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

''Di manakah yang dikatakan ketelusan? Telah Pisau katakan sebelum ini, Guan Eng tidak pernah bercakap benar," katanya.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Norman Zahlan dalam satu kenyataan di laman web http://umno-online.com turut mengakui betapa kerajaan DAP Pulau Pinang sememangnya tidak telus dan sentiasa membuat kenyataan putar-belit.

Tegasnya, laungan kononnya kerajaan negeri itu adil, telus dan bersih hanyalah pembohongan semata-mata.

''Mana ada ketelusan, kononnya tender terbuka. Kalau ada tender terbuka pun ia hanyalah projek kecil sehingga yang bernilai RM2,000 pun ada cabutan undi. Tetapi projek besar semuanya dibuat atas dasar rundingan terus.

''Apa yang didedahkan hanya putar-belit, bukan tender secara keseluruhannya terutama yang bernilai jutaan ringgit. Cukup-cukuplah menipu rakyat," katanya.

Anwar dicabar dedah bukti 1Malaysia tiru 'One Israel'

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mendedahkan bukti berhubung dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia diilhamkan oleh Apco Worldwide, syarikat perunding Amerika Syarikat yang dituduhnya di belakang kempen One Israel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cabaran itu dibuat berdasarkan tindakan Anwar sebelum ini yang sering kali mengugut kononnya mempunyai maklumat rahsia tetapi tiada apa yang didedahkan.

Apa yang hanya terdedah setakat ini katanya, hanyalah maklumat mengenai tindakan 'pelik' Penasihat PKR itu oleh WikiLeaks.

"Itu pun beliau tuduh polis bersekongkol dengan agensi perisikan negara berdaulat seperti Singapura dan Australia.

"Semua perkara mahu salahkan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan. Pembakaran gereja, isu kepala babi dan kepala lembu... Sampaikan kerusi dan meja terbang dalam pemilihan PKR pun salahkan BN. Semua itu tidak masuk akal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Mesra Rakyat Menteri Dalam Negeri bersama warga Ampang di Kawasan Perindustrian Hata, Pandan Mewah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Anwar baru-baru ini digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana menuduh gagasan 1Malaysia ditiru daripada 'One Israel'.

Dalam siri jelajah dilakukannya di beberapa kawasan baru-baru ini, beliau mendakwa akan terus mendedahkan bukti-bukti mengenai perkara itu dan kerjasama kerajaan dengan APCO.

Hishammuddin menambah, ugutan seperti itu bukan kali pertama dilakukan Anwar.

"Kalau dulu, Anwar kata mempunyai banyak kotak maklumat rahsia untuk didedahkan tetapi sampai hari ini tiada satu pun didedahkannya.

"Saya percaya, kalau beliau betul ada bukti, sudah lama beliau akan dedahkan apa yang tidak betul," ujarnya

DAP mengaku pembangkang gagal tunai janji di Perak

KEPALA BATAS 19 Dis. - DAP mengakui pakatan pembangkang di Perak gagal melaksanakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat sepanjang sembilan bulan mentadbir negeri itu dan ia dilihat berterusan sehingga hari ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Perak, V. Jayabalan berkata, antara kegagalan pakatan itu adalah untuk mengukuhkan perpaduan antara komponen dan parti masing-masing di Perak.

Menurutnya, ia jelas dapat dilihat ketika pemilihan barisan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang tidak mempunyai komposisi perkauman yang stabil walaupun ia dijalankan secara demokrasi.

"Selepas menerima mandat daripada rakyat, kita (pakatan pembangkang) tidak mengambil langkah melantik pegawai kerajaan negeri yang menyokong kita.

"Ini merupakan faktor utama ketidakseimbangan dalam hal kerajaan negeri," katanya dalam perbahasan pada Konvensyen Pakatan Pembangkang Kedua di sini hari ini.

Jayabalan memberitahu, janji untuk mencapai sasaran setinggan sifar juga tidak terlaksana terutama membabitkan setinggan terdiri dari kaum India.

Tambahnya, mereka turut gagal menunaikan janji menyediakan peluang pekerjaan bagi kaum India seperti dijanjikan ketika kempen pilihan raya umum lalu.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa sokongan padu yang diterima pada pilihan raya umum lalu yang membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang bukan disebabkan kebolehan kita sebaliknya kerana kebencian rakyat kepada Barisan Nasional (BN)," katanya

Pemimpin PKR bertengkar dalam Twitter

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan semalam meluahkan perasaan tidak berpuas hati menerusi laman sosial mikro, Twitter berhubung pelantikan beberapa individu bagi menganggotai Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Gobalakrishnan menghantar mesej pertama beliau sejurus selepas Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan senarai barisan kepimpinan MPP yang dilantik.

Antaranya termasuk seorang peguam kurang dikenali, N. Surendran yang dilantik sebagai naib presiden parti itu dipercayai atas kuota kaum India parti berkenaan.

Gobalakrishnan yang tewas dalam pemilihan jawatan naib presiden dikatakan menaruh harapan dilantik ke jawatan itu.

''Adakah DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat keputusan yang betul untuk orang India di Malaysia?'' katanya dalam laman sosial mikro itu.

Mesej beliau dijawab oleh Exco Kerajaan PKR Selangor, Elizabeth Wong:

''MPP buat keputusan yang betul untuk rakyat Malaysia."

Gobalakrishnan menjawab: ''(Keputusan) ini bukan untuk MPP atau awak tapi untuk Anwar. Saya tidak tipu atau guna orang lain untuk tipu dengan kertas undi."

Bagaimanapun setelah lama menunggu tanpa sebarang jawapan daripada Elizabeth, Gobalakrisnan terus menghantar mesej:

''Saya sedang menunggu awak jawab seperti saya pertahankan awak ketika gambar bogel awak diedarkan.''

Berikutan tiada juga jawapan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan itu, Gobalakrishnan sekali lagi menghantar mesej:

''Elizabeth pergi tengok diri sendiri di cermin sebelum kau kata pada orang yang Gobala akan sertai (parti KITA ) Zaid."

Gobalakrishnan adalah penyokong Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim semasa beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sebelum ini.

Perasaan tidak puas hati Gobalakrisnan bagai tidak boleh dibendung lagi apabila dia menghantar mesej pula kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk bertanya:

''Surendran ini ahli di cabang mana?''

Jawab Nurul Izzah: ''Surendran ahli cabang Lembah Pantai."

Tidak lama selepas itu, Gobalakrishnan 'menyerang' Anwar dengan mesejnya kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

''Keangkuhan kuasa menafikan pembangunan sesuatu masyarakat melalui kebencian antara pimpinan.

''26 keluarga di Ladang Tuan Mee, Ijok masih kongsi air minuman dengan itik.

''Saya tak suka dengan pemimpin yang suka berpura-pura,'' kata Gobalakrishnan.

Ladang Tuan Mee adalah kawasan estet di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok yang diwakili Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perang Twitter yang boleh dibaca ribuan ahli laman sosial mikro itu turut meresahkan beberapa pemimpin Pas termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat parti itu, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa kemudiannya menghantar mesej bagi menegur kedua-dua pemimpin PKR terbabit supaya tidak bergaduh di alam siber.

''Cakap terus dengan DS (Anwar) apa pun masalah dalaman, kenapa tweet kepada umum. Direct message/sms,'' katanya.



Nukilan hati hang nadim
Walau bagaimana pun kita berhati-hati dalam tindak Tanduk kerana perpaduan kaum dan
Bangsa adalah satu cara bagi kemakmuran Negara dan Bangsa....Ingat kita capai kemerdekaan dengan cara pemikiran dan kebijaksanaan Pemimpin tanpa menyusahkan rakyat dan memusnahkan perpaduan....tanpa pertumpahan darah....marilah rakyat malaysia hidup secara permuafakatan...apa yang kita cari....Adakah kita perlu permusuhan Tidak...permusuhan tidak menguntungkan sesiapa kecuali keapada pemimpin yang tamak dan gila kuasa....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.