Pages

Subscribe:

24 April, 2011

[hang nadim] Kembali kepada al-Quran, sunah bila berbeza.....















TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail beramah mesra dengan Sheikh Dr. Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais pada Seminar Berpegang Kepada al-Quran dan Sunah di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 24 April - Umat Islam perlu membebaskan diri daripada sikap suka menuduh dan melabelkan antara satu sama lain sehingga terheret ke lembah kehancuran dan kehinaan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, umat Islam yang bersaudara juga seharusnya akur dengan perbezaan yang wujud antara manusia, namun pada masa sama tidak sesekali mencemarkan persaudaraan sesama sendiri.

Justeru titah baginda, umat Islam hendaklah kembali kepada Allah dan rasul iaitu dengan merujuk kepada ajaran al-Quran dan sunah apabila berlaku perbezaan pendapat.

"Apa yang perlu kita belajar dan pertingkatkan adalah cara untuk memahami antara satu sama lain, berlapang dada dengan perbezaan, sudi mendengar dan bertukar-tukar fikiran dalam suasana yang harmoni dan penuh ketamadunan," titah baginda ketika merasmikan Seminar Berpegang Kepada al-Quran dan Sunah, di sini malam tadi.

Hadir pada majlis itu ialah Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr. Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As- Sudais; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penyelarasan tindakan dan pelaksanaan yang berorientasikan syura serta penghayatan nilai-nilai sejagat akan menjadi kunci kekuatan umat Islam.

"Insaflah bahawa sebarang perbalahan hanya membawa kerugian. Sangkaan buruk dan sikap suka menuding jari hanya akan mencetuskan permusuhan.

"Dalam sejarah, bukan sedikit perbalahan, penyeksaan dan pembunuhan berlaku hanya disebabkan perbezaan antara umat yang sebenarnya remeh-temeh, bukan terlalu besar dan masih boleh dirunding atau ditangani dengan harmoni," titah baginda.

Baginda bertitah, kebijaksanaan dan sikap saling menghormati sangat penting dalam kehidupan manusia agar sejarah yang pahit itu tidak berulang.

Larangan dalam agama demi keamanan bukan bebankan manusia
Oleh Muhammad Toriq Yaacob
2011/04/25
ISLAM agama keamanan. Menurut Dr Mahmood Mustafa Ayoub dalam buku karangannya, Islam Faith And Practice, Islam adalah kalimah terbitan daripada perkataan 'salama' yang bermaksud 'mempersetujui dan memperakui sesuatu atau memiliki keamanan.'

Kata kerjanya ialah ‘aslama’ yang bermaksud menyerahkan segala urusan hidup kepada kehendak Allah. Muslim adalah mereka yang melakukan penyerahan itu.

Agama Islam mempunyai prinsip undang-undang bertujuan memberi keamanan kepada manusia. Ini dapat dilihat daripada pelaksanaan syariah dalam kehidupan manusia. Al-Quran menjelaskan matlamat ini di dalam surah Anbia, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Inilah tujuan sebenar perutusan Rasulullah SAW yang memperkenalkan sistem syariah Islam kepada manusia. Syariah mempunyai konsep keadilan dan keamanan.

Dr Mohammad Hashim Kamali dalam bukunya, Principles Of Islamic Jurisprudence menyatakan kalimah rahmah membawa pengertian jelas mengenai apa yang ingin disampaikan oleh al-Quran dan Sunnah iaitu menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan manusia, mengelakkan daripada terjadinya sebarang kerosakan dan membina keadilan seterusnya membina keamanan sejagat.

Dengan penjelasan ini, rahmat yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah pelaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia yang perlu dijaga dan dipertahankan dari sebarang unsur yang boleh membawa kepada kemusnahannya.
Ulama Usulul Fiqh menjelaskan ada tiga pembahagian maslahah iaitu dhoruriyyat, hajiyyaat dan tahsiniyyat.

Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan dhoruriyyat ialah perkara sangat diperlukan manusia bagi menjamin kehidupan sempurna. Dhoruriyyat juga bagi memastikan kehidupan manusia tidak terjejas.

Lima perkara yang sangat diperlukan itu adalah agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik beratkan dan dilindungi.

Manusia memerlukan agama yang benar untuk memastikan aktiviti harian mereka dipandu oleh prinsip dibawa agama itu kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa panduan agama.

Lantaran kepentingan agama, Allah mengizinkan sahabat pada zaman Rasul SAW berperang bagi melindungi agama Islam dari dimusnahkan oleh musuh Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa menolong mereka.” (Surah Al-Hajj, ayat 39)

Islam menitikberatkan aspek menjaga jiwa dan Allah menegah sama sekali manusia daripada melakukan perbuatan membunuh bertujuan memberi jaminan kepada perlindungan jiwa mereka.

Begitu juga penjagaan keturunan daripada sebarang unsur yang boleh merosakkannya. Daripada keturunan, terbinanya kesinambungan zuriat manusia di dunia. Penekanan Islam ini dapat dilihat daripada pengharaman zina.

Islam tidak hanya melarang perbuatan boleh membawa kepada zina, bahkan turut menyediakan hukuman kepada mereka yang melakukan zina. Larangan mendekati zina dengan ketetapan hukuman membuktikan Islam mementingkan perlindungan keturunan.

Hukuman yang ditetapkan bukan bertujuan mendenda mereka yang melakukan perbuatan itu, tetapi di sebalik pelaksanaan hukuman tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia.

Akal penting kerana dengan pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan dilakukan tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan penting bagi manusia kerana ia mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan langsung kepada keharmonian hidup.

Perkara terakhir perlu dilindungi manusia ialah harta. Untuk mendapatkan harta, manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Harta membantu manusia memenuhi keperluan untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya.

Sesungguhnya, Islam tidak sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam selaku agama milik Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada pada manusia.

Allah sama sekali tidak membebankan makhluk dengan hukuman yang ditetapkannya. Semua bentuk larangan Allah mengandungi kemudaratan kepada manusia dan semua perkara yang dihalalkan Allah mengandungi hikmah kebaikan kepada manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban serta belenggu (kesusahan) yang ada pada mereka” (Surah al-Araf, ayat 157)

Syor pinda Perkara 3 hanya cetus kekeliruan
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

2011/04/25
Pengiktirafan Islam sebagai agama Persekutuan tidak perlu dipertikai meskipun tiada perkataan rasmi

PERUNTUKAN Islam agama bagi Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan wajar dikekalkan dalam bentuk sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketika menjawab persoalan di Parlimen minggu lalu.
Katanya, Islam adalah agama bagi Malaysia dengan semua kaum dan keturunan sudah sepakat menerima peruntukan itu yang bersifat sederhana dan membolehkan prinsip Islam dilaksanakan dalam maksud luas serta komprehensif. Ia termasuk mengiktiraf hak kebebasan rakyat untuk menganut dan mengamalkan agama lain serta penerimaan itu adalah hakikat penerusan kepada kedaulatan agama Islam yang dianuti oleh negeri Tanah Melayu sebelum kedatangan British lagi.

Jamil berkata, pindaan perkataan ‘agama rasmi bagi Persekutuan’ akan menyempitkan keluasan skop pemakaian peruntukan itu menjadikan agama Islam terhad kepada upacara rasmi, ritual dan keagamaan semata-mata.

Beliau berkata, cadangan meminda peruntukan Islam di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan juga perlu mengambil kira tujuan dasar di sebalik pindaan itu dan implikasinya kepada perundangan negara.

Penafsiran bagi Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan ini adalah jelas dan sudah diputuskan oleh beberapa kes di mahkamah. Namun, masih ramai yang salah faham Perkara 3 ini dengan menyatakan Islam agama rasmi negara sedangkan perkataan rasmi tidak wujud dalam Perkara 3.
Oleh itu, pendekatan yang benar ialah Islam agama bagi Persekutuan bukan agama rasmi Persekutuan. Dalam konteks ini, Islam haruslah diberi makna sebenar bukan makna yang dimahukan sesetengah golongan.

Dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Fairuz, memberi makna Islam bukan himpunan dogma dan ritual tetapi juga satu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.

Kes Meor Attiqurrahman melawan Fatimah Sihi pula, Hakim Mohd Noor memutuskan, Islam adalah agama bagi Persekutuan tapi agama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah agama utama antara agama lain yang dianuti di negara seperti Kristian, Buddha dan Hindu.

Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran.

Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah agama bagi Persekutuan, tetapi adalah salah satu antara beberapa agama yang dianuti di wilayah ini dan setiap orang bebas mengamalkan agama dianuti. Tiada lebih antara satu sama lain.

Dengan mengatakan Islam agama rasmi akan merendahkan martabat dan kedudukan Islam sedangkan ia tidak langsung bersandarkan nas perundangan yang betul. Kesilapan pemimpin pada masa lalu dalam mentafsir Perkara 3 tidak sepatutnya terus menghantui kita pada zaman ini kerana sudah diperjelaskan melalui penghakiman diputuskan oleh mahkamah.

Sejarah mendapati kedudukan Islam amat tinggi walaupun sebelum kedatangan penjajah seperti tercatat dalam Batu Bersurat Terengganu, Undang-Undang 99 Perak dan Kanun Melaka.

Banyak lagi dokumen yang boleh menyokong penemuan ini yang menjurus kepada pengamalan Islam sebagai suatu sistem masyarakat tersusun bagi rakyat di Tanah Melayu ketika itu.

Kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah kesinambungan apa yang ada sebelum Perlembagaan Persekutuan ditulis. Ia tidak tiba-tiba muncul ketika negara merdeka. Ia juga hasil perbincangan antara kaum atau kontrak sosial.

Sebelum merdeka orang bukan Melayu dianggap ‘British subjects’ kerana British membawa mereka ke Tanah Melayu untuk kepentingan British.

Tatkala rundingan untuk mendapat kemerdekaan bagi tanah Melayu, isu kewarganegaraan orang bukan Melayu timbul dan pihak British keberatan untuk menerima ‘British subjects’ ini. Atas sifat toleransi, orang Melayu bersetuju menerima bukan Melayu menjadi warga negara Tanah Melayu.

Syaratnya, kedudukan istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Islam terpelihara. Sebab itu banyak peruntukan Perlembagaan bagi memelihara keistimewaan orang Melayu, memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mempertahankan agama Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Haji: Malaysia jadi tanda aras

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

ALOR SETAR 24 April – Kecekapan Malaysia menguruskan operasi haji di tanah suci mendapat kepujian daripada kerajaan Arab Saudi sekali gus menjadi penanda aras kepada negara lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, turut mendapat pujian disiplin jemaah Malaysia ketika mengerjakan haji yang disifatkan paling tertib di dunia.

“Sehubungan itu, dalam usaha mengekalkan prestasi tersebut semua pihak termasuk pengendali haji dan jemaah perlu mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan kelak.

“Tabung Haji sendiri amat serius dalam setiap teguran yang dikemukakan oleh Arab Saudi berhubung dengan peraturan dan syarat di tanah suci,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah ke-34 di Holiday Villa, di sini hari ini.

Menurut Jamil Khir, satu mesyuarat antara semua menteri berkenaan dari seluruh negara akan berlangsung di Jeddah bermula 1 Mei ini.

“Saya akan menghadiri mesyuarat ini untuk mengenal pasti sebarang teguran jika ada dan kemudian pulang untuk berbincang dengan semua pihak di Tabung Haji dan pengendali haji di Malaysia untuk memperbaiki teguran tersebut,” katanya.

Tambah beliau, mesyuarat tersebut juga akan membincangkan tentang beberapa peraturan ketika menunaikan ibadah haji di Mekah bagi musim ini.

“Antara peraturan baru yang ditetapkan melibatkan pembesaran bilik penginapan jemaah daripada 3.5 meter persegi kepada 4.0 meter persegi.

“Ketetapan lain akan bermula pada tahun ini adalah kereta-kereta kecil tidak lagi dibenarkan masuk ke Arafah kecuali bas sahaja yang akan ditempatkan di zon ditetapkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.