KUALA LUMPUR 9 Sept. - Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang biadab dan derhaka terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah amat memalukan kerana parti itu diketuai oleh pasangan suami isteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan orang Melayu.
Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan berkata, sebagai orang Melayu, Anwar perlu menunjukkan sikap terpuji supaya boleh dijadikan contoh ikutan bangsa lain.
Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku adalah sebaliknya sekali gus menunjukkan gaya politik Penasihat PKR itu yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamatnya tercapai.
"Di manakah adab sebagai orang Melayu apabila titah sultan pun tidak mahu dipatuhi, ini gaya politik mazhab mana.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita jangan lupa sistem yang kita ada. Fahamilah kepentingan institusi raja secara tersurat dan tersirat. Kalau mahu langgar semua, saya cadangkan Anwar jangan lagi guna gelaran kebesaran yang dikurniakan Raja-Raja Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar dengan titah baginda pada 27 Ogos lalu supaya mengemukakan lebih dua nama calon daripada parti masing-masing untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar yang baharu.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah baginda.
Dalam pada itu, Nallakaruppan mempertahankan tindakan Sultan Selangor yang meminta setiap parti pakatan pembangkang mengemukakan lebih dua nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan.
Katanya, arahan itu bagi membolehkan baginda melantik Menteri Besar terbaik dalam aspek kepemimpinan dan pentadbiran untuk menjamin kebajikan rakyat dan masa depan negerinya.
Beliau turut mempersoalkan, apakah terlalu susah buat pemimpin PKR khususnya Anwar untuk memahami titah baginda yang sebelum ini tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran negeri itu secara sewenang-wenangnya.
"Apa yang dibuat baginda menunjukkan sikap profesional hasil latihan keras sejak kecil oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mahukan Sultan Sharafuddin menjaga kebajikan rakyat dan negeri dengan sebaik-baiknya apabila menaiki takhta.
"Apa yang dilakukan oleh baginda dalam isu Menteri Besar Selangor adalah bukti betapa amanah itu berjaya dipikul dengan baik dan bijaksana," katanya.
Sementara itu, Nallakaruppan berkongsi kebimbangan dengan rakyat Selangor mengenai masa depan negeri itu berdasarkan pengakuan Wan Azizah dalam satu majlis di Klang yang disiarkan portal berita Astro Awani pada awal bulan ini.
Katanya, pengakuan itu membuktikan masalah yang berlarutan sejak sebulan lalu di Selangor berkisar kepada cita-cita dan strategi politik Anwar sendiri.
Beliau turut memetik secara verbatim kenyataan Wan Azizah yang berbunyi: "Kita merancang strategi 'Langkah Kajang' untuk membolehkan Anwar menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN) dan kemudiannya Menteri Besar tetapi telah digagalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.
"Jawatan Menteri Besar sememangnya untuk Anwar pada awalnya, saya tidak akan teragak-agak untuk menjadikan beliau sebagai penasihat sekiranya saya menjadi Menteri Besar," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140910/po_03/Malu-lihat-Melayu-biadab-derhaka-kepada-raja#ixzz3Crl26uDf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.