Pages

Subscribe:

23 September, 2009

MELAYU- DUA PERENANG MUDA

KANGAR 23 Ogos – Dua perenang muda, Zahra Masoumah Abdul Halim dan adiknya, Salman Ali Shariati hari ini hampir memecahkan rekod perenang maraton negara, Datuk Abdul Malik Maidin apabila mengharungi renangan dari Langkawi ke Kuala Perlis dalam lingkungan masa 14 jam.

Pasangan adik-beradik itu memulakan renangan dari jeti Kuah di Langkawi pada pukul 8.50 malam tadi sebagai persediaan menempa nama dalam Guinness Book of Records sebagai perenang termuda berenang merentasi Selat Inggeris pada tahun depan.

Zahra, 15, anak sulung pasangan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdul Halim Abdul Manaf, 47, dan Haniza Mohamed, 41, tiba di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat sini pada pukul 10.59 pagi ini selepas berenang selama 14 jam 9 minit.

Abdul Malik pernah melakukan renangan dalam jarak yang sama dengan catatan masa 14 jam 3 minit pada 25 Mei 2003.

Bagaimanapun, Salman, 10, mencatatkan masa yang sedikit tersasar iaitu 14 jam 26 minit, lewat 17 minit berbanding kakaknya.

Sepanjang renangan sejauh 43 kilometer yang menggunakan sangkar khas itu, mereka diiringi tiga jurulatih iaitu pesara Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohamad Arof Omar, 46, dan anggota Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia, Rosmaini Md. Ghazali, 29, serta Abdul Jamil Zaki Zakaria, 39.

Renangan adik-beradik itu mendapat kerjasama daripada nelayan-nelayan di Kuala Perlis yang sanggup tidak turun ke laut bagi membantu pihak yang menguruskan projek renangan tersebut.

Zahra ketika ditemui berkata, sepanjang renangan itu dia mengharungi banyak cabaran yang kadangkala hampir membuatkannya berputus asa.

‘‘Saya dan Salman tidak pernah melakukan latihan di laut pada waktu malam. Kami juga tidak pernah berpeluang berenang dalam sangkar.

‘‘Inilah kali pertama kami berbuat demikian dan ia agak sukar. Paling memeritkan ialah ketika mengharungi arus melintang. Selama tiga jam kami terperangkap dalam arus tersebut,” katanya.

Menurut Zahra, kejayaan berenang dari Langkawi ke Kuala Perlis itu akan dijadikan semangat untuk dia dan Salman mencipta rekod di Selat Inggeris nanti.

Sementara itu, Mohamad Arof memberitahu, adik-beradik tersebut mempunyai semangat yang cukup kental.

‘‘Bayangkan, ketika berhadapan dengan arus melintang, mereka tetap berkeras mahu meneruskan renangan. Mereka tidak mahu kami membantu menarik mereka keluar daripada arus tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, ketibaan Zahra dan Salma di jeti LKIM di Kuala Perlis bagaikan dipandang dingin oleh pihak berkuasa apabila tiada seorang pun wakil kerajaan negeri Perlis hadir untuk memeriahkan sambutan kejayaan mereka.

Sementara itu, Abdul Malik ketika dihubungi petang ini mengucapkan tahniah kepada dua perenang itu kerana walaupun masih muda mereka mempunyai semangat juang yang kental.

Menurutnya, yang penting bukan rekod yang dipecahkan tetapi usaha dan semangat untuk mengakhiri renangan hingga ke penghujung.

‘‘Mereka melakukan sesuatu bukan semata-mata untuk memecahkan rekod tetapi untuk menunjukkan bahawa seseorang itu boleh berjaya dengan berbekalkan azam yang kukuh,’’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.