Pages

Subscribe:

20 Jun, 2013

[hang nadim] Gaya hidup berhutang mampu hancurkan ummah

2013/06/18 - 10:08:57 AM Dr Asyraf Wajdi Dusuki



Penulis benar-benar tersentak membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang mendedahkan hutang isi rumah kini mencecah RM800 bilion atau 89.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menurut beliau hutang itu sebahagian besarnya disumbangkan hutang berpanjangan golongan berpendapatan bawah RM3,000 dan penjawat awam yang meminjam daripada institusi bukan bank seperti koperasi, sekali gus meningkatkan bebanan isi rumah.

Kecenderungan untuk berhutang masyarakat Malaysia amat terkait dengan faktor memudarnya budaya qanaah atau hidup secara sederhana dan berpada-pada. Malah sikap bermewahan dalam kehidupan sering mendorong umat berbelanja melebihi keperluan hingga akhirnya terjerat dalam lilitan hutang yang tiada kesudahan. 

Sikap sesetengah bank dan institusi pemberi pinjaman termasuk koperasi yang cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk berupa pembiayaan peribadi turut menyumbang kepada gaya hidup berhutang. 

Dalam satu keadaan, prinsip Islam menuntut pemilik harta membelanjakan harta secara berhemah untuk kepentingan diri dan keluarga, perjuangan di jalan Allah SWT dan bebas daripada kebakhilan dan kekikiran. Namun, dalam keadaan lain, manhaj Islam yang adil turut mengharamkan sikap membazir dan berlebih-lebihan. Setiap sen daripada harta yang diperoleh atau dibelanjakan akan ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT ke atas setiap insan.


Fokus pemasaran produk pembiayaan ini juga sering tertumpu kepada penjawat awam yang mempunyai gaji tetap. Namun, pembiayaan sebegini hanya menjurus kepada budaya berhutang bagi tujuan hidup bermewah melebihi apa yang diperlukan.

Didik perbelanjaan berhemah

Selain memerlukan tindakan drastik kerajaan melalui peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang, generasi muda dan masyarakat perlu dididik agar lebih berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan hidup berasaskan prinsip dan nilai muamalah Islam yang sejati.

Sememangnya aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan adalah antara sifat utama seorang mukmin. Bahkan dalam permulaan surah al-Baqarah, kita dapati bahawa kedudukannya disejajarkan Allah SWT dengan ibadat solat yang juga tiang agama. 
Ini jelas dinukilkan Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “(iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka,” (Al-Baqarah: 3).

Ayat ini jelas mengisyaratkan setiap rezeki dan harta adalah kurniaan Allah SWT yang wajib dibelanjakan berasaskan prinsip dan nilai yang ditentukan syariat yang jelas memperincikan ikatan serta batasan dalam perbelanjaan.

Dalam satu keadaan, prinsip Islam menuntut pemilik harta membelanjakan harta secara berhemah untuk kepentingan diri dan keluarga, perjuangan di jalan Allah SWT dan bebas daripada kebakhilan dan kekikiran. Namun, dalam keadaan lain, manhaj Islam yang adil turut mengharamkan sikap membazir dan berlebih-lebihan. Setiap sen daripada harta yang diperoleh atau dibelanjakan akan ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT ke atas setiap insan. 

Muslim tidak bebas untuk memperoleh harta daripada sumber haram, maka dia juga tidak bebas membelanjakan hartanya dalam perkara yang haram. Bahkan dia tidak dibenarkan untuk berbelanja secara berlebih-lebihan walaupun dalam perkara yang halal.

Begitulah hebatnya Islam yang membenarkan penganutnya untuk menikmati kehidupan di dunia. Malah Islam menentang gaya hidup seperti rahib atau pendeta yang membekukan kehidupan serta menghalangi perkembangan peradaban.

Tidak langgar had

Bagaimanapun, Islam juga membatasi kebenaran yang diberikan ini agar manusia tidak melanggar had keseimbangan. Natijahnya, perbelanjaan yang sewajarnya bersifat sederhana yang dibenarkan Allah SWT berubah menjadi penghamburan dan amalan bermewah.

Apa yang pasti Islam menentang bahkan mengisytiharkan perang menentang kecenderungan bermewah. Al-Quran jelas menyebut bahawa kemewahan adalah ciri utama penghuni neraka yang bakal mendapat kemurkaan dan seksa pedih daripada Allah.

Firman Allah SWT: “Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar,” (Al-Waqiah: 41-46)

Kecenderungan hidup mewah dan bergayalah yang menjerumuskan seseorang untuk berbelanja melebihi kemampuan atau berhutang melalui kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi lain.

Kedangkalan ilmu, kebobrokan nilai dan kegelojohan berbelanja mengakibatkan umat terbelenggu dalam hutang yang mampu menghakis jati diri, memporak-perandakan maruah dan menjahanamkan masa depan negara. Bahkan umat yang dibebani hutang lantaran kerakusan berbelanja adalah umat yang bakal terjerumus ke dalam kancah kegawatan, kebejatan dan kecelakaan.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Guru maut ditembak depan sekolah



ANGGOTA forensik menjalankan siasatan terhadap kereta Hashim Mat Zain yang maut ditembak dari jarak dekat berhampiran Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, semalam.
BACHOK 8 Julai - Seorang guru penolong kanan maut ditembak sebanyak tiga das dari jarak dekat ketika baru keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor dekat sini hari ini, yang dipercayai kerana masalah hutang.
Dalam kejadian pukul 1.40 petang, mangsa, Hashim Mat Zain, 43, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Dosoh, dekat sini selepas selesai menjalankan tugas di sekolah tersebut.
Bagaimanapun ketika tiba di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari pintu pagar sekolah, mangsa yang juga guru penolong kanan hal ehwal murid sekolah itu ditembak dari jarak dekat dipercayai oleh seorang lelaki bermotosikal.
Difahamkan selepas terkena tembakan, beliau gagal mengawal kenderaan jenis Mercedes-Benz yang dipandunya sebelum terbabas ke halaman sebuah rumah yang terletak kira-kira 20 meter dari simpang berkenaan lalu merempuh tangga kediaman tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, mangsa menjalankan beberapa perniagaan antaranya balak, jualan langsung dan kontrak kantin sekolah.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek melepaskan empat das tembakan daripada senjata api jenis .38 dengan tiga daripadanya mengenai tubuh mangsa.
"Polis kini mendapatkan maklumat daripada pelajar dan guru di sekolah terbabit sekiranya ada menyaksikan kejadian itu," katanya.
Dalam pada itu, pemilik rumah tersebut, Siti Aminah Abdullah, 53, berkata, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat zuhur sebelum terdengar bunyi empat das letupan dan beberapa ketika kemudian dia terdengar pula dentuman di bahagian hadapan rumahnya.
"Ketika itu saya baru rakaat pertama solat dan pada mulanya saya terdengar bunyi empat das letupan tetapi tidak menghiraukannya tetapi sebaik sahaja terdengar satu dentuman di hadapan rumah, saya menghentikan solat dan meluru ke bahagian hadapan.
"Sejurus membuka pintu, saya melihat sebuah kereta telah melanggar bahagian tangga rumah dan saya nampak seorang lelaki dalam keadaan tunduk," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata Siti Aminah, dia yang ketakutan terus menjerit meminta bantuan jiran-jiran berhampiran sebelum orang ramai menghubungi pihak polis.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Mohamad Deris, 64, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah Siti Aminah dan secara tiba-tiba terdengar bunyi empat das tembakan.
"Pada mulanya saya menyangkakan bunyi letupan kanak-kanak yang bermain mercun namun selang beberapa ketika saya terdengar jeritan Siti Aminah dan terus bergegas ke tempat kejadian.
"Saya terus membuka pintu kereta mangsa dan ketika itu lelaki tersebut berada dalam keadaan tunduk di bahagian gear kereta. Saya lihat ketika itu dia masih hidup kerana tangannya bergerak dan saya sempat mengajarnya mengucap kalimah Syahadah sebelum beberapa saat kemudian mangsa tidak bergerak," katanya.
Kata Mohamad, dia tidak menyangka sama sekali mangsa ditembak sehinggalah mendapati ada kesan seperti tembakan di bahagian bahu kanan dan tiga lagi di dada.
Ujarnya, selain itu, cermin bahagian penumpang belakang sebelah kanan dan cermin bahagian pemandu juga pecah seperti ditembusi peluru.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan mangsa meninggalkan lima cahaya mata dan empat daripadanya hasil perkongsian dengan isteri pertama dan seorang lagi dengan isteri kedua.
Salah seorang isteri mangsa yang berada di tempat kejadian bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih sedih.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130709/je_01/Guru-maut-ditembak-depan-sekolah#ixzz2YUzNHeuz
© Utusan Melayu (M) Bhd 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.