Pages

Subscribe:

24 Jun, 2013

[hang nadim] POK NIK MILIKI TANAH.....



Nik Aziz miliki tanah bernilai lebih RM10j?

Ibrahim Ali menunjukkan bukti senarai tanah dan salinan geran milik Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Sabariah Tuan Ishak pada sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam. Turut hadir, seorang peguam, Nor Azli Ahamed (kiri), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad (kanan) dan Fauzi Mohamad (dua dari kanan).

KOTA BHARU 29 April - Tiada siapa sangka di sebalik imej zuhud, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya memiliki 14 lot tanah seluas 1.76 hektar di kawasan bernilai tinggi di Bandar Baru Tunjong di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM4 juta.
Nilai tanah tersebut dikatakan boleh mencecah lebih RM10 juta sekiranya status tanah itu yang kini merupakan tanah pertanian ditukar kepada komersial, mengambil kira pelbagai projek pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Selain Nik Abdul Aziz, isteri beliau, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak turut memiliki 13 lot tanah di sekitar jajahan Kota Bharu dianggarkan bernilai jutaan ringgit termasuk dua lot tanah di Pulau Melaka yang telah dipajakkan selama 40 tahun kepada Petronas Dagangan Berhad bagi membina stesen minyak.
Kesemua tanah di atas nama Nik Abdul Aziz itu telah didaftarkan selepas 1990 iaitu ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar Kelantan.
Ketika ini, antara projek pembangunan yang dilaksanakan di Bandar Baru Tunjong ialah kompleks jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Audit Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).
Sementara itu, di pihak kerajaan negeri pula beberapa projek penswastaan telah dirancang di sana antaranya Tunjong Pavilion, sebuah pasar raya dan banyak lagi yang bakal melonjakkan harga hartanah di kawasan tersebut yang terletak di laluan utama Kota Bharu-Kuala Krai.
Pemilikan tanah oleh Nik Abdul Aziz dan isterinya itu didedahkan oleh calon Bebas Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang amat terkejut dengan perkembangan tersebut kerana Mursyidul Am Pas itu sering digambarkan sebagai seorang yang zuhud.
Menurut Ibrahim, beliau telah menerima sampul surat mengandungi senarai tanah dan salinan geran milik Nik Abdul Aziz dan isterinya di dalam peti surat rumahnya di Taman Mimi, Wakaf Bharu beberapa minggu lalu.
Katanya, beliau telah menjalankan siasatan bagi mengetahui kesahihan dakwaan tersebut dengan membuat cabutan dan carian rasmi di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dan hasilnya amat mengejutkan, apabila kesemua senarai tanah dan salinan geran yang dinyatakan dalam sampul surat berkenaan adalah benar.
"Saya amat terperanjat apabila seorang bergelar ulama dan sering digambarkan sebagai seorang yang zuhud, memiliki tanah bernilai tinggi ketika masih memegang jawatan ketua kerajaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Persoalannya kata beliau, bagaimana tanah itu diperoleh ketika Nik Abdul Aziz yang merupakan seorang penjawat awam dan ketua kerajaan.
Sidang akhbar itu turut dihadiri seorang peguam, Nor Azli Ahamed; Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad dan Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Kelantan, Fauzi Mohamad.
Pada sidang akhbar itu, Ibrahim turut menyerahkan salinan senarai tanah dan geran tanah yang dikatakan milik Nik Abdul Aziz dan Tuan Sabariah, selain salinan pelan lokasi tanah terbabit kepada pihak media.
Ibrahim sehubungan itu, menuntut Nik Abdul Aziz menjelaskan kepada rakyat Kelantan bagaimana beliau dan juga isterinya, seorang suri rumah yang tidak bekerja, mampu memiliki tanah tersebut.
"Sekiranya Tuan Sabariah memiliki perniagaan, apakah jenis perniagaan itu. Saya juga ingin memohon penjelasan daripada Datuk Nik Abdul Aziz mengenai tanah Sekolah Agama Darul Anuar, apakah ia milik persendirian ataupun tanah wakaf.
"Saya menggesa Datuk Nik Abdul Aziz memberikan jawapan secepat mungkin berhubung semua tanah yang dimilikinya itu dan bagi pihak rakyat Kelantan, saya memohon kepada beliau supaya mendedahkan semua harta yang dimilikinya.
"Rakyat berhak untuk tahu kerana tanah adalah milik rakyat. Ingat Allah Maha Kaya, Allah akan menunjukkan segala-galanya," tegas beliau.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, pendedahan tersebut bukan bertujuan membuat fitnah atau tuduhan ke atas Nik Abdul Aziz yang turut diseganinya, kerana berkemungkinan Menteri Besar itu memiliki tanah berkenaan menerusi cara yang betul dan sah.
"Tetapi yang saya nak persoalkan ialah dari segi moral, bagaimana beliau sebagai seorang Menteri Besar boleh memiliki tanah tersebut. Jadi, dia kena jawab dan buat penjelasan.
"Beliau wajib menjelaskan kepada rakyat, isterinya memiliki tanah ini, rakyat berhak untuk tahu kerana tanah ini milik rakyat.
"Inilah tragedi kepada rakyat Kelantan, apabila institusi ulama digunakan untuk kepentingan peribadi. Jadi Nik Abdul Aziz wajib menjelaskan kepada rakyat," katanya.
Ibrahim dalam nada kesal turut mencabar anak Nik Abdul Aziz, Nik Abduh yang bertanding di Parlimen Pasir Pas menjawab isu tersebut kerana beliau percaya ada pihak tertentu yang terlibat di belakang perkara tersebut iaitu tauke balak sehingga menyebabkan kawasan hutan di Hulu Kelantan digondolkan.
"Saya nak cabar Nik Abduh, jangan cakap cara riak, perjelaskan macam mana bapanya yang menjadi Menteri Besar memiliki tanah itu. Saya juga nak minta bapa mertuanya, Fatah Haron, Ketua Pas Rantau Panjang mengisytiharkan harta dimilikinya.
"Ini bukan politik semata-mata, kasihan kepada rakyat Kelantan yang naif di kampung-kampung yang menganggap Pas itu Islam, Islam itu Pas.
"Rakyat Kelantan berhak untuk mempunyai kehidupan lebih baik seperti di negeri-negeri lain dan rakyat Kelantan berhak untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130430/po_03/Nik-Aziz-miliki-tanah-bernilai-lebih-RM10j#ixzz2X81iUYkN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.